Suami meninggal dunia dua bulan lalu, kini anak pula kemalangan ngeri. "Ya ALLAH selamatkan kaki anakku..."

A
A
A

TABAHNYA wanita bernama ibu, biarpun terus diuji tetap cekal menempuhi perjalanan hidup ini. Selagi hayat dikandung badan, kebahagiaan anak-anak adalah segalanya buat ibu.

Azizah Ariffin, 50, ibu kepada lima cahaya mata seolah-olah hilang arah tatkala kehilangan suami tercinta akibat serangan jantung September lalu.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, di saat baharu sahaja memulakan hidup sebagai ketua keluarga, anak keempatnya, Ahmad Muzakkir Mohammad Jamil, 17, pula terlibat kemalangan ngeri baru-baru ini.

Azizah disamping Allahyarham suami dan anak-anak. Muzakkir (dua dari kiri)

Pelajar Tingkatan 5, Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya, Kuala Lumpur itu menjadi mangsa perlanggaran sebuah lori  di sebuah persimpangan berhampiran kediaman mereka selepas menunaikan Solat Jumaat.

Lori dari arah kiri dipercayai terlalu laju menghentam motosikal ditunggang Muzakkir. Daripada sumber orang ramai yang menyaksikan kejadian, tubuh Muzakkir terseret selepas dilanggar.

Susulan kemalangan ngeri yang terjadi pada jam 1.40 tengah hari itu, Muzakkir mengalami kecederaan parah pada kedua-dua belah kakinya.

MOTOSIKAL HANCUR

Melihatkan keadaan motosikal yang ditunggang Muzakkir, Azizah berkata ramai tidak menjangkakan remaja itu terselamat.

“Keadaan motosikalnya sangat teruk, hanya tayar belakang sahaja yang elok. Bahagian lain semuanya hancur. Syukur kepada ALLAH dipanjangkan usia Muzakkir,” katanya kepada SinarPlus.

Menurut Azizah, sejak hari hari kejadian sehingga kini, mereka hanya berhubung menerusi pesanan aplikasi WhatsApp.

Oleh kerana tangannya membengkak dan jarum branula yang terpasang, remaja itu tidak dapat menggunakan telefon pintar dengan kerap dan lama.

“Disebabkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kini, saya tidak dapat menjaga dan melawat Muzakkir di hospital.

“Cuma sekali sahaja berpeluang jumpa. Ketika itu saya ke hospital untuk menanda tangani surat persetujuan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT scan) kakinya.

“Luluh hati saya melihat jari-jemarinya membengkak. Dia tidak mampu bergerak kerana kedua-dua belah kakinya cedera parah.

“Keadaan dia yang sugul juga merunsingkan saya. Malah dia memberitahu tidak berselera menjamah sajian melainkan hanya mengambil buah-buahan sahaja,” kata Azizah.

Anak keempatnya itu kini menjalani rawatan di Wad Ortopedik, Hospital Kuala Lumpur.

Difahamkan Muzakkir pada tahun 2020 pernah terlibat dalam kemalangan di mana betis sebelah kirinya pernah dimasukkan plat besi.

Muzakkir (kiri depan) bersama keluarga.

PELAJAR PINTAR

Muzakhir merupakan pelajar pintar Kelas Aliran Agama di Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya.

Malah calon Sijil Pelajaran Malaysia 2021 itu sepatutnya menduduki Ujian Lisan Bahasa Arab Isnin lalu.

“Alhamdulillah, walaupun Muzakkir tidak dapat menduduki ujian lisan baru-baru ini, pihak sekolah membantu untuk cuba mendapatkan kebenaran penangguhan serta kebenaran untuk menjalani ujian dan peperiksaan di hospital atau bilik khas di tingkat bawah sekolah,” katanya.

Mengenang kembali saat kecil Muzakhir, Azizah berkata cita-cita remaja itu adalah untuk menjadi pemain bola sepak. Dia aktif dalam sukan bola sepak dan sepak takraw.

“Hanya satu doa saya, moga ALLAH selamatkan kaki Muzakhir. Saya amat berharap lukanya sembuh dengan baik dan tiada komplikasi membimbangkan.

“Tidak kiralah apa keadaannya pun. Setidak-tidanya dia masih mempunyai kaki walaupun jika ditakdirkan perlu bertongkat ,” kata Azizah dalam sebak.

TIADA PENDAPATAN TETAP

Dalam lipatan hidup wanita tabah ini, arwah suaminya pergi dijemput ILAHI disaat kelima-lima anak mereka sedang menuntut ilmu.

Bagi menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga, Azizah berniaga kecil-kecilan untuk menyara hidup.

Dia mengusahakan jualan kuih muih yang dihantar ke kedai berhampiran rumah yang mana hasil jualannya tidak menentu. Justeru, dia tidak mempunyai pendapatan tetap.

Sejak suaminya meninggal dunia dan kini Muzakkir pula terlibat kemalangan, Azizah sudah lebih sebulan tidak dapat menjual kuih-muih kerana pelbagai urusan perlu dilunasi.

Anak sulungnya Muhammad Fajrul, 26, sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Perguruan Sultan Idris.

Manakala Sufiatul, 24 berkelulusan Sarjana Muda Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi baharu sahaja menamatkan pelajaran dan kini sedang mencari peluang pekerjaan.

Cahaya mata ketiga, Muhammad Imtiaz, 19, sedang belajar di tahun kedua jurusan Syariah (Industri Halal), Universiti Sains Islam Malaysia.

Manakala si bongsu, Iylia' Najihah, 16 kini bersekolah Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya.

Azizah disamping Muzakkir.

Menanggung sebuah keluarga di Lembah Klang dengan pendapatan sebagai peniaga kecil yang terhad adalah cabaran besar buat Azizah.

Pernahkah mendengar ungkapan ‘musibah orang lain, ujian bagi kita’? Hakikatnya ujian atau musibah yang berlaku kepada orang lain sebenarnya ujian kepada diri kita.

Bagaimanakah cara kita melihat ujian yang menimpa orang lain, adakah dengan hanya memandang dengan simpati atau menghulurkan bantuan kepada mereka?

Justeru, sama-samalah kita menghulurkan sumbangan kepada balu dan anak-anak yatim ini bagi meringankan beban.

Kepada yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah menyalurkankannya ke akaun Maybank Azizah Ariffin [akaun bernombor 164892039163] atau Bank Islam Azizah Ariffin [12289022169211].

Sama-samalah kita doakan keadaan kesihatan dan kecederaan kaki yang dialami Muzakkir semakin baik.

Baca juga: Pelik Murid Datang Sekolah Setiap Hari Tak Ikut Penggiliran, Masuk Hari Ketiga Baru Tahu Rupanya…

Baca juga: “Betul ke ni bagi kat abah?" Bapa terkesima, sebak terima hadiah jam tangan mahal daripada anak

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca