“PADA 27 Januari lalu, datang seorang individu penghantar barang ke rumah saya. Yang peliknya, dia membuat penghantaran namun meminta caj COD sebanyak RM3,000.”

Begitulah cerita seorang wanita yang merasai dirinya hampir terjerat penipuan.

Katanya, ketika itu dia amat takut kerana tidak pernah melalui detik itu.

“Saya memang cuak dan takut serta bermacam-macam perasaan lagi. Saya memang bertegas tidak mahu membayar.

“Akhirnya keluarlah seorang lagi rakannya dari kereta yang memperkenalkan diri sebagai staf Sinar Harian,” ujarnya.

"Tak sangka menang RM30,000, kali pertama masuk peraduan" - Pemenang Peraduan Sinar Harian Di Hatiku

Nurhidayah Ab Ghani, 37, berasal dari Dungun, Terengganu telah mendapat ‘durian runtuh’ apabila diumumkan sebagai pemenang tempat pertama Peraduan Sinar Harian Di Hatiku.

Katanya, ketika staf Sinar Harian datang ke rumahnya mengumumkan kemenangan itu, dia amat terkejut dan seolah tidak percaya.

“Memang terkejut dan tak sangka langsung menang… lebih-lebih lagi hadiah utama sebab saya tak pernah menyertai mana-mana pertandingan sebelum ini.

“Ya Allah, alhamdulillah sungguh! Apatah lagi bila tengok dalam Sinar Harian, contoh-contoh penyertaan orang lain sepanjang peraduan berlangsung. Semuanya jauh lebih kreatif daripada saya,” katanya.

Menurutnya, apabila ternampak iklan di akhbar Sinar Harian, dirinya sangat teruja untuk mencuba.

Iklan

“Saya memang pembaca tetap akhbar Sinar Harian dan Sinar Harian Online. Secara kebetulan suatu hari tu, saya ternampak iklan peraduan ini betul-betul sebelum ia bermula.

“Jadi saya berpeluang untuk kumpul bahan akhbar yang ditetapkan syarat peraduan tersebut. Saya dapat lengkapkan semua empat siri peraduan tanpa tertinggal,” ujarnya kepada SinarPlus apabila menceritakan kembali bagaimana dia terdetik ingin mencuba nasib.

"Tak sangka menang RM30,000, kali pertama masuk peraduan" - Pemenang Peraduan Sinar Harian Di Hatiku

Nurhidayah yang merupakan graduan Sains Gunaan di Universiti Malaya (UM) itu turut menyatakan akan menggunakan wang kemenangan tersebut sebagai simpanan dan kegunaan keluarganya.

Iklan

“Saya cadang nak simpan dulu sebab sekarang ini saya jaga mak sepenuh masa jadi mungkin untuk kegunaan mak. Saya simpan sebahagian dan sebahagian lagi digunakan untuk keluarga.

“Saya tak pernah bekerja, ketika habis belajar, saya menjaga arwah abang OKU yang sakit terlantar.

Baca juga ‘Ikan keli organik masak kicap’ jadi buruan penduduk Kota Bharu

“Saya rasa mak memang memerlukan bantuan untuk uruskan abang ketika itu memandangkan ayah sibuk dengan kerjanya sebagai kontraktor.

“Namun tak lama selepas abang meninggal, ayah saya turut pergi mengadap Ilahi pada 2018. Oleh kerana arwah ayah meninggal secara mengejut, saya perlu menyelesaikan kerja-kerja terbengkalai yang ditinggalkan,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

Terdahulu, Peraduan Sinar Harian Di Hatiku berlangsung bermula 5 Oktober sehingga 14 Disember lalu yang terbahagi kepada dua iaitu kategori utama menawarkan RM30,000 kepada pemenang tempat pertama dan kategori kreatif yang menawarkan pemenang tempat pertama hadiah RM5,000. Keputusan telah diumumkan pada 1 Februari lalu.