KATA Hatta Dolmat, sudah menjadi satu kewajipan saban tahun beliau akan menonton acara Met Gala yang dihadiri barisan selebriti antarabangsa.

Ujar pereka tersohor negara itu, tontonan melalui layar kaca itu lebih kepada mencari ilham dengan melihat koleksi busana yang membaluti tubuh para artis popular.

Namun begitu, berbeza seperti sebelum itu, Met Gala pada tahun 2016 telah meninggalkan kesan cukup mendalam buat Hatta yang kini menginjak usia 38 tahun, selepas melihat penampilan aktres Emma Watson.

Pada pandangan masyarakat, busana monokrom yang digayakan heroin filem Harry Potter tersebut mungkin tampak biasa, tetapi tidak bagi anak kelahiran Melaka itu.

“Jika artis lain lebih cenderung bermain warna bersesuaian dengan tema teknologi, namun Emma pula ‘meletakkan’ ekoteknologi pada gaun kombinasi seluar terbabit.

“Siapa sangka, pakaian polos karya jenama Calvin Klein dan Eco Age itu, fabriknya dihasilkan 100 peratus daripada botol plastik kitar semula. Wow, ia amat mengagumkan,” katanya ketika ditemui SinarPlus di butiknya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

hatta dolmat
GAUN rona hitam dan putih berasaskan fabrik botol kitar semula yang digayakan Emma pada Met Gala 2016 telah memikat hati pereka fesyen Hatta Dolmat untuk melaksanakan misi serupa.

Bertitik tolak daripada situ, lulusan Ijazah Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini mula menggali ilmu mengenai kelestarian fesyen hari demi hari.

Getusnya di dalam hati, bagaimana botol plastik boleh diproses, diurai dan bertukar menjadi kain? Jika pereka luar negara mampu melakukannya, maka pengkarya seni fesyen lokal juga boleh!

Pun begitu, ilmu yang diperoleh berdasarkan bahan bacaan seperti jurnal dan buku fesyen belum cukup kuat. Ini disebabkan Hatta ingin melihat proses teknologi itu secara praktikal.

Hatta Dolmat 15 tahun

hatta dolmat
KREATIF. Kain perca koleksi Beetle dan Tassel Eid Adha tidak dibuang, sebaliknya Hatta menghasilkan topi, kemeja dan beg kantung mini. 

“Biarpun ralat kerana tidak berpeluang menghasilkan koleksi pakaian daripada fabrik barang terbuang, tetapi saya mengubati kedukaan dengan platform lain.

“Satu daripadanya, saya hasilkan himpunan beg kantung mini daripada kain perca koleksi Beetle dan tali leher berasaskan sisa kain jean, kolaboratif bersama label Levi’s.

“Terbaharu, saya turut mencipta bucket hat (topi memancing) menggunakan kain perca koleksi Tassel Eid Adha. Alhamdullilah, produk ini mendapat sambutan yang cukup mengalakkan. Idea menghasilkan bucket hat tercetus susulan kunjungan saya bersama penyanyi Yuna (Yunalis Mat Zara’ai) ke butik Gucci di Suria KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Di sana, saya kagum melihat label gah seperti Gucci berjaya menawarkan koleksi beg, topi, bucket hat dan sneakers berkonsepkan kelestarian alam sekitar,” ujarnya yang saling bertukar idea bersama Pengurus Komersial, Idan Maat berkaitan koleksi fesyen kelestarian.

Menurut Hatta, inisiatif seumpama itu secara tidak langsung membuka mata pelbagai pihak khususnya penggiat seni fesyen negara.

Sisa fabrik yang selama ini kerap dibuang ke tapak pelupusan sampah, ironinya mampu dijadikan produk baharu yang berkualiti tinggi mengikut kreativiti masing-masing.

Artikel berkaitan: Hatta guna kain perca hasilkan koleksi topi, pouch bag

Benarlah kata pepatah, rezeki tidak pernah salah alamat, cuma bergantung pada masa, sama ada cepat atau lambat.

Selepas empat tahun mencari saluran yang tepat bagi menjayakan fesyen ke arah kelestarian, akhirnya impian pereka muda berbakat besar itu berjaya direalisasikan dengan kemunculan koleksi busana sedia pakai, HD Monogram sempena kempen Hatta Dolmat’s: Sustainable Awareness Movement.

hatta dolmat
SELEPAS empat tahun menggali ilmu fesyen kelestarian, Hatta berjaya mereka koleksi HD Monogram diperbuat daripada fabrik hasil botol plastik kitar semula dan sisa kain terpakai.

Himpunan fesyen diperbuat daripada kain hasil botol plastik kitar semula dan fabrik terpakai tersebut merupakan kolaboratif antara jenama Hatta Dolmat, Kloth Lifestyle Sdn Bhd (sebuah pergerakan usahawan sosial) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Pembersihan Awam (SWCorp).

“Saya bersyukur kerana peluang unik ini hadir pada tahun 2020 dan label Hatta Dolmat meraikan ulang tahun ke-15.

“Sekurang-kurangnya pada detik istimewa itu, saya bukan sahaja menawarkan variasi pakaian menarik untuk pencinta fesyen, malah turut memupuk kesedaran dalam kalangan pemain industri akan potensi fesyen berkonsepkan kelestarian.

“Misalnya, sehelai pakaian yang dihasilkan daripada komposisi 40 peratus kapas (bahan organik) dan 60 peratus bahan dikitar semula (poliester) dapat membantu mengurangkan pembuangan antara tujuh hingga lapan botol plastik.

“Lagipun, di sebalik kepesatan perkembangan industri fesyen dan tekstil tempatan, sebanyak 195,300 tan sisa tekstil (bersamaan 325 juta helai pakaian) dikumpulkan di pusat pelupusan sampah dalam tempoh setahun.

“Jika situasi terbabit tidak ditangani dengan baik, bimbang ia membawa kemudaratan kelak,“ tegas Hatta, pereka fesyen pertama negara yang bereksperimentasi dengan fabrik kitar semula dari segi tekstur dan penyerapan warna.

hatta dolmat
HATTA menunjukkan sebahagian lakaran fesyen kelestarian ketika ditemui SinarPlus di Butik Hatta Dolmat, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelasnya lagi, sebagai pereka, tugasnya bukan sekadar menghasilkan rekaan baharu mengikut musim.
Malah, beliau kini semakin peka terhadap pemilihan fabrik, cara penghasilan pakaian dan pengurusan sisa tekstil demi menjaga kelestarian alam sekitar.

Iklan

Koleksi lestari sedia pakai, HD Monogram karya Hatta Dolmat akan dipersembahkan pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2020 (KLFW 2020) yang berlangsung dari 11 hingga 13 November depan secara digital berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Ia terdiri daripada kombinasi skirt lipit, seluar labuh, jaket, bucket hat, but tinggi, kasut tumit tinggi dan beg silang yang menggambarkan aura glamor Paris sekitar 1960-an. Dari segi warna pula, Hatta menggunakan nuansa hijau epal, putih dan kelabu.

CSR kutip sisa buangan
Sebaik sahaja mendengar soalan penulis perihal misi melaksanakan fesyen lestari, sambil jari melakar di atas sekeping kertas putih Hatta memberitahu:

“Sejujurnya, saya tidak melakukan inisiatif ini (fesyen lestari) kerana ingin meraikan jenama Hatta Dolmat yang ke-15 tahun semata-mata.

“Barangkali, orang di luar sana melihat kerjaya saya sebagai pereka fesyen hanya dikelilingi rekaan glamor, sosialit, model dan selebriti. Walhal, realitinya saya masih Muhammad Hatta, anak jati Kampung Sungai Baru, Melaka.”

Tutur beliau, kecintaannya pada alam sekitar tersemai sejak usia remaja yang mana laut, bunga, pokok dan kumbang sentiasa menjadi sumber inspirasi baik dalam kehidupan mahupun kerjaya seni kreatif.

Hatta menambah, disebabkan rumah orang tuanya terletak di seberang pantai, maka secara tidak langsung beliau terpanggil untuk sentiasa menjaga kawasan terbabit.

hatta dolmat
SETIAP kali pulang ke desa, Hatta (duduk, kiri) bersama anak saudara akan menggambil tanggungjawab mengutip sampah di sepanjang pesisiran pantai, Kuala Sungai Baru, Melaka.

“Acap kali pulang ke kampung (Kuala Sungai Baru) saya bersama anak saudara akan melakukan aktiviti mengutip sampah sarap di sepanjang pesisiran pantai.

Iklan

“Kadangkala rasa sedih, ralat dan marah hadir serentak apabila melihat longgokan sampah yang dikutip. Saya berfikir, bagaimana manusia tergamak membuang tin kosong, botol, plastik, penyedut minuman dan lampin pakai buang?

“Tak salah bersantai di pantai, namun lebih baik seseorang membawa bersama sampah peribadi untuk dibuang ke tempat sepatutnya,” luah beliau yang kini kerap menghabiskan masa hujung minggu dengan berkhemah di hutan atau menerokai keindahan Taman Negara di Kuala Tahan, Pahang.

Nampaknya, kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) peribadi Hatta bukan sahaja dipraktikkan dalam kalangan anak saudara di kampung halaman, bahkan pemuda itu turut membaja kasih sayang terhadap alam sekitar bersama pengikut di platform media sosial.

hatta dolmat
BICARA Hatta, beliau kesal dan sedih dengan sikap segelintir masyarakat yang tiada kesedaran sivik membiarkan sampah peribadi selepas beriadah baik di hutan, sungai mahupun pantai.

Jika memuat naik foto pengalamannya singgah di air terjun atau menyelusuri sungai termasuk merentas hutan, beliau tidak lupa untuk menitipkan pesanan khidmat masyarakat.

“Apabila kamu masuk hutan atau ke air terjun, tolonglah kemas dan bawa sampah sendiri keluar dari hutan. Tolong wujud rasa tanggungjawab pada alam sekitar dan ubah persepsi orang lain akan kemaskan sampah berkenaan.

“Peringatan, tiada orang lain yang akan kutip sampah kita di dalam hutan. Lebih baik anda bungkus dan buang apabila tiba di pekan atau kawasan kampung berhampiran yang menyediakan tong sampah,” tulis beliau menerusi laman sosial Instagram @hattadolmat_ pada dua minggu lalu.

Oh! Hatta juga antara barisan selebriti dan pereka fesyen yang aktif menyertai program Save Our Rainforest kendalian badan bukan kerajaan, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka).

Ia antara lain bertujuan memulihara, menyelamatkan dan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan hutan hujan untuk generasi akan datang.