SEJUK perut ibu mengandung apabila melihat tiga wanita adik-beradik ini meraikan momen indah menamatkan pengajian di peringkat tertinggi iaitu peringkat ijazah kedoktoran (PhD).

Lebih istimewa lagi apabila ketiga-tiga mereka menempa sejarah sebagai adik beradik pertama yang mendapat ijazah PhD serentak di universiti dalam upacara konvokesyen di Universiti Tekonologi Malaysia (UTM).

Baca juga: Inspirasi! Nurfatihah ‘fast track PHD’ bidang ‘vaccinology’ kini bergelar saintis muda

Baca juga: Soo Wincci : Korban cinta demi ‘Doktor’

Faridah Mohd Marsin, 39, bersama-sama dua adiknya, Jamilia, 36, dan Aishah, 32, berkongsi momen indah tersebut dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-66 baru-baru ini.

Faridah, anak sulung daripada enam beradik adalah graduan PhD Kimia Analisis manakala Jamilia, anak ketiga graduan PhD Seni Bina dan Aishah yang merupakan anak kelima graduan PhD Kejuruteraan Bioproses.

Menyebut tentang PhD, ia bukan sahaja mencabar dari segi intelek, prosesnya menuntut masa, kesungguhan dan pengorbanan.

Tutur Faridah, kejayaan yang diraih beliau dan adik-adik adalah hadiah bermakna untuk ibu bapa mereka iaitu bekas pensyarah Sains Kimia, Dr Mohd Marsin Sanagi dan Pensyarah Sains Fizik, Dr Noriah Bidin yang merupakan pasangan pensyarah di universiti berkenaan.

Baca juga: Inspirasi! Wanita berjaya tamatkan PhD sambil besarkan 8 orang anak masih kecil

Dr Faridah Mohd Marsin bersama-sama dua adiknya, Dr Jamilia dan Dr Aishah di samping ibu bapa tersayang (Kredit foto: FB Mohd Haleem Shah)

“Kejayaan memperoleh PhD hari ini selepas didorong ibu bapa kami. Saya rasa sangat gembira, kerana kami telah lama merancang untuk menamatkan pengajian PhD bersama-sama walaupun masing-masing mendaftar pada tahun berbeza.

“Dengan sokongan ibu bapa, kami bertiga turut memberi motivasi dan kata-kata semangat kepada satu sama lain. Akhirnya kami sama-sama selesaikan tugasan viva dan alhamdulillah, kami berjaya,” katanya.

Sementara itu, kata Jamilia sejak kecil mereka sentiasa menyokong satu sama lain, khususnya dalam pendidikan dan urusan keluarga.

Baca juga: Gigih delivery 12 jam sehari, siapkan tesis, rider akhirnya bergelar doktor, raih PhD

“Sebagai adik- beradik, berbalah itu perkara biasa khususnya apabila terdapat perbezaan pendapat. Tetapi pada akhirnya kita tetap menyokong antara satu sama lain dalam memastikan cita-cita bersama tercapai,” kata Jamilia.

Menurut Aisyah pula, antara cabaran dihadapi mereka adik beradik ialah mengimbangkan masa sebagai isteri, ibu, pelajar dan kakitangan kerajaan.

“Kami semua sudah berkeluarga dengan masing-masing mempunyai anak tiga, empat dan lima orang. Jadi, itu cabaran utama kami apabila perlu mengimbangkan antara belajar, keluarga dan kerjaya.

“Untuk itu kami perlu kuat semangat kerana kadang kala memang ada sampai tahap penat dan banyak pengorbanan perlu dibuat. Alhamdulillah akhirnya semua telah terbalas,” ujarnya.

Iklan

Baca juga: ‘Tokma wanita berkerjaya berdikari.’ Dr Amalina hargai pengorbanan, imbau suka duka dibesarkan ibu tunggal

Kredit foto: UTM

Faridah, Jamilia dan Aishah merupakan antara 539 graduan UTM yang menerima PhD dan Ijazah Sarjana mereka pada sesi baru-baru ini.

PhD ialah ijazah peringkat tertinggi akademik yang diberikan setelah mengikuti pengajian. Mereka yang belajar untuk PhD diminta menghasilkan penyelidikan asli yang memperluas batas pengetahuan, biasanya dalam bentuk tesis atau disertasi,dan mempertahankan kajian mereka terhadap para pakar di lapangan.

Menyelesaikan PhD sering menjadi syarat untuk pekerjaan sebagai profesor universiti, penyelidik atau saintis dalam banyak bidang.

Hakikatnya pendidikan mampu menjadi aset penting dalam mengubah kehidupan. Justeru wanita, jadikan kisah tiga wanita ini sebagai penguat semangat dan suntikan motivasi untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Iklan

Usah biarkan gelaran ibu dan isteri menjadi penghalang menggapai pencapaian akademik hebat!

Baca juga: 7 info Syabira Yusoff, anak Malaysia juara pertandingan memasak di UK, Great British Bake Off

Sumber: Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan