PEMERGIAN bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain begitu menyayat hati.

Kecederaan melecur daripada 90 tekapan seterika dan tulang rusuk patah adalah penderitaan yang dilalui arwah sehingga ke akhir hayat.

Kisah pilu Zulfarhan mendapat perhatian aktivis masyarakat, Ebit Lew yang meluangkan masa menziarahi ibu bapa arwah di Skudai, Johor dan menunaikan niatnya kepada pasangan itu.

Baca juga: Pemergian Tragis Zulfarhan Terbela, 18 Penuntut UPNM Bersalah Subahat Cedera, Bunuh, Berikut Kronologi Kes

Hari ini adalah hari bermakna buat pasangan Zulkarnain Idros dan Hawa Osman kerana pada tarikh yang sama mereka menyambut kelahiran anak sulung, Zulfarhan 25 tahun lalu.

Sempena ulang tahun kelahiran penuntut kejuruteraan elektrikal tahun ketiga di UPNM itu, Ebit memberikan hadiah bermakna berupa tiket dan pakej umrah buat Zulkarnain dan Hawa, seperti yang dicita-citakan Zulfarhan ketika hayatnya.

Baca juga: 90 tekapan seterika, rusuk patah, rajah laporan bedah siasat Zulfarhan runtun hati rakyat Malaysia

 

Kredit foto: Astro Awani

“Hari ini hari lahir arwah, 29 Nov. Saya niat hadiahkan tiket dan pakej umrah buat emak dan ayahnya Disember ini. Syukur mereka gembira menerimanya.

“Segala puji bagi Allah. Menangis gembira terutama hari lahir arwah Farhan. Terasa macam anaknya sentiasa ada dekat.

“Berat ujian mereka kehilangan anak tersayang dalam keadaan menyayat hati,” katanya.

Dalam pada itu, Ebit tidak menyangka arwah adalah ‘junior’ sekolah menengahnya iaitu Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru.

Malah menurut Ebit, dia jelas melihat emosi pasangan itu sangat terkesan susulan kehilangan anak sulung mereka empat tahun lalu.

“Kata emaknya tempat duduk ustaz tu tempat arwah berehat selalu.

“Sepanjang berbual dalam senyuman kedua ibu bapanya asyik mengalir air mata,” titip Ebit.

Baca juga: Kerap menangis hingga katarak, hanya satu keluarga mohon maaf, luahan ibu bapa Zulfarhan sentuh hati ramai

Sehubungan itu, ibu bapa Zulfarhan menzahirkan penghargaan buat Ebit atas hadiah yang diberikan.

Iklan

“Mereka teringin sangat nak pergi haji atau umrah. Katanya syukur ALLAH jemput kami melalui ustaz. Semoga ALLAH mudahkan segala urusan keluarga ini,” kata Ebit.

Bukan itu sahaja, Ebit juga sempat menziarahi kubur arwah Zulfarhan dan mendokan kesejahteraan keluarga Zulfarhan.

Pemergian tragis Pegawai Kadet Laut, itu menggemparkan negara empat tahun lalu.

Tubuh Zulfarhan didapati cedera terbakar, terseksa ke akhir nyawa sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 1 Jun 2017.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam penuntut UPNM yang didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat.

Iklan

Keenam-enam tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika disabitkan bersalah.

Manakala 12 lagi tertuduh yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Allahyarham Zulfarhan dikenakan hukuman penjara tiga tahun.

Baca juga: Pengasuh Adam Rayqal dihukum penjara enam tahun, berikut kronologi kes

Baca juga: Kronologi kes pembunuhan kejam ketua jururawat, lelaki Nigeria dihukum gantung sampai mati

Jom follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Ebit Lew