Pemuda OKU nekad tunai haji berjalan kaki sudah sampai di Makkah, 9 info menarik berkaitan

DENGAN tekad ingin melihat Kaabah di depan mata buat kali pertama, Herrynizam, 42, yang juga lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) kudung tangan kiri memilih berjalan sendirian kerana tidak mahu membebankan keluarga dan orang sekelilingnya.

Dia yang masih bujang dan menetap bersama keluarga di Pangsapuri Program Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Laksamana di Teluk Intan, Perak memulakan perjalanan di Plaza Tol Bidor pada 24 April lalu.

Berkongsi misinya, Herrynizam berkata, dia sudah lama menyimpan impian menunaikan rukun Islam kelima itu sebelum keinginan untuk ke Tanah Suci memuncak sebulan sebelum Ramadan.

Kini, alhamdulillah difahamkan pemuda tersebut telah sampai di Makkah.

Menurut laporan media tempatan berikut info menarik mengenainya;

1. Seorang pengguna TikTok @JalilRazak menerusi hantaran video semalam menunjukkan lelaki OKU itu dilihat solat dan berdoa di hadapan Kaabah dengan berpakaian ihram.

Baca juga Tanah Makkah tandus bertukar hijau, terkenang hadis Nabi buat ramai insaf

2. Herrynizam memaklumkan hasrat itu kepada ibu, Eroayer Mat Gasar, 66, sehari sebelum dia memulakan perjalanan dan bersyukur wanita tersayang itu menyokong misi dilakukannya.

3. Dia memulakan perjalanan dengan berserah dan bertawakal kepada ALLAH selain membawa wang RM300 sebagai bekalan perjalanan ke Tanah Suci, dia percaya wang itu cukup untuk alas perut.

4. Keinginan untuk menunaikan haji sangat menebal sejak sebulan lalu tetapi untuk menempah tiket penerbangan, dia tidak mampu. Herrynizam tiada motosikal atau kereta milik sendiri, yang ada hanya basikal namun bila fikirkan hanya ada satu tangan saja agak sukar untuknya kayuh dalam jarak jauh jadi memilih untuk berjalan.

5. Herrynizam tidak meminta ahli keluarganya atau ibu bapanya menampung kos perjalanan ke Makkah tetapi mereka hanya diminta menghantarnya ke plaza tol saja untuk memulakan perjalanan sebagai tetamu ALLAH.

Baca juga Masya-ALLAH! 5 lelaki jejak hijrah Rasulullah, jalan kaki 16 hari, 547km Makkah ke Madinah

Iklan

Amalan pahala haji

6. Persiapan sudah dibuat sejak setahun lalu dengan selalu bersenam, berjoging dan mengayuh basikal hampir setiap hari. Herrynizam hanya membawa tiga helai t-shirt dan seluar, songkok, sejadah, surah Yassin serta tasbih selain dokumen pengenalan diri.

7. Pemuda kudung tangan kiri selepas terbabit kemalangan di Johor empat tahun lalu itu yakin dapat merealisasikan hasrat itu dan menganggarkan akan mengambil masa 90 hari untuk tiba di Makkah dengan sokongan serta doa ibu dan bapa, Saleh Bi, 68, serta orang ramai.

8. Misinya itu merentas 12 negara melalui jalan darat bermula dengan Thailand sehingga ke Arab Saudi. Berdasarkan peta perjalanan di aplikasi Google Map, Herrynizam sepatutnya menempuh perjalanan lebih 10,000 km untuk tiba ke Makkah. Berdasarkan peta itu juga, dia memerlukan masa selama 84 hari dan 10 jam bagi melengkapkan perjalanannya.

9. Menerusi perkongsian di TikTok miliknya, dia mengakui ada penerbangannya yang ditaja. Selain itu, ada juga individu yang menumpangkan kenderaan dalam misinya itu.

Iklan

Alhamdulillah, misi Herrynizam tercapai dalam masa hanya 25 hari. Moga kisah ini dapat memberikan inspirasi buat orang ramai. Genggam bara api biar sampai jadi abu.

Baca juga Inspirasi! Ibu mentua masak sahur & berbuka untuk anak menantu walau beza agama, perkongsian doktor wanita ini buat ramai tersentuh

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang penuh inspirasi.