PENANGAN wabak Covid-19 nampaknya kian memperlihatkan sisi hitamnya. Bukan sahaja membabitkan seluruh dunia, lebih khusus lagi kepada masyarakat di negara ini.

Biar tidak berdepan pandemik pun, masalah ini acapkali disuarakan. Tambah lagi di musim wabak ini, tidak hairanlah statistiknya lebih meningkat!

Statistik kadar pengangguran dalam kalangan belia di negara ini dikatakan telah meningkat.

Itu yang dikongsikan pemuda yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow.

Susulan itu, beliau menyarankan agar pihak kerajaan perlu memastikan jumlah pengangguran kalangan golongan belia dalam negara kita adalah terkawal. Lebih tepat agar tidak berlaku dalam kadar yang serius lebih-lebih lagi akibat daripada penularan Covid-19.

“Ini susulan pengumuman yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Perangkaan baru-baru ini yang menunjukkan kadar pengangguran dalam negara kita meningkat 17.1% kepada lebih 600,000 orang pada Mac 2020!

“Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kira-kira 610,500 orang menganggur pada suku pertama 2020 berbanding 521,300 orang pada tempoh sama tahun lalu.

“Menurut beliau lagi kumpulan belia berumur 15 hingga 30 tahun mencatatkan kadar pengangguran tertinggi iaitu sebanyak 6.9 peratus diikuti dengan golongan berusia 31 hingga 45 tahun (1.4 peratus) dan 46 hingga 64 tahun (1.1 peratus),” kongsinya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Jangan biar, mereka bakal mewarisi negara

Pengangguran dalam kalangan golongan belia tidak boleh dibenarkan untuk berterusan berlaku ataupun lebih teruk lagi meningkat dengan mendadak pada masa akan datang dalam negara kita.

Dr Muzaffar berkata, hal itu disebabkan mereka adalah golongan yang bakal mewarisi negara kita daripada generasi yang ada pada masa kini.

Dr Muzaffar

Begitupun menurutnya, penularan virus Covid-19 telah banyak memberi kesan kepada kehidupan semua pihak bukan sahaja dalam Malaysia, malah kehidupan semua orang dalam dunia. Ramai orang yang telah dilaporkan kehilangan pekerjaan pada ketika ini.

“Negara maju seperti Amerika Syarikat pun telah melaporkan jumlah kadar pengangguran tertinggi dalam sejarah negara mereka dengan jumlah pengangguran lebih 30 juta orang.

“Mengikut kajian yang dilakukan oleh beberapa pihak di beberapa buah negara antara golongan yang paling terjejas teruk akibat daripada penularan virus Covid-19 adalah golongan belia yang berada di bawah usia 30 tahun.

“Ini adalah kerana golongan berkenaan belum lagi memiliki kestabilan kewangan dalam hidup kerana baru memulakan pekerjaan ataupun masih belum bekerja,” katanya.

Berbeza dengan golongan yang sudah berumur yang rata-ratanya sudah pun memiliki pekerjaan serta sumber pendapatan, menurutnya simpanan yang agak mencukupi bagi menghadapi waktu-waktu sukar buat sementara waktu seperti pada masa ini.

Begitupun, isu pengangguran dalam kalangan golongan belia ini bukan sahaja berlaku akibat daripada penularan virus Covid-19 ini.

Kongsi dr Muzaffar, isu ini sudah lama berlaku dalam negara kita atas faktor lain seperti:

1) Aspek kurang kemahiran tertentu

2) Lemah penguasaan bahasa Inggeris

3) Ketidakbolehan pasaran graduan akibat daripada permintaan yang rendah daripada pihak majikan untuk kursus yang telah diambil oleh graduan berkenaan

4) Faktor terlalu memilih pekerjaan dalam kalangan golongan terbabit.

Akan tetapi menurutnya, isu pengangguran dalam kalangan golongan belia tidak boleh dibiarkan berlaku kerana ia boleh memberi kesan buruk yang serius bukan sahaja terhadap diri belia itu sahaja, malah terhadap masyarakat dan negara.

“Golongan belia perlu mendapatkan pekerjaan bagi menjana sumber pendapat untuk diri mereka serta bagi menampung keluarga mereka. Golongan belia ini juga khususnya mereka yang baru tamat proses pengajian di peringkat universiti perlu mendapat sumber wang bagi membayar kembali pinjaman pendidikan yang mereka miliki.

Iklan

“Isu pekerjaan dalam kalangan golongan belia ini juga penting supaya golongan ini tidak berhijrah meninggalkan negara ini untuk mencari kerja di negara lain sehingga berlakunya brain drain atau kehilangan sumber manusia yang berkualiti dalam negara kita,” ujarnya.

Kerajaan perlu rangka polisi

Oleh yang demikian, adalah penting supaya semua pihak termasuk golongan belia itu sendiri mengambil segala usaha dan langkah bagi memastikan isu pengangguran kalangan golongan belia ini tidak berterusan berlaku dalam negara kita atau meningkat dengan mendadak lebih-lebih lagi akibat daripada penularan virus Covid-19 ini, kata Dr Muzaffar.

Pihak kerajaan perlu merangka satu polisi yang lebih jelas serta khusus bagi memastikan peluang pekerjaan dapat diwujudkan bagi membantu golongan belia ini.

“Pihak Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia perlu bekerjasama bagi memberi pendedahan awal kepada semua golongan belia dalam negara kita mengenai peluang-peluang pekerjaan yang wujud dalam negara kita.

“Pendedahan mengenai perkara ini perlu dilakukan dari peringkat awal lagi iaitu di peringkat sekolah supaya golongan belia ini dapat mengambil segala langkah yang perlu bersiap sedia menghadapi dunia pekerjaan setelah mereka tamat proses persekolahan ataupun proses pengajian kelak,” katanya.

Menurutnya lagi, golongan belia juga harus dilatih untuk memiliki banyak kemahiran-kemahiran asas selain daripada ilmu teori supaya mereka dapat menggunakan segala ilmu kemahiran yang dimiliki untuk dijadikan sumber pendapatan buat mereka kelak. Itu antaranya boleh dilakukan dengan:

Iklan

a) Tingkat kemahiran – Subjek kemahiran hidup yang diajar di peringkat sekolah menengah perlu diperkuatkan lagi supaya setiap pelajar dalam negara kita dapat mengasah aspek kemahiran hidup untuk diri mereka.

b) Galak sambung pengajian – Golongan belia juga perlu digalakkan menyambung pengajian mereka di institusi-institusi latihan dan kemahiran termasuklah sekolah dan kolej vokasional selain daripada berpusu-pusu untuk menyambung pengajian di peringkat universiti.

c) Wujudkan peluang pekerjaan – Pandangan serong sesetengah pihak terhadap sektor latihan, kemahiran dan vokasional perlu diketepikan kerana sektor – sektor ini boleh memberi peluang pekerjaan yang banyak terhadap golongan belia ini. Bukan sahaja sektor ini menyediakan peluang pekerjaan, sektor – sektor ini juga boleh memberi ruang kepada golongan belia ini untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain.

Antara contoh bidang yang boleh diceburi adalah bidang kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik, perdagangan, pengurusan makanan, sains pertanian, bidang fesyen, seni kecantikan, pengurusan ladang, pengurusan perniagaan, bakeri, pengaturcaraan komputer, pengurusan teknologi pejabat, hortikultur hiasan dan lanskap dan lain – lain lagi.

d) Lihat kembali polisi pekerja asing- Pada masa yang sama juga pihak kerajaan perlu melihat kembali polisi pengambilan pekerja asing dalam negara kita.

Memandangkan negara kini sedang hadapi pelbagai masalah akibat daripada penularan virus Covid-19, adalah penting supaya sektor – sektor pekerjaan yang ada dalam negara ini termasuk disektor 3D (Kotor, susah, dan bahaya) diberikan kepada warga tempatan bagi mengelakkan isu pengangguran terutamanya isu pengangguran kalangan golongan belia ini berterusan berlaku.

Jadi bagaimana? Anda termasuk golongan belia yang seperti mana?

Sebaiknya jangan cepat mengalah. Ayuh belia, uols kan pewaris masa depan negara. Buktikan kemampuan diri! -AG #PastiAdaSinar