MENJELANG bulan Ramadan, perasaan sayu mula menjentik hatinya. Masakan tidak, setiap kali tiba hari ketiga umat Islam berpuasa, kehilangan bapa tercinta pada tarikh tersebut 12 tahun lalu dirasakannya seolah-olah masih baru terjadi.

Bagi personaliti agama, Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman Al-Yahya, arwah bapanya itulah insan yang bertanggungjawab mendidik beliau mengenali sekali gus mencintai al-Quran sehingga ke hari ini.

“Acap kali ketibaan bulan ini (Ramadan) saya pasti terkenang arwah walid (ayah). Pemergiannya amat dirasai dan kehilangan besar buat saya. Beliau bukan sekadar bapa, bahkan guru dan idola saya dalam mendalami ilmu al-Quran.

“Kenangan bersama walid semakin mengusik jiwa apabila mengenangkan momen tradisi kami sekeluarga membaca sehingga khatam al-Quran sepanjang bulan Ramadan,” luah Ustazah Sharifah Khasif kepada SinarPlus baru-baru ini.

Bicara Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009 yang kini berusia 38 tahun itu, biarpun sudah sedekad pemergian arwah bapanya, beliau utuh memegang kemas titipan nasihat yang ditinggalkan.

Menurut Ustazah Sharifah Khasif, bapanya sentiasa mengingatkan supaya jangan sesekali meninggalkan al-Quran yang mengandungi segala petunjuk. Disebabkan itu, sejak kanak-kanak sehingga dewasa, kitab suci terbabit menjadi peneman setianya setiap hari.

sharifah khasif
USTAZAH SHARIFAH KHASIF mula belajar mengaji bersama arwah walid beliau ketika berusia empat tahun.

“Walau sesibuk manapun dengan pelbagai tugasan ataupun kerja, al-Quran tetap menjadi keutamaan. Saya sedar kemanisan, kebahagian dan kejayaan yang dimiliki hari ini adalah berkat hidup bersama al-Quran,” ujar anak tunggal perempuan yang dilahirkan di Hadramawt, Yemen itu.

Bercerita lanjut mengenai bibit cinta mengalunkan kalam ILAHI, Ustazah Sharifah Khasif menjelaskan, beliau mula mengaji pada usia empat tahun dengan arwah bapanya. Ketika itu beliau mengakui mengalami kesukaran untuk mengenal apatah lagi menghafal huruf alif, ba, ta dan seterusnya.

Kesusahan pada usia mentah itu baginya sukar diterjemahkan dengan kata-kata kerana DIA sahaja yang mengetahui. Hendak mengeluh tidak larat ataupun malas mengaji tidak berani kerana dirasakan walidnya terlalu garang dan tegas.

“Maklumlah, pada usia empat tahun sebahagian kanak-kanak tidak suka mengaji. Semua dilakukan dalam keadaan keterpaksaan. Siapa sangka daripada paksaan itulah lama-kelamaan menyuntik kecintaan saya mencari dan mendalami ilmu al-Quran sebaik mencapai umur 12 tahun.

“Lagipun dalam ketegasan, walid sentiasa memberi dorongan agar tidak berputus asa. Bertitik tolak dari situ saya tekad belajar kenal huruf, memahirkan bacaan dan mendalami tajwid,” celotehnya lanjut.

Bersyukur mencecah usia lima tahun sudah tahu membaca al-Quran, imbasnya setahun kemudian barulah beliau mempelajari ilmu taranum dan berjaya khatam.

Berkat kesungguhan, beliau berpeluang pula menyertai Pertandingan Tilawah Kebangsaan Tenaga Nasional ketika berusia tujuh tahun dan bergelar johan.

Menjelaskan bahawa taranum adalah seni lagu berasaskan alunan bacaan ayat-ayat al-Quran, kongsi beliau, galur seni berkenaan berasal dari negara Parsi. Pada mulanya ia berunsurkan daripada bunyi kicauan burung dan air terjun sebelum diolah menjadi seni lagu hebat.

Ramadan bulan al-Quran
“Paling mengujakan, ketika usia 12 tahun saya meraih kejuaraan dalam Tilawah Sekolah-Sekolah Malaysia. Seronoknya bukan kepalang kerana hadiah utamanya ialah menunaikan ibadah haji walaupun pada usia muda.

“Susulan kejayaan itu juga walid telah menyerahkan tanggungjawab mengajar orang lain yang datang mengaji di rumah kami. Siapa tidak berdebar kerana anak murid pada ketika itu berusia 20 hingga 30 tahun ke atas,” imbas beliau dalam nada teruja.

Dalam pada itu, Ustazah Sharifah Khasif tidak ketinggalan menyarankan umat Islam mengisi masa Ramadan dengan mengaji al-Quran.

sharifah khasif

Ujar beliau, seharusnya sepanjang bulan Ramadan, Muslimin dan Muslimat memperbanyakkan solat, bersedekah dan membaca al-Quran kerana ganjaran pahalanya berlipat ganda.

“Lagipun bulan mulia ini adalah bulan al-Quran kerana ia diturunkan pada malam Lailatul Qadar. Tiada ruginya kita membacanya memandangkan pelbagai kelebihan diperoleh.

“Bayangkan pada bulan lain pahalanya 10, namun pada bulan Ramadan berlipat ganda dari 70 hingga 700 ganjarannya. Jika khatam al-Quran pada bulan ini antara dua hingga empat kali, masya-ALLAH besar ganjarannya,” terang lulusan Sarjana Muda Kewangan, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi, Selangor itu.

Tambah pencinta rona biru firus tersebut: “Selain itu, kita juga perlu mengimarahkan al-Quran kerana ia adalah peguam bela yang akan membela kita ketika di alam kubur.

“Jika di dunia, kita sanggup membayar harga yang mahal untuk mendapatkan khidmat peguam, tetapi di dalam kubur pula sebaliknya. Wang bukan segala-galanya kerana yang membela kita hanyalah al-Quran.”

Naib Johan Akademi Al-Quran musim ketiga TV9 tersebut turut menzahirkan, orang membaca al-Quran yang mengandungi soal rezeki, rahmat, kecantikan, kehebatan dan sebagainya bakal mendapat syafaat tertinggi.

Jangan malu bertatih

USTAZAH SHARIFAH KHASIF yang aktif menganjurkan aktiviti membaca al-Quran menerusi aplikasi Skype, Talaqi dan Tadarus sepanjang bulan Ramadan menasihatkan umat Islam agar terus mengaji kitab suci itu walaupun dalam keadaan bertatih-tatih.

“Berdasarkan pengalaman peribadi menganjurkan aktiviti membaca al-Quran menerusi online, saya dapati sebahagian besar peserta masih bertatih.

“Bagaimanapun, saya terharu apabila ketidaklancaran itu sedikit pun tidak melunturkan semangat juang mereka untuk mempertingkatkan dan melancarkan pembacaan ayat-ayat al-Quran.

“Inilah semangat positif yang kita mahukan. Usah risau dan usah malu kerana orang yang bertatih menikmati dua ganjaran pahala iaitu membaca al-Quran dan berusaha membaca kalamullah (mujahadah),” tegas beliau yang sentiasa kelihatan anggun dalam persalinan Muslimah moden kontemporari.

Bagi generasi muda yang ingin belajar mengaji, Ustazah Sharifah Khasif berkongsi tip mudah.
Menurutnya, apa sahaja ilmu di dunia ini, perkara utama yang harus dititikberatkan adalah mencari guru. Kemudian, belajar talaqqi dan musyafahah daripada bibir ke bibir.

“Elak belajar mengaji menerusi CD, radio atau YouTube. Selain itu, peserta perlu berdisiplin dan menetapkan sasaran khatam al-Quran setiap tiga bulan sekali.

“Sasaran ini penting kerana secara tidak langsung ia mendorong kita berusaha menyempurnakan misi berkenaan. Misalnya, berazam membaca antara satu hingga tiga muka surat al-Quran selepas menunaikan solat fardu,” ujarnya.

Mengapa kita perlu khatam al-Quran? Tahukah anda bahawa umat Islam yang berjaya khatam, kelebihannya ialah doa mereka diangkat dan diaminkan oleh para malaikat, ulasnya.

Dalam pada itu, menurutnya, mereka yang sentiasa mengutamakan waktu harian dengan membaca al-Quran akan mendapat nur (cahaya) pada wajahnya.

“Perlu dimengerti bahawa nur itu tidak merujuk pada kilauan atau glow (seri) kulit wajah, namun ia adalah hikmah susulan mengamalkan membaca al-Quran.

“Impaknya, kita akan disayangi oleh orang sekeliling, mudah mendapat sahabat, memperoleh rezeki yang tidak disangka-sangka dan urusan kehidupan dipermudahkan-NYA.

Iklan

“Inilah keberkatan dan mukjizat al-Quran. Biarpun tidak lancar, kita harus belajar dan terus belajar waima seseorang itu baru mula mengaji ketika menginjak usia 25 tahun,” katanya.

Tambah ibu tunggal kepada seorang puteri, Abeer Widad berusia enam tahun itu, ketahuilah dalam ilmu al-Quran tiada istilah terlewat ataupun penetapan had usia. Tidak perlu percaya pada persepsi semakin berusia lidah semakin keras.

sharifah khasif
ABEER WIDAD (kiri) permata hati dan penglipur lara Ustazah Sharifah Khasif.

“Justeru, apabila kita cuba memahirkan lidah dan mencantikkan suara tatkala mengalunkan ayat-ayat al-Quran, bukan sahaja malaikat, bahkan ALLAH juga akan membantu mempermudahkan,” jelas beliau.

 

Profil:

Nama penuh: Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman Al-Yahya

Umur: 38 tahun

Tempat lahir: Hadramawt, Yemen

Adik-beradik: Anak kedua daripada tiga beradik

Pendidikan:

– Sekolah Rendah Manjoi 2 Ipoh, Perak

Iklan

– Sekolah Menengah Diktor Megat Khas

– Sekolah Menengah Teknik Leboh Cator Ipoh, Perak

– Sarjana Muda Kewangan, Universiti Tenaga Nasional (Uniten)

Hobi: Menulis , membaca kitab

Warna kegemaran: Biru firus

Idola: Arwah bapa, Syed Mohd Badiuzzaman Al-Yahya

Pencapaian:

– Johan Tilawah al-Quran TNB 1989

– Johan Tilawah Sekolah-Sekolah Malaysia 1994

– Naib Johan Akademi al-Quran musim ketiga TV9

– Naib Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2008

– Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009