5 hari 4 malam menjelajah Negeri Di Bawah Bayu

JEMPUTAN dari Tourism Malaysia untuk menyertai program Xpresi Media Cuti-Cuti Malaysia Sabah 2023 memang sesuatu yang mengujakan.

Masakan tidak, melihat itinerari yang disenaraikan, membolehkan penulis dan rakan media lain berpeluang meneroka lokasi-lokasi yang mempunyai keunikan tersendiri.

Selama lima hari empat malam berada di Negeri Di Bawah Bayu, ikuti rentetan perjalanan wartawan, Meen Tahrin.

Hari Pertama

Misi mencari monyet Belanda

Hari pertama dimulakan dengan menelusuri Sungai Klias dan misi mencari sang proboscis atau monyet Belanda, spesies kera endemik di Borneo.

Alhamdulilah, kami bernasib baik kerana dapat melihat kelibat haiwan itu ‘bersantai’ dengan kegirangan di atas pokok.

Selepas beberapa bidikan foto dengan pelbagai gelagat haiwan itu diambil, rombongan dibawa melalui kawasan paya bakau yang diserikan dengan cahaya dan irama bersahutan kelip-kelip.

Ah! Terasa seperti berada dalam dunia kayangan yang disimbahi dengan cahaya dari alam.

Malam kami diakhiri dengan menikmati sajian, sambil melihat panorama matahari senja yang terbenam dari ufuk barat.

Baca juga Berjiwa rakyat, Al-Sultan Abdullah terhibur dipanggil pakcik, Permaisuri Agong ambil aduan jalan teruk, Sabahan teruja keluarga diraja depan mata

Hari Kedua

Mandi dalam lumpur gunung berapi Jalan Pantai SawanganKuala Penyu, Sabah.

Ini sesuatu yang wajib diceritakan. Pihak media dibawa ke Pulau Tiga yang terletak 17 kilometer di utara Kuala Penyu, Sabah untuk mandi lumpur.

Di sana, terdapat sepasang gunung berapi lumpur aktif di bahagian tertinggi pulau.

Seperkara, Pulau Tiga turut dikenali sebagai Survivor Island mengambil sempena nama
program realiti terkenal dunia, Survivor.

Apa yang penulis boleh katakan, ia bukan mandi lumpur biasa atau seperti dalam sawah. Difahamkan, ‘bergelumang dengannya’ dapat merawat kulit.

Pun begitu, masih belum ada bukti saintifik. Apa pun, kami semua seronok, bukan selalu dapat peluang sebegitu, kan?

Hari Ketiga

Baca juga Seorang je Tahun Enam, cikgu kongsi kisah sekolah 10 orang murid di Sabah. ‘Dia ketua kelas, dialah pengawas’

Keindahan tumbuhan tropika dan rimbunan orkid asli Borneo

Seawal pagi lagi, kami bergerak ke Taman Pertanian Sabah (TPS) yang menempatkan
pelbagai spesies tumbuhan tropika.

Bukan sahaja dari Asia, malah pohon yang diimport khas dari Amerika Tengah dan Selatan
serta Afrika ditanam di taman-taman mini dengan hiasan landskap yang menarik.

Lokasi itu juga merupakan pusat pemuliharaan bagi orkid asli Borneo. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai pusat latihan dan pendidikan untuk pertanian, hortikultur, apikultur, pengeluaran benih, perhutanan, perikanan serta penternakan.

Bagi yang suka bercucuk tanam, TPS wajib dilawati.

Secangkir kopi dengan aroma yang menenangkan

Setelah itu, kami dibawa ke Yit Foh Coffee Factory & Park. Sejarah Yit Foh Coffee bermula pada tahun 1960 apabila Yong Loong Vun memulakan perusahaan kilang kopi yang kini menjadi salah satu jenama kopi terkenal di Sabah.

Operasi kilang itu kemudiannya berkembang menjadi sebuah restoran dikenali sebagai Yit
Foh Robusta dan Coffee Park Cottage.

Ah! Bau kopinya memang membangkitkan aroma yang menenangkan.

Naik basikal keliling desa

Iklan

Dari kilang kopi, kami ke kampung masyarakat Murut iaitu Kampung Marais.

Pengunjung pasti tertawan dengan pemandangan desa tersebut yang berlatar belakangkan
kehijauan sawah padi, kawasan pergunungan termasuk sungai.

Keramahan para penduduknya juga menjadi faktor Kampung Marais dipilih sebagai antara
destinasi pelancongan di Sabah.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah seperti berbasikal mengelilingi kampung
dan sawah, belajar memasak makanan tempatan, bermain bola bersama orang kampung serta macam-macam lagi.

Wajib cuba!

Hari Keempat

Rambang mata melihat kraftangan Sabah

Baca juga Jom jalan Sabah, Sarawak, Labuan, diskaun tambang kapal terbang sehingga 40 peratus

Dari Tenom, kami ke pusat latihan dan penghasilan kraftangan Sabah yang terletak di daerah Keningau. Ternyata hasil kraftangan penduduk tempatan ini mempunyai nilai yang tinggi.

Justeru, tidak hairanlah apabila ada antara produk di sini yang mendapat pengiktirafan dunia. Harga jualannya amat berpatutan. Teruja dan rambang matalah dibuatnya.

Iklan

Ramah Mesra bersama Ketua Pengarah TM

Rombongan media dipertemukan dengan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar pada malam terakhir kami.

Semua orang sporting sakan mengenakan pakaian bertema Hawai.

Hari Kelima

Pelancaran Fly Borneo Specials

Selesai bersarapan, rombongan media dibawa ke Majlis Pelancaran Fly Borneo Specials Vol 1–The Adventure Begins Here!.

Program itu antara lain menawarkan diskaun kapal terbang hingga 40 peratus! Ia antara lain bertujuan untuk mempromosikan pakej percutian perjalanan domestik dalam negeri Sabah, Sarawak dan Labuan melalui rakan kongsi syarikat penerbangan, Fireflys dan MASwings.

Sebenarnya, lima hari empat malam belum cukup untuk mengenali negeri Sabah yang sarat dengan budaya, fauna dan flora yang mempesonakan serta rahsia khazanah hidupan biologi marinnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!