TATKALA negara dilanda pandemik Covid-19, ramai yang terkesan dan kehilangan pekerjaan.

Ada insan-insan yang sedang menanggung derita dan kesusahan. Kais pagi makan pagi, kais petang
makan petang.

Menyedari itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad
Al-Bakri mengambil peluang untuk turun meninjau sendiri kota batu Kuala Lumpur ketika malam
berlabuh.

Menerusi perkongsian beliau di Twitter, tinjuan dibuat malam tadi bersama pihak Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWIKL).

Akui beliau, pandemik kali ini hakikatnya amat meninggalkan kesan terutamanya kepada rakan jalanan
yang saban tahun dapat kita lihat.

“Tujuan saya semata-mata untuk melihat sendiri aktiviti kupu-kupu malam di sekitar Lorong Haji Taib
dan sekitarnya dan cuba meneliti ruang yang sesuai bagi kami di pihak agensi agama, menghulurkan
bantuan untuk mereka keluar daripada kancah kegelapan ini.

“Baru-baru ini saya ada mengirimkan sedikit bantuan kewangan kepada beberapa orang mak nyah yang
baharu memeluk Islam. Ada dalam kalangan mereka masih bekerja di lorong gelap sekitar Kuala Lumpur. Saya doakan mereka dipermudahkan ALLAH SWT untuk mendapatkan pekerjaan yang halal,” coret beliau.

Dr Zulkifli turut berkongsi sebuah kisah seorang ulama bersedekah kepada pelacur.

“Saya teringatkan kisah al-Allamah Syeikh Badruddin al-Hasani, seorang ulama besar Syria yang
mengeluarkan sejumlah besar wang untuk disedekahkan kepada para pelacur.

“Beliau berpesan kepada muridnya, “Ketuklah setiap pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu
menyampaikan sedekah ini katakan bahawa ini adalah sedekah daripada Syeikh Badruddin al-Hasani dan doakan beliau semoga diberkati oleh ALLAH SWT”.

“Keesokkan paginya, sesuatu yang mengejutkan telah berlaku. Seluruh bumi Syria gempar apabila
keseluruhan pelacur yang ada di kawasan tersebut telah beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh
di masjid beliau.

“Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Syeikh Badruddin al-Hasani dan bertaubat
daripada segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan,” ujarnya.

Tinjau kupu-kupu malam sekitar Lorong Haji Taib, Dr Zulkifli cari jalan bantu keluar kancah maksiat

Kata Dr Zulkifli lagi, beliau juga dibawa melihat beberapa ‘kawasan panas’ sekitar itu.

“Saya menjeling jam di tangan. Baru masuk Isyak. Malam masih muda. Saya ditunjukkan beberapa
‘kawasan panas’ yang menjadi tumpuan kupu-kupu malam ini. Ada yang baru ‘buka kedai’.

“Kelihatan beberapa gerai kecil (cuma meja dan lilin) yang meletakkan produk ‘ubat kuat’. Entah
benar atau tidak.

“Saya juga dimaklumkan, oleh kerana desakan ekonomi ketika ini, ada yang sanggup menjual tubuh
hanya dengan nilai RM30.

“Saya mendengar penjelasan Tasya (bukan nama sebenar) daripada Seed Foundation tentang kegiatan
malam hari yang berlaku di sekitar Lorong Haji Taib. Beliaulah yang membawa saya melalui jalan-
jalan sunyi ibu kota pada malam tadi.

“Tinjauan berakhir di Balai Polis Chow Kit tanpa peluang untuk menemui sendiri kelompok marginal
yang masih ‘bekerja’ walaupun dalam musim pandemik ini.

“Saya ada perasan beberapa kelibat daripada jauh. Cuma mungkin mereka juga khuatir andainya
individu yang tak dikenali, mendekati mereka.

“Alhamdulillah, saya berpeluang menyantuni rakan jalanan dengan bekalan burger dan pai epal
daripada McDonalds Malaysia,” kata beliau.

Tinjau kupu-kupu malam sekitar Lorong Haji Taib, Dr Zulkifli cari jalan bantu keluar kancah maksiat

Dr Zulkifli turut berterima kasih kepada JAWIKL dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas
kerjasama.

Iklan

“Saya juga mengadakan kunjungan ke Seed Foundation bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas
berkenaan peranan mereka dalam memberdaya kelompok trans.

“Saya doakan semoga ALLAH SWT mengganjari niat ikhlas mereka dan menetapkan mereka di atas jalan
yang diredhai-NYA. Terima kasih saya ucapkan.

Baca juga Wanita Kedah kongsi pengalaman, menetap di Guinea kampung suami, raih perhatian warganet

Iklan

“Saya akan cuba meneliti ruang dan peluang yang sesuai bagi kelompok ini melalui agensi-agensi agama
peringkat Persekutuan, untuk mereka mendapatkan jaminan yang lebih baik dan dan bebas daripada
penjara lorong-lorong gelap ini.

“Saya ada pendirian yang tegas dalam isu ini daripada sudut agama. Namun ia tidak menghalang saya
untuk sedaya upaya berusaha membantu mereka mendapatkan kehidupan yang lebih baik, dan menyediakan ruang untuk mereka mempraktikkan hak mereka dalam mendapatkan pendidikan agama yang
sewajarnya.

“Setiap orang yang kisah silamnya dan ALLAH SWT senantiasa adalah MAHA PENGASIH,” ujar beliau.