SISTEM penggiliran ke sekolah rendah dan menengah dengan kapasiti kehadiran murid setiap minggu 50 peratus daripada jumlah keseluruhan adalah untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Ini bermakna murid perlu mengikut penggiliran ke sekolah dan dalam masa yang sama menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara berselang seli setiap minggu.

Sistem penggiliran yang bermula awal November lalu mendedahkan sebuah kisah yang menginsafkan.

Perkongsian seorang guru dikenali Cikgu Lynn Ismail di sebuah grup laman sosial Facebook baru-baru ini menjentik hati warga maya. Ikuti coretan guru ini yang membuka minda kita semua.

“Ini ‘deep’. Minggu ini ada seorang murid dari kumpulan A hadir. Saya menyangka mungkin murid itu tidak tahu tentang penggiliran. Lalu saya terangkan kepada dia.

“Minggu lepas awak sudah hadir, minggu ini tidak payah hadir. Belajar di rumah. Minggu depan baru hadir ke sekolah.”

Dia mengangguk tanda faham.

Keesokan harinya dia hadir lagi.

“Kenapa awak datang ke sekolah hari ini? Kan cikgu kata jangan datang minggu ini. Minggu depan baru datang.”

Dia hanya tunduk dan diam.

“Hari seterusnya, dia datang sekolah lagi. Saya berasa pelik. Takkanlah dia tak faham-faham. Saya dah jelaskan berkali-kali, malah kawan-kawan diapun suruh jangan datang ke sekolah minggu ini.

“Hari Selasa, giliran saya menjaga kelas waktu rehat. Budak itu penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Saya tengok dia makan nasi lauk kari ayam dengan lahapnya seolah-olah terlalu lapar. Mungkin dia datang ke sekolah setiap hari untuk makan.

“Hari ini hari keempat dia hadir ke sekolah minggu ini. Dan saya tak mahu lagi bertanya. Biarlah dia datang ke sekolah untuk makan,” titip Cikgu Lynn.

Iklan

 

Gambar hiasan

 

Rupa-rupanya murid itu sanggup hadir ke sekolah semata-maya untuk memakan makanan yang disediakan pihak sekolah.

Bagaimana agaknya keadaan keluarganya di rumah? Bagaimana  kanak-kanak ini melalui hari-hari yang tatkala tidak ke sekolah? Entah makan atau tidak.

Ternyata masih ramai yang terpaksa mengikat perut dan mencatu makanan dan ia bukanlah babak dalam drama.

Iklan

Bayangkan tentu hancur dan remuk perasaan ibu bapanya tatkala tidak mampu menyediakan makanan yang cukup untuk anak-anak.

Pada fasa pemulihan selepas pandemik ini, tidak semua kembali kepada kehidupan normal.

Ramai lagi yang masih bertatih semula memulakan hidup baru susulan kehilangan pekerjaan atau kematian ahli keluarga tempat bergantung akibat Covid-19.

Walau apa pun kesukaran yang dihadapi, moga keluarga murid ini sentiasa dilindungi dan baik-baik sahaja.

Baca juga: Gigih delivery 12 jam sehari, siapkan tesis, rider akhirnya bergelar doktor, raih PhD

Baca juga: Dr Amalina rangkul anugerah di Britain, Women of Future Awards 2021

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sumber: Cikgu Lynn Ismail