Surat terbuka Doktor, sedih dengan masyarakat alpa hari ini
SEMUA maklum, kes baharu jangkitan COvid-19 di negara kita kini di tahap yang sangat menakutkan.
Saban hari angka yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan trend jangkitan positif sejak kebelakangan ini nampaknya melebihi 2,000 kes.
Oleh itu, seorang doktor tampil menulis catatan di Facebook meluahkan rasa kecewa bagi pihaknya terutama semua barisan hadapan (frontliner).
Beliau turut membuat teguran kepada masyarakat yang dilihat seperti alpa dengan peningkatan kes.
Ini pendedahan Dr Alzamani Mohammad Idrose yang terlibat di 'medan perang' dalam hospital.
"Bekerja semalam, katil-katil penuh dengan kes-kes berisiko Covid-19. Pasukan kami bekerja keras tanpa henti."Kes-kes pula tidak dapat masuk ke wad kerana semua katil hospital telah penuh. Malah kes-kes yang perlukan ventilator yang sepatutnya masuk ICU terpaksa diurus di zon kecemasan.
"Kami juga berhadapan dengan rakan-rakan yang ‘tumbang’ satu persatu kerana dijangkiti Covid-19. Malah kes-kes berisiko di kecemasan semasa bertugas hari ini, walaupun tiada kontak dengan pesakit Covid-19, lima daripada mereka positif Covid-19 apabila ujian makmal balik kemudiannya.
"Malah, semalam satu kes yang ditikam isteri selepas bergaduh, positif Covid-19. Merawat trauma satu hal, merawat Covid-19 pula satu hal lagi.
"Yang positif dadah ‘methamphetamine’, yang dapat sawan, dapat strok, serangan jantung masuk ke zon rawatan yang sudahpun penuh,"tulisnya.
Menurutnya, hanya kerjasama rakan sekerja menjadi sumber kekuatan ketika bertugas.
"Satu-satunya penenang jiwa adalah pasukan kami yang sabar dan bantu-membantu dalam susah dan senang."Habis syif semua keletihan tetapi masih tetap senyum mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekerja satu syif.
"Cuma terasa tidak seronok kerana rakan-rakan yang mengambil alih syif menerima katil-katil yang penuh pada permulaan syif. Tidak suka menjadikan hari mereka sukar," ujarnya.
Dr Alzamani turut berpesan kepada masyarakat agar terus mengamalkan penjarakan sosial, satu meter.
"Anda masih makan beramai-ramai di pantri dan kedai makan pada jarak kurang 1 meter? Anda ketawa terbahak-bahak di meja yang dicantumkan?"Anda membuka pelitup muka dan mengambil gambar di kenduri-kendara? Anda bersalam, berpeluk dan cium dengan saudara jauh yang melawat?
"Pakai pelitup muka sudah bagus, tetapi semuanya menjadi gagal kerana tidak menjarakkan diri di tempat makan serta bersalaman atau bersentuhan dengan rakan-rakan atau saudara jauh dalam majlis.
"Malah, tanpa sekuman rasa bersalah dan penuh bangga anda berkongsi gambar-gambar yang diambil rapat-rapat kurang 1 meter dalam keadaan membuka pelitup muka di media sosial dan ini seterusnya menjadi ikutan orang lain.
"Ianya amat menusuk hati kerana menjadi bukti langgar SOP yang dipamerkan.
"Saya sangat hairan dengan nilai moral dan etika mereka yang masih demikian sikapnya walaupun dipesan dan diingatkan dengan mesra, rayu malah sedikit rasa marah. Tulis surat sudah, buat video pesanan pun sudah," ujarnya.
Katanya kes sudah pun meledak dan kita berada dalam peperangan yang momentumnya deras. Jumlah kes adalah tertinggi kini.
"Pulang kerja, apabila melewati kedai-kedai makan, saya melihat fenomena serupa, makan ramai-ramai pada meja kecil yang jaraknya kurang 1 meter. Kalau makan 2 orang semeja pun, ia meja kecil dan jaraknya kurang 1 meter dan pastinya virus boleh melompat dengan mudah dalam keadaan tanpa pelitup muka."Begitu juga bila beriadah. Anda boleh berseronok tanpa sedikitpun ada etika untuk menghentikan rantaian Covid-19. Rakan-rakan sekerja kami bertarung dan ada yang tumbang. Kami menerima semua ‘hasil sumbangan’ anda setiap hari di hospital.
"Apabila anda tidak serius mengamalkan SOP, anda memberi ‘peluru hidup’ kepada virus untuk frontliner ditembak.
"Mereka yang serius mengikut SOP pula menjadi perisai kepada kami dan sungguh kami hargai. Terima kasih atas budi baik anda.
"Sebenarnya hanya anda sahaja yang boleh memenangkan perang ini, bukan kami. Kami hanya menguruskannya sahaja," katanya.
Sumber: Dr Alzamani Mohammad Idrose
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang