TIDAK mampu berjalan dengan sempurna seperti kanak-kanak lain membuatkan Ruzimi Mohamed pada satu ketika dulu sering menyendiri, dihambat perasaan rendah diri dan adakalanya berasa takut.

Akui lelaki itu, beliau sukar untuk menolak perasaan cemburu tatkala menghayati kesempurnaan fizikal yang dimiliki abang dan kakak kandungnya.

“Disebabkan itu, saya pernah bertanya pada diri sendiri kenapa diri saya dilahirkan dengan tangan tidak sempurna?,” imbas anak bongsu daripada 10 beradik itu.

Ketika berada di alam kanak-kanak, Ruzimi berkata, beliau tidak terlepas daripada diusik oleh rakan-rakan sekeliling yang mempersendakan tangan kudungnya begitu kerana mencuri.

Dr Ruzimi

Secara lahiriahnya, Ikon OKU Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu dilahirkan tanpa kedua-dua kaki sampai ke paras paha dan tangan kiri pula kudung paras siku.

Disebabkan kekurangan itu, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan tersebut terpaksa bergantung dengan kerusi roda untuk belajar waima berbuat apa sahaja.

Namun katanya, sokongan keluarga sebenarnya menjadi pencetus semangat terbesar kepadanya untuk menelaah pelajaran walaupun berterusan diejek.

“Sebenarnya, saya cukup bersyukur kerana masih ada tangan kanan yang sempurna untuk uruskan diri dan menulis jika dibandingkan dengan kawan-kawan OKU (orang kelainan upaya) yang lain.

Dr Ruzimi

“Barangkali disebabkan itu, saya lebih positif dan reda dengan ketentuan takdir. Ketika itu, saya lihat hanya pendidikan sahaja mampu mengubah nasib hidup,” ujarnya dengan penuh semangat.

Enggan menoleh ke belakang, pemuda berusia 35 tahun itu terus memahat cita-cita mahu bergelar seorang pendidik. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadikan sebagai idolanya.

Aplikasi mudah alih

Dengan semangat membara, Ruzimi berjaya membuktikan kemampuan diri apabila bergelar pelajar terbaik Sarjana Sains Komputer (Keusahawanan Teknologi Maklumat), Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 2011.

Lebih membanggakan, beliau sudah mendapat gelaran Doktor Falsafah dalam bidang Sains Komputer dan sedang sibuk membangunkan aplikasi mudah alih untuk murid OKU.

Dr Ruzimi

“Aplikasi mudah alih yang dinamakan Projek Iskandar ini bertujuan untuk memberikan pemahaman lebih jelas mengenai subjek pendidikan Islam menggunakan teknologi Augmented Reality (AR).

Iklan

“Sasaran projek ini adalah murid OKU pekak di seluruh negara, golongan ibu bapa yang memiliki anak OKU dan para guru yang terlibat secara langsung dalam Program Pendidikan Khas,” katanya.

Mengulas lanjut, Ruzimi berkata, projek yang diusahakan itu menerima geran selepas beliau memenangi pertandingan MyHackathon 2020 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Alhamdulillah saya menjadi antara tiga pemenang yang menerima geran bersyarat berjumlah RM250,000. Saya bersyukur kerana aplikasi mudah alih ini mampu membantu golongan OKU khususnya murid sekolah.

Dr Ruzimi

“Sudah menjadi impian saya untuk melihat teknologi yang dirintis dapat memberi manfaat kepada anak OKU untuk belajar dengan lebih baik walaupun tidak sempurna seperti murid aliran perdana,” tutur pakar teknologi maklumat itu.

Hasil kekreatifannya juga telah memberi ganjaran rezeki berlipat ganda apabila beliau yang juga pakar motivasi telah memenangi siri pertandingan termasuk geran perniagaan berjumlah RM500,000.

Iklan

Menariknya tentang bapa kepada seorang cahaya mata dan suami kepada Quratul Ain Hasanan, 34, beliau turut menguruskan perniagaan sendiri berasaskan penerbitan buku interaktif pembelajaran bahasa isyarat.

Dr Ruzimi

“Sudah menjadi hasrat saya untuk memberi peluang kepada semua anak yang tidak sempuna untuk dapat belajar dengan baik menggunakan teknologi terkini yang cukup mudah, hanya muat turun dan imbas sahaja.

“Belajar itu mudah sebenarnya. Saya mohon, jangan jadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk berjaya. Semua manusia sama sahaja dan membezakan kita adalah usaha untuk ubah nasib diri,” nasihatnya penuh optimis.

PROFIL

  • Nama: Ruzimi MohamedUmur: 35 tahun
  • Asal: Kota Bharu, Kelantan
  • Kerjaya: Usahawan digital
  • Pendidikan:Sarjana Sains Komputer (Keusahawanan Teknologi Maklumat), Universiti Teknologi Malaysia (2011)
  • Doktor Falsafah Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (2019)
  • Pencapaian: Pemenang Geran Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) 2017, Graduan Usahawan Digital 2018, Johor Startup 2018, Pemenang MTDC Road 2 Growth Southern Region 2019, Pemenang Ketiga MTDC Accelerator Final Pichting 2019, Pemenang Digital Content Creators Challenge 2020 dan pemenang Myhackathon 2020
  • Facebook: Ruzimi Mohamed