TERBAIK dan membanggakan! Peserta dari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan muncul sebagai Johan Qari Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63.

Dalam acara berprestij itu, Muhammad Qayyim meraih markah 94.96 peratus mengalahkan peserta dari Iran, Alireza Bizhaniavval yang memperoleh 93.30 peratus.

Peserta dari Brunei Darussalam, Awang Mohd Zul-Hafiz Awang Tengah  yang meraih markah 90.38 peratus pula muncul sebagai pemenang di tempa ketiga.

Baca juga: Sofizah ungguli pertandingan tilawah antarabangsa, 15 fakta mengenainya

Bukan calang-calang pemuda ini, sejak kecil lagi menunjukkan bakat dalam bidang al-Quran. Berikut 10 fakta menarik mengenainya:

1-Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dilahirkan pada 7 September 1998.

2-Beliau memiliki Diploma Tahfiz Al-Quran dan Ijazah Sarjana Muda Tahfiz dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, Kelantan.

3-Menggunakan al-Quran braille, beliau mendapat bimbingan dalam pembacaan al-Quran melalui Ustaz Yahya Daud, Ustaz Fauzi Awang, Ustaz Abdul Rahim Ahmad dan Ustaz Husin Yunus.

4-Pemuda kelahiran Ketereh, Kota Bharu, Kelantan ini menguasai tujuh jenis taranum iaitu baiyati, soba, hijaz, nahwand, rast, sikah dan jiharkah.

5-Kemerduan suara Muhammad Qayyim tidak asing lagi buat pendengar Kelantan FM dan Klasik Nasional kerana beliau juga memperdengarkan azan bagi kedua-dua saluran radio berkenaan.

6-Pemuda ini sememangnya berbakat. Sejak berumur 10 tahun bakat Muhammad Qayyim digilap hingga menjadi naib johan Pertandingan Azan Subuh kategori junior bermasalah penglihatan peringkat kebangsaan dan juara Pertandingan Azan Peringkat Kebangsaan pada 2006 dan 2007.

Baca juga: Qari cilik Ahmad Azfar Johan Musabaqah Mazamir Dawud di Algeria, berani sahut cabaran pada usia muda

7-Muhammad Qayyim pernah dijemput Presiden, Turki Recep Tayyip Erdogan semasa penutupan Majlis Penyampaian hadiah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Ankara, Turki pada tahun 2016.

8- Muhammad Qayyim meraih tempat ketiga, kedua dan johan bagi kategori Qari pada Majlis Tilawah dan MenghafazAl-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun 2017, 2019 dan 2020.

9-Pada Jun 2023, beliau sekali lagi muncul sebagai Johan Qari Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan.

10-Pencapaian terbaik buat Muhammad Qayyim apabila dinobatkan sebagai Johan Qari Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-63.

Baca juga: Walau buta mata, Aisyah Humairah tidak buta hati. Remaja ini pilih mendekati al-Quran dalam hidupnya

Muhammad Qayyim Nizar, 25, menzahirkan bersyukur kerana usahanya selama 16 tahun mendalami dan mempelajari skil bacaan al-Quran menggunakan naskhah Braille membuahkan hasil.

“Perasaan saya gembira ada, sebak ada… bagi saya, kita kena ada minat dalam bidang tarannum, saya sarankan untuk kita semua belajar tarannum sebab ia boleh buat kita rasa seronok dan kita boleh bawa bacaan dalam solat,” katanya.

Menyatakan penghargaan buat ayah dan keluarga yang memberi sokongan dalam bidang ini, Muhammad Qayyim turut menyeru golongan OKU penglihatan mendalami al-Quran.

Iklan

“Pada sesiapa yang ada masalah penglihatan, kita ni kena juga belajar baca al-Quran kerana dengan al-Quran ni, cerah masa depan kita,” katanya.

Dalam sebuah temubual yang tular, Muhammad Qayyim menyatakan beliau tidak mementingkan menang atau kalah sebaliknya menetapkan nawaitu mendapatkan keredaan ALLAH dan Rasulullah SAW.

Baca juga: Johan tilawah al-Quran, Sofizah Mousin belajar taranum sejak kecil. Mahu perluaskan ilmu dan kembara dakwah

“Yang pertama ialah niat belajar al-Quran untuk mengejar reda ALLAH dan Rasul. Apabila kedua-dua ini yang dikejar, maka dunia akan ikut bersama.

“Dalam mana-mana temu ramah, saya menekankan setiap kali menyertai pertandingan saya tidak mengharap kemenangan. Saya mengharapkan reda ALLAH dan Rasul.

“Saya juga mengharapkan apabila membaca al-Quran, penonton yang mendengarnya akan berasa puas hati. Menang atau kalah, saya berserah kepada ALLAH dan juri yang menghakimi,” ujarnya yang memberikan inspirasi.

Baca juga: Tak cukup dengan maahad, pengacara TV Al-Hijrah, Nur Nadhrah pasang impian murni buka wisma tahfiz lebih besar

Iklan

 

Majlis yang sama turut menobatkan peserta Maghribi Sara Belmamoun sebagai Johan Qariah dengan markah 93.05 peratus, tempat kedua Raudhah Supian Noor dari Indonesia dengan 92.21 peratus, manakala peserta Filipina, Sabaha Pato Salik di tempat ketiga dengan 91.50 peratus.

Manakala kategori hafazan lelaki, Omar Toure dari Guinea muncul johan dengan markah 98.63 peratus, diikuti Maamon Ahmed Raweh Mohammed dari Yaman dengan 97.38 peratus dan tempat ketiga Ali Attia dari Chad (97.07 peratus).

Peserta Algeria, Tebani Cheyma Enfal pula muncul johan bagi kategori hafazan wanita dengan markah 96.32 peratus, tempat kedua Ndeye Seynabou Ngom dari Senegal (95.25 peratus) dan ketiga Sidi El Moctar Khadijetou dari Mauritania (94.19 peratus).

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!