'Terima kasih atas ihsan dan kasih sayang.' Pulang tanpa pemilik, barangan Nur Farah Kartini dihantar ke Sarawak

No Image Caption
A
A
A

BARANGAN peribadi milik bekas graduan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Nur Farah Kartini dihantar pulang ke negeri kelahirannya, Sarawak.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam hantaran di Facebook berkongsi ucapan terima kasih kepada inisiatif syarikat pembekal eksklusif perkhidmatan mel, Pos Malaysia atas membuat penghantaran percuma.

"Jutaan terima kasih kepada Pos Malaysia Berhad atas ihsan dan kasih sayang yang kalian curahkan.

"Di sebalik hiruk pikuk perbezaan fahaman, insiden arwah Farah Kartini telah menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia sentiasa berpadu, prihatin dan saling menyayangi," kongsinya di Facebook.

Barangan milik Nur Farah Kartini berupa pakaian, beg, buku dan pelbagai barangan peribadi dibungkus kemas di dalam beberapa kotak dan bagasi digerakkan terus ke Shah Alam dan dijangka sampai di rumah ibunya, Siti Salmah Abdullah di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak pada pagi Selasa.

Baru-baru ini, Prof Md Amin meluangkan masa bertemu bonda dan nenda arwah Nur Farah Kartini di kampungnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyatakan kesediaan UPSI untuk membantu urusan keluarga Allahyarham sehingga semua urusan diselesaikan.

Allahyarham Nur Farah Kartini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Multimedia universiti berkenaan menamatkan pengajian pada tahun 2023.

No Image Caption

Dilaporkan hilang pada 10 Julai selepas menghantar kereta sewa di sebuah taman perumahan di Tanjung Malim, Allahyarham ditemukan meninggal dunia di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada pukul 6 petang, 15 Julai.

Susulan itu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lans Koperal Alif Monjani didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 26 Julai lalu kerana membunuh Nur Farah Kartini.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.

Hal ini kerana kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara di antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes seterusnya bagi menyerahkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan telekomunikasi (telco).

Mahkamah menetapkan hari ini, 30 Ogos untuk sebutan semula kes.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang