Awas jika bahagian leher, bawah ketiak atau pangkal paha bengkak. Itu antara petanda awal kanser limfoma
KISAH Chef Wan yang mengumumkan dirinya menghidap kanser limfoma menjadi bualan ramai baru-baru ini. Ramai yang bersimpati.
Untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, limfoma bukan Hodgkin (NHL) adalah salah satu kanser yang paling biasa berlaku di Amerika Syarikat. Ia menyumbang kira-kira 4 peratus daripada semua jenis kanser.
Menurut American Cancer Society, setakat Jun tahun ini, kira-kira 80,550 orang (44,880 lelaki dan 35,670 perempuan) didiagnosis dengan NHL. Ia termasuk golongan dewasa dan kanak-kanak.
Sementara, sekitar 20,180 pesakit diramal akan meninggal dunia akibat kanser tersebut.
“Secara umumnya, peluang seorang lelaki untuk mendapat NHL dalam hidupnya adalah kira-kira 1 dalam 43. Bagi wanita pula, risikonya 1 dalam 53,“ kata pertubuhan itu.
Di Malaysia, statistik menunjukkan limfoma adalah antara 10 kanser paling banyak dihidapi rakyat di negara ini.
Statistik yang dikeluarkan Malaysia National Cancer Registry Report 2012 hingga 2016 menunjukkan, limfoma adalah kanser keempat tertinggi dalam kalangan lelaki dan ketujuh bagi wanita.
Data tersebut turut mendedahkan, individu muda berusia antara 15 hingga 24 tahun paling ramai menghidap tumor pada sistem noda limfa itu yang mana ia merangkumi 24.2 peratus lelaki dan 21.2 peratus wanita.
“62 peratus lelaki dan 59 peratus wanita dikesan menghidap limfoma ketika mereka sudah berada pada tahap tiga dan empat,“ kata sumber itu lagi.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai limfoma atau dikenali sebagai kanser darah, SinarPlus mendapatkan Pakar Perunding Hematologi, KPJ Ampang Puteri, Dr Nur Adila Anuar.
Menurut Dr Adila, limfoma adalah sejenis kanser yang bermula dalam sel sistem imun yang dipanggil sebagai limfosit. Ia berfungsi untuk melawan jangkitan kuman.
Kanser mula terjadi apabila sel mengalami mutasi dan berubah tingkah laku menjadi tidak terkawal.
Ujar beliau, terdapat beberapa jenis limfoma, namun dua kategori utama kanser tersebut adalah limfoma Hodgkin (HL) dan NHL.
Seperti di Amerika Syarikat, majoriti pesakit terdiri daripada mereka yang menderita NHL.
NHL terbahagi sel B dan sel T. Rata-rata penghidap didiagnos dengan sel B, kata pakar itu.
Jangka hayat
Mengulas lanjut, Dr Nur Adila berkata, Diffuse large B-cell lymphoma adalah antara jenis NHL paling agresif dan cepat merebak.
Ujar beliau, simptom limfoma adalah tidak spesifik. Ada pesakit yang boleh dilihat mengalami pembengkakan pada noda limfa iaitu bahagian leher, bawah ketiak atau pangkal paha.
Pun begitu, ada pesakit yang tidak mengalami bengkak pada kelenjar di luar badan, tetapi mengalami simptom yang lain.
“Pesakit yang dikesan menghidap limfoma mungkin menunjukkan gejala seperti pengurangan berat badan yang mendadak, hilang selera makan, berpeluh pada waktu malam atau demam yang tidak kebah-kebah. Selain itu, simptom limfoma boleh dilihat pada organ mana limfoma itu merebak,“ jelasnya.
Sebagai contoh, kata beliau, limfoma yang menyerang paru-paru akan menyebabkan pesakit berdepan kesukaran bernafas, batuk berpanjangan dan dada mereka akan sakit.
Jika berlaku pada perut, pesakit akan mengalami masalah seperti kesakitan dan pendarahan di dalam perut.
Dalam pada itu, seperti kebanyakan kanser, majoriti mutasi genetik yang menyebabkan limfoma berlaku secara spontan dan tanpa sebab yang dapat dikenal pasti, kata Cleveland Clinic, Amerika Syarikat.
Namun, penyelidikan mencadangkan keadaan atau isu-isu tertentu yang boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat limfoma. Antaranya:
i. Pernah menghidap virus termasuk HIV, Epstein-Barr (mononucleosis) dan virus Kaposi sarcoma human immunodeficiency virus (kekurangan imun).
ii. Mempunyai ahli keluarga dengan sejarah limfoma.
iii. Sistem imun lemah oleh keadaan lain atau rawatan perubatan. Sebagai contoh, individu yang melalui proses pemindahan organ mengambil ubat imunosupresan untuk mengelak tubuh mereka daripada menolak organ yang dipindahkan.
iv. Memiliki penyakit autoimun yang menyaksikan sistem imun secara tidak sengaja menyerang badan dan bukannya melindungi.
Menurut Dr Adila, limfoma dibahagikan kepada empat tahap bergantung kepada lokasi sel kanser membiak. Berikut adalah tahap limfoma:
Tahap 1: Kanser ditemui pada satu kawasan noda limfa atau melibatkan organ tunggal.
Tahap 2: Penglibatan dua atau lebih kawasan noda limfa pada bahagian diafragma yang sama.
Tahap 3: Kanser melibatkan kawasan noda limfa pada kedua-dua diafragma.
Tahap 4: Kanser telah merebak ke bahagian tubuh lain. Contohnya, pada hati, sumsum tulang dan paru-paru.
Baca juga: Awas! 2 mi segera dorong kanser limfoma & leukemia, 10 fakta anda perlu tahu
Baca juga: Perjuangan 11 tahun berhasil, Elyana kini bebas kanser limfoma
Bagaimana kadar kelangsungan hidup seorang pesakit? Menjawab soalan tersebut, Dr Nur Adila berkata, pengawalan sel kanser bergantung kepada jenis limfoma, keberkesanan terhadap rawatan dan tahap kesihatan secara keseluruhan.
Namun begitu, berdasarkan kajian yang dijalankan secara keseluruhan, data kadar kelangsungan hidup menunjukkan 89 peratus individu dengan LH dan 74 peratus orang dengan NHL masih hidup lima tahun selepas diagnosis jika dirawat.
Antibodi Rituximab & Brentuximab
Sementara itu, bagi mengetahui tentang proses rawatan dan teknologi terkini untuk merawat limfoma, SinarPlus mendapatkan Pakar Perunding Hematologi, Subang Jaya Medical Centre, Dr Haris Abdul Rahman.
Menurut Dr Haris, pembedahan lazimnya akan dilakukan ke atas pesakit yang mempunyai kanser setempat.
Selain itu, rawatan radioterapi yang melibatkan dos radiasi tinggi juga adalah salah satu pilihan untuk membunuh sel kanser pada satu kawasan tertentu.
Ditanya bagaimanakah imunoterapi memainkan peranan memulihkan kanser, pakar berkenaan terlebih dahulu menjelaskan, ia merupakan rawatan menggunakan antibodi (monoclonal antibodi) yang bertujuan untuk membantu sistem pertahanan badan melawan antigen.
“Biasanya kaedah itu (imunoterapi) akan digabungkan dengan kemoterapi,“ katanya.
Doktor berpengalaman tersebut menambah, dalam perawatan terkini, antibodi Rituximab sering digunakan untuk merawat pesakit NHL dengan sel B Lymphocyte, manakala antibodi Brentuximab untuk penghidap HL.
“Gabungan kedua-dua rawatan tersebut bukan sahaja berkesan mematikan sel kanser, malah mengurangkan kemungkinan kanser berulang,“ katanya.
Selain itu, beritahu Dr Haris, pendekatan sedemikian juga dapat membantu menurunkan kesan sampingan kemoterapi seperti keguguran rambut dan masalah muntah.
“Untuk jangka masa panjang, ia juga boleh mengurangkan risiko kanser sekunder dan memberi peluang kepada pesakit untuk mendapatkan zuriat,“ jelasnya sambil memberitahu kanser yang dikesan lebih awal akan memberi tindak balas yang lebih baik terhadap rawatan.
Elak makanan mentah
Dalam pada itu, ujar Dr Haris, pemantauan dan pemeriksaan berkala dalam tempoh lima tahun perlu dilakukan bagi mengurangkan risiko kanser berulang.
Katanya, kemungkinan besar pesakit terpaksa menjalani pemindahan sumsum tulang seandainya pakar mendapati keadaan pesakit semakin memburuk.
Ketika ditanya berkenaan mitos yang tersebar yang mengatakan gula dan daging tidak boleh diambil oleh pesakit kanser, pakar tersebut berkata, cara penyediaan makanan perlu dititik beratkan terlebih dulu berbanding jenis sajian yang diambil.
“Mereka yang sedang menjalani rawatan kemoterapi perlu mengelak makan makanan mentah seperti sushi, sambal belacan, ulam-ulaman atau jus buah-buahan yang tidak dimasak.
“Pesakit lebih senang terkena jangkitan kuman berbanding mereka yang normal kerana sistem imun badan yang sepatutnya berfungsi melawan kuman menjadi lemah kesan daripada dos kemoterapi,“ katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan pengalaman beliau merawat pesakit limfoma, sokongan yang diterima daripada keluarga dan rakan-rakan tanpa mengira etnik dan agama sangat membantu pesakit semasa menjalani rawatan.
Platform media sosial yang menyediakan kumpulan sokongan yang terdiri pesakit dan pejuang kanser juga memotivasikan golongan berkenaan kekal positif untuk meneruskan rawatan serta kehidupan.
Dr Haris juga mengingatkan para pesakit bahawa perjuangan melawan kanser adalah bersifat peribadi.
“Sokongan daripada mereka yang dipercayai dan sentiasa berpegang kepada kepercayaan agama akan menyumbang kepada proses rawatan yang lebih baik,“ katanya.
Baca juga: Chef Wan disahkan hidap kanser limfoma, perlu jalani rawatan kemoterapi serta-merta
Baca juga: Ibu Liyana Jasmay meninggal dunia selepas bertarung kanser limfoma
Tak mudah putus asa, patuh arahan doktor, pesakit limfoma tahap 4 kini semakin sihat
PADA awalnya, Mohd Nur Akmal Daem, 38, berasakan sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Selain mudah rasa penat dan sakit tulang belakang, beliau juga asyik tidur.
Lelaki itu semakin resah apabila muncul satu kelenjar berukuran lebih kurang 2 sentimeter pada bahagian leher dan terdapat satu benjolan pada dada.
Ketika di hospital, beliau telah diarahkan menjalani prosedur biopsi pada bahagian leher.
Pun demikian, belum pun sempat mengetahui keputusan ujian yang memakan masa selama dua minggu, beliau tiba-tiba sukar untuk berjalan.
Tanpa sengaja, keadaan itu telah menyebabkan dirinya hilang keseimbangan lalu terjatuh sehingga patah tulang belakang.
“Saya risau melihat perubahan besar diri saya. Apabila keputusan biopsi yang diterima mengatakan saya menghidap kanser limfoma, saya terkejut. Pakar terus minta saya jalani imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) dan CT Scan (tomografi berkomputer),“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Mohd Nur Akmal memberitahu, beliau disahkan menghidap Hodgkin Lymfoma Stage 4B with Spinal Cord Compression, Adrenal and Kidney Involvement.
Itu bermaksud, sel kansernya difahamkan sudah merebak ke tulang belakang, buah pinggang dan pundi kencing.
Bukan itu sahaja, pakar tulang dengan jelas menyatakan beliau berkemungkinan tidak boleh berjalan sepanjang hayat. Namun demikian, lelaki itu tidak mahu menyerah kalah.
Mohd Nur Akmal kemudian bersetuju melakukan pembedahan implan tulang belakang dan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 12 kali.
“Proses untuk saya kembali berjalan sangat perit apabila saya perlu merangkak, mengesot dan mendapatkan pertolongan orang lain untuk bergerak. Ketika menjalani kemoterapi juga saya terpaksa menggunakan kerusi roda dan perlu dibantu untuk naik ke katil,“ imbaunya.
Dengan izin-NYA, Mohd Nur Akmal berkata, beliau akhirnya boleh berjalan kembali tanpa bantuan.
“Alhamdulillah, saya gembira dengan perubahan positif ini. Seusai rawatan kemoterapi, ujian PAT scan pula mendapati sel kanser semakin tak aktif. Kini, saya menjalani kehidupan sihat dan akan melakukan pemeriksaan berkala bersama pakar hematologi setahun sekali,“ tuturnya.
Bagi Mohd Nur Akmal, selain keluarga dan orang terdekat, sokongan padu daripada mereka yang mengalami kanser sama sangat memberi impak positif kepada pesakit seperti beliau.
“Pesakit akan rasa lebih kuat untuk menjalani rawatan. Kita juga percaya dengan rawatan terkini dan fakta bahawa kanser boleh dikawal,“ katanya yang bergiat aktif dalam kumpulan sokongan Malaysia Lymfoma Fighter Family.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang