KANSER kolorektal adalah antara kanser yang lazim di Malaysia dan ia juga menjadi satu daripada penyebab utama kematian di negara kita, membabitkan lelaki dan wanita.

Berdasarkan laporan pada tahun 2016, kanser kolon di Malaysia adalah penyebab kedua kematian dan nombor satu menyerang lelaki.

Data menunjukkan kanser kolon menyerang 21.2 peratus daripada 100,000 lelaki dan 18 peratus daripada 100,000 di negara ini.

Kanser kolon atau kanser usus kebiasaannya dikesan pada tahap ketiga dan ke atas. Adakah perlu untuk membuat ujian saringan awal untuk kanser kolon ini?

Sempena bulan Kesedaran Kanser Usus pada Mac ini, Pakar Bedah Am & Kolorektal, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr Buvanesvaran Tachina Moorthi akan memperincikan lebih lanjut mengenai penyakit kanser kolorektal.

 

Apa itu kanser kolorektal?

Kanser kolorektal atau barah usus besar merujuk kepada pertumbuhan isi tanpa kawalan yang bermula dengan suatu bonjolan di selaput dalam usus atau dikenali sebagai polyp yang beransur-ansur membesar sehingga bertukar menjadi barah.

Pertumbuhan barah usus besar boleh menyebabkan pendarahan, perubahan tabiat perkumuhan dan kesukaran membuang air besar.

Tambahan pula, kanser usus besar berkeupayaan merebak ke bahagian organ lain lazimnya ke hati, paru-paru, tulang dan otak.

Penularan kanser usus besar ke bahagian lain badan akan merosakkan fungsi asal bahagian-bahagian tersebut sehingga menyebabkan gejala-gejala yang memudaratkan dan akhirnya membawa maut.

Simptom lain untuk kanser kolorektal dan golongan yang berisiko

Simptom utama kanser kolorektal adalah pendarahan di tinja dan perubahan tabiat membuang air besar.

Awasi terhadap perubahan tabiat membuang air besar adalah penting seperti kekerapan ke tandas, cirit-birit yang berlarutan mahupun sembelit berpanjangan terutama sekiranya ia berlaku berterusan melebihi dua minggu.

Lendir atau darah di tinja adalah sentiasa luar biasa dan mesti dititik beratkan. Hilang selera makan, susut berat badan dan kelesuan adalah antara simptom-simptom yang agak lewat.

Kanser kolorektal kerap berlaku pada seseorang yang berumur 40 tahun ke atas. Sejarah kanser dalam kalangan ahli keluarga, obesiti dan kewujudan polyp dalam usus besar meningkatkan lagi risiko seseorang untuk menghidapi kanser kolorektal (barah usus besar).

BACA JUGA Punca kematian Black Panther, kenali kanser kolon

Diagnosis dan saringan kanser kolorektal

Ujian utama untuk mengesan kanser kolorektal adalah melalui ujian kolonoskopi.

Ia melibatkan proses melihat ke dalam usus besar dengan penggunaan suatu sistem kamera khas kecil yang dimasukkan melalui liang dubur setelah proses pembersihan usus.

Ini membolehkan doktor mengenalpasti kewujudan kanser atau polyp serta menjalankan ujian biopsi bila perlu.

Iklan

Ujian Imunokimia Fecal atau iFOBT (Immunochemical Faecal Occult Blood) adalah ujian makmal bertujuan mengenalpasti kewujudan darah dalam najis manusia yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Ujian saringan tersebut mudah dilaksanakan dan sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai sebarang simptom. Sekiranya ujian tersebut menunjukkan petanda darah dalam tinja, maka seseorang itu perlu menjalani ujian kolonoskopi selanjutnya.

Kaedah rawatan yang sesuai

Pembedahan merupakan rawatan utama kanser kolorektal. Jenis pembedahan adalah berbeza mengikut kedudukan kanser di dalam usus besar tersebut dan konsultasi sewajarnya boleh diperolehi dari seorang Pakar Bedah Kolorektal.

Kanser pada tahap yang lebih serius mungkin perlu menjalani rawatan ubatan tambahan seperti kemoterapi dan radiasi di bawah seliaan Pakar Onkologi & Radioterapi.

Jenis makanan yang harus dielakkan

Iklan

Obesiti atau kegemukan adalah salah satu risiko pembentukan kanser kolorektal.

Pengurangan berat badan dan kurang memakan daging merah serta makanan berproses dapat membantu mengurangkan risiko kanser kolorektal.

Jika seseorang itu berada dalam golongan berisiko kanser kolorektal, apakah langkah-langkah sihat yang perlu dibuat atau diamalkan sebagai langkah pencegahan?

Jawapannya, gaya hidup sihat yang menitikberatkan kesihatan fizikal dan mental serta pemakanan yang seimbang adalah langkah utama dalam pencegahan kanser kolorektal.

Tambahan pula kepentingan ujian saringan iFOBT dan kolonoskopi seperti dinyatakan tadi tidak boleh diabaikan. Justeru, Hospital Gleneagles memainkan peranan meningkat kesedaran masyarakat mengenai kepentingan membuat saringan awal.

 

Foto FREEPIK dan CDC