[VIDEO] Ramai terkesima mendengar ucapan Duta AS di Malaysia yang fasih cakap Melayu
PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara dilihat semakin serius sekali gus menarik perhatian beberapa negara seperti Jepun, China termasuk Amerika Syarikat (AS) yang bersedia memberi bantuan kepada Malaysia.
AS tidak hanya memberikan kerjasama yang baik, bahkan negara kuasa besar itu turut menyumbangkan peralatan teknologi maklumat, peralatan pelindung diri seperti pelitup muka, cecair sanitasi dan termometer.
Pun begitu, bukan sekadar pertolongan yang mahu diceritakan, namun kehadiran Duta Besar AS di Malaysia, Brian D. McFeeters, 61, yang baharu menggantikan Kamala Shirin Lakhdhir mencuri tumpuan ramai.
Masakan tidak, video berdurasi 2.04 minit yang menyaksikan McFeeters berucap dalam Bahasa Melayu dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi Kedutaan AS di Malaysia menarik perhatian warganet.
Ramai yang terkesima dan teruja melihat seorang wakil diplomat dari AS fasih memberi ucapan ringkas dalam bahasa ibunda kita mengenai bantuan Covid-19 yang dihulurkan negara Uncle Sam itu.
Jika disoroti profil kerjayanya, beliau pernah bertugas di beberapa negara Asia seperti Indonesia dan pernah dilantik sebagai Penasihat Politik Kedutaan AS di Kuala Lumpur bermula tahun 2009 hingga 2011.
Kemungkinan atas faktor pengalaman dan pendedahan yang luas membuatkan dirinya boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan kita dengan baik.
Menurut laporan Bernama, selain fasih berbahasa Inggeris dan Melayu, pemimpin itu juga menguasai Bahasa Indonesia, Perancis, Sepanyol dan Jerman. Memang hebat!
Baca juga Pelik-pelik ganjaran vaksin untuk rakyat. Ini yang berlaku di Amerika Syarikat dan Thailand
Okey, ini antara ucapan McFeeters menggunakan Bahasa Melayu baku sepenuhnya yang tular semalam:
"Malaysia sedang mengalami kesulitan serius sebab Covid-19. Pada masa ini, saya sebagai duta dan rakan saya di Kedutaan AS ingin membantu rakyat Malaysia dengan cara apa sekalipun.
"Ini menjadi prioriti utama kami. Hari ini dengan sukacitanya saya umumkan tentang bantuan tambahan Covid-19 oleh pihak kedutaan kepada Malaysia.
"AS kini bekerjasama dengan COVAX untuk menyumbang 80 juta tambahan vaksin COVID-19 kepada program vaksin global yang dikendalikan oleh GAVI dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Awal bulan ini, Presiden Biden mengumumkan bahawa AS akan menyumbangkan tujuh juta dos vaksin COVID-19 ke negara-negara Asia, termasuk Malaysia."
Bagi yang ingin mengenali lebih dekat siapakah sebenarnya McFreeters ini, berikut SinarPlus kongsikan:
1. Beliau merupakan bekas Penasihat Politik Kedutaan AS di Malaysia pada tahun 2009.
2. MCFreeters sampai di Malaysia pada 26 Februari lalu.
3. Pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Misi Kedutaan AS, Baghdad, Iraq, Penasihat Kanan di Pejabat Kaunselor kepada Setiausaha Negara, dan Timbalan Penolong Setiausaha Utama di Biro Ekonomi dan Perniagaan Jabatan Negara di Washington.
4. Lebih 30 tahun dalam Perkhidmatan Luar Negeri termasuk sebagai Ketua Misi AS Indonesia dan Pengarah Jabatan Luar Negeri Maritim Asia Tenggara.
5. Selain fasih berbahasa Melayu, MCFreeters yang memiliki pangkat kapten dalam tentera udara AS itu pandai berbahasa asing seperti Indonesia, Perancis, Sepanyol dan Jerman.
6. Memiliki Ijazah Sains dan Seni dari Universiti of Notre Dame, Sarjana Sains University of New Mexico dan Sarjana Seni di Johns Hopkins School of Advanced International Studies.
7. Pernah menyandang jawatan sebagai Penasihat Menteri Ekonomi Misi AS ke Kesatuan Eropah di Brussels, Belgium; Penasihat Menteri Ekonomi untuk Kedutaan AS Baghdad dan Timbalan Penasihat Politik di Kedutaan AS di Seoul, Korea.
Ingin tahu apa reaksi rakyat Malaysia selepas video McFreeters dimuat naik? Kami petik beberapa komen yang diambil menerusi Facebook Kedutaan AS di Malaysia.
Bangga pandai cakap Melayu.
Ramai juga mengucapkan syukur dengan sumbangan yang diberikan.
Ada juga yang mengusik dengan bertanyakan soalan ada kerja kosong tak?
Tak kurang juga menghargai hubungan persahabatan AS dan Malaysia.
Alhamdulillah masih ada yang prihatin terhadap Malaysia.
Pun begitu, ramai juga menasihatkan supaya jangan mengeluarkan komen berbaur rasis demi perpaduan rakyat.
Terima kasih kepada McFeeters yang menguasai bahasa ibunda kita yang sangat kita dibanggakan. Selamat menjalankan tugas diucapkan kepada anda! #kitajagakita #kitalaluibersama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang