KEHADIRAN Nur Nadhrah Mohamed Yunos ke Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini dinanti-nantikan kami.

Masakan tidak, setelah sekian lama hanya menonton wajah dan alunan merdu suara beliau di kaca TV Al-Hijrah menerusi segmen Mai Ngaji, akhirnya kami bertentang empat mata.

Ketika bersua, terngiang-ngiang kelantangan tuan punya badan menjelaskan hukum tajwid dan kaedah menyebut makhraj huruf-huruf hijaiyah dengan betul pada program berkenaan.

Kami kira, sempena sambutan Awal Muharram 1445 Hijrah, beliau ialah personaliti yang selayaknya menjadi penghias wajah SinarPlus kali ini.

Barangkali perspektif dan ikhtisar dakwah yang bakal dikongsinya memberi manfaat kepada pembaca nanti.

Tidak mahu masa berharga Pengetua Maahad Tahfiz Orkeed Huffaz terbiar begitu sahaja, saat dioles rapi oleh jurumekap, kami terus memulakan rentak bicara.

Mukadimah kata semestinya penulis tanyakan tentang takrifan Awal Muharram atau sambutan tahun baharu umat Islam bagi pandangan peribadinya.

 

Seperti gaya dalam rancangan Mai Mengaji, Nurul Nadhrah terus berkata: “Muharram merupakan bulan yang memerlukan kita untuk melakukan amal kebaikan kepada ALLAH, sesama manusia lain termasuk diri sendiri. Pada bulan yang mulia ini juga, kita perlu meninggalkan perkara-perkara buruk.“

Di samping itu, adalah lebih afdal jika sunah-sunah yang dianjurkan Islam diamalkan.

Antaranya berpuasa bagi menunjukkan rasa syukur, perbanyakkan solat sunat, berzikir dan mengusap kepala anak-anak yatim, kata beliau.

Sukar untuk dinyatakan secara terbuka, namun hakikatnya pada zaman milenial ini, umat Islam dilihat begitu beria-ia meraikan tahun baharu mengikut kalendar Gregorian. Namun, apabila disebut Awal Muharram, jangan terkejut jika segelintir tidak tahu-menahu.

Memahami senario tersebut, Nur Nadhrah berkata, itu berlaku disebabkan sedikit hebahan awam atau pendedahan di saluran media sosial, televisyen waima menerusi radio tentang betapa nikmat dan hebatnya agama suci ini.

“Saya juga berpendapat, kecenderungan kepada hal ehwal berkaitan hiburan menyebabkan perkara tersebut berlaku,“ ujar mantan guru tasmik di beberapa institusi tahfiz di negara ini.

Baca juga: ‘Mesti ada sebab ALLAH susun sebegini’. Datin Lisa Surihani lerai pertanyaan tentang kehilangannya dalam dunia lakonan

Apa pun, bagi Nur Nadhrah, beliau tetap teguh dengan misinya untuk menjadi seorang yang lebih berguna. Pada masa sama, beriltizam mahu menyebarkan lebih banyak pengetahuan kepada masyarakat.

Syahadah 30 Juzuk

Sememangnya soalan ini memang sudah lama direncana untuk ditanya. Bagaimana titik mula beliau mendekatkan diri dengan al-Quran iaitu mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW?

Dengan senyuman merekah, wanita berusia 34 tahun itu dengan rendah diri menitipkan cerita.

Ujar tuan punya badan, sejak usia mencecah 13 tahun, dirinya sudah memulakan hafazan (30 juzuk) sebelum serius mendalami bidang berkenaan sehingga bergelar huffaz dua tahun selepas itu.

Seperti kata hafiz lain yang penulis pernah temui, bukan mudah untuk menghafal lebih 6,000 ayat.

“Ya, benar. Tidak senang kerana ia melibatkan kalimah bahasa Arab. Bagaimanapun, percayalah jika kita fokus dan menanamkan tekad, insya-ALLAH kitab suci ini boleh kita kuasai.

“Saya sendiri akan bangun seawal pukul 4 pagi untuk membuat hafalan. Alhamdulillah, kalimah suci ini sudah tersemat di dalam jiwa saya,“ katanya.

Baca juga:‘Saya mahu jalan terus’. Digelar cepat koyak & sentap, Sissy Iman langsung tak kisah

Keseriusan Nur Nadhrah untuk terus mendampingi al-Quran memang jelas. Beliau meneruskan usahanya dengan menyertai program Syahadah 30 Juzuk al-Quran di Maahad Tahfiz Muar, Johor selama setahun.

Syahadah adalah tahap tertinggi untuk penghafal al-Quran yang mana seseorang perlu melepasi ujian hafazan selama dua hari berturut-turut dan tidak boleh melakukan lebih daripada 15 kesalahan.

“Syukur ke hadrat ILAHI, saya berjaya melepasi ujian tersebut dengan hanya satu kesalahan,“ kongsinya.

Beliau kini aktif dalam Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Negeri Selangor sebagai salah seorang pentashih bacaan pelajar yang akan menerima Sijil Syahadah.

Bersama dengan Nur Nadhrah, keinginan untuk membincangkan hal ehwal agama semakin membuak-buak.

Rasanya tidak cukup dengan tip bangkit seawal pagi untuk mengingatkan bait-bait suci kalimah ALLAH. Pasti terselit mana-mana petua yang barangkali boleh sama-sama kita dipraktikkan.

Kesungguhan penulis dihargainya. Maka, satu persatu tunjuk ajar dikongsikan.

“Terlebih dulu, ingin saya ingatkan bahawa setiap pencapaian memerlukan usaha. Itu yang penting. Ada orang kata hendak menghafal perlu menjaga permakanan, tetapi bagi saya, jika tidak disusuli dengan kemahuan yang jelas, kita tidak akan mampu melakukan,“ katanya dengan nada penuh tegas.

Menurut pencinta aktiviti lasak itu, al-Quran boleh dihafal dengan mengulangi setiap ayat beberapa kali. Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa setiap bacaan perlu diulang sebanyak 40 kali.

Baca juga: ‘Kehadiran Hana telah banyak mengubah prestasi diri dan sumber kekuatan saya’. Ucapan tulus Da‘i Syed kepada isterinya

“Justeru, carilah masa sesuai. Kalau boleh elakkan selepas solat Asar kerana waktu tersebut boleh menyebabkan kita cepat lupa. Masa yang baik untuk menghafal adalah sebelum dan sesudah waktu Subuh atau seusai solat Maghrib,“ katanya sambil berpesan supaya mengulangi dan mengulangi sesuatu ayat sampai diingati.

Iklan

Tutur Nur Nadhrah lagi, mempelajari al-Quran adalah sesuatu yang sangat berat. Banyak dugaan akan dilalui sebelum memperoleh kemanisannya.

Justeru, proses hafalan kitabullah itu perlu disisip dengan niat yang baik.

“Jangan pernah berputus asa dan pandang apa yang kita akan dapat bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak. ALLAH akan sediakan syurga yang tertinggi untuk mereka yang menghafal mukjizat agung ini,“ katanya sambil berkata, jika al-Quran dijadikan sebagai keutamaan dalam kehidupan, insya-ALLAH dunia akan mengikut dan menyanjung kita.

Asas maahad tahfiz

Mengulas lanjut, Nur Nadhrah berkata, tiada penetapan umur untuk mula menghafal kitab suci itu, namun seeloknya dimulakan seawal usia ketika pemikiran masih lagi segar.

“Berbeza apabila sudah meningkat usia, banyak yang kita fikir dan hendak buat, ia sedikit sebanyak mengganggu hafalan. Namun, jika ada kecekalan, insya-ALLAH pada umur berapa sekali pun masih boleh hafal al-Quran,“ ujarnya.

Memberi contoh pelajarnya, ada yang sudah berusia 25 tahun dan masih bersemangat untuk berbuat demikian. Namun, pesan beliau, seseorang perlu menguasai tajwid terlebih dahulu.

Bercakap soal pendekatan yang diambil dalam dakwahnya, Nur Nadhrah berkata, beliau sangat rapat dengan pelajar dan masyarakat serta menjadikan mereka sebagai kawan.

“Saya mengajar dengan kasih sayang. Walaupun ada yang berpendapat perlu meletakkan jurang antara pelajar dan guru, namun bagi saya, dengan kasih sayang yang diberikan, pelajar lebih cepat untuk menerima dan lebih mudah faham,“ katanya.

Sesungguhnya, kelebihan dan ilmu yang diraih anak kelahiran Selangor yang membesar di Melaka itu tidak dibazirkan begitu sahaja.

Wanita berkenaan mempunyai misi yang tertinggi. Selepas dicongak itu ini, akhirnya impian menubuhkan Maahad Tahfiz Orkeed Huffaz bersama sahabat baiknya dapat direalisasikan.

Johan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Johor dan Melaka tiga kali berturut-turut tersebut melaungkan azam mahu melahirkan lebih ramai huffaz dalam kalangan kaum Hawa.

Impiannya itu bertemu dengan jalan mudah kerana setakat artikel ini ditulis Maahad Tahfiz Orkeed Huffaz kini terdapat di Bangi, Selangor dan Melaka.

Tambah manis, sehingga kini, sebanyak 23 orang pelajarnya sudah berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran.

Iklan

Bukan itu sahaja, pelajar beliau juga berjaya bersaing di peringkat tertinggi apabila layak mewakili negeri Selangor pada pertandingan hafazan peringkat kebangsaan.

Kami terus larut bercerita tentang percambahan pusat tahfiz yang semakin banyak didirikan di negara ini.

“Memang banyak pusat tahfiz yang telah dibina, namun apa yang perlu diberi perhatian adalah kualitinya. Di institusi saya misalnya, saya sentiasa memastikan mutu hafalan pelajar.

“Seperkara yang ingin saya tegaskan, saya buka tahfiz bukan untuk bisnes. Niat saya ikhlas untuk memberi ilmu kepada orang ramai yang mahu mendapat pembelajaran bermutu dan diredai-NYA,“ katanya.

Baca juga: ‘Asalkan itu yang terbaik buat dirinya’. Komen Syada Amzah dengan pilihan kakak. Bakal ikut jejak Shila tak lama lagi

Baca juga:Jihad Heliza & Hazwani tak pernah luntur, ikhlas bantu semua orang termasuk haiwan. Ada lagi tambahan misi mereka…

Ditanya apa impiannya yang masih belum digapai, Nur Nadhrah tanpa berselindung berkata, beliau mahu membina sebuah wisma tahfiz yang lengkap dengan aliran atau silibus perdana sehingga ke peringkat kolej.

“Pusat agama kelolaan kami sekarang hanya memfokuskan dalam bidang tahfiz sahaja. Jika semua disepadukan, ia bertambah menarik. Malah, saya juga mahu dedahkan pelajar dengan sukan taekwondo, memanah dan berenang,“ kata beliau yang berharap gagasan nirmalanya itu dapat dimuktamadkan pada suatu hari nanti.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang