SEMPENA HARI TEH TARIK KEBANGSAAN

DUA tahun lepas, bapa saudara kepada rakan penulis berusia awal 60-an dikejarkan ke hospital kerana sakit jantung. Nyawanya dikatakan bagai telur di hujung tanduk.

Dipendekkan cerita, pakar memaklumkan bahawa bapa saudaranya perlu segera menjalani pembedahan pintasan jantung buat kali kedua. Kali pertama, tujuh tahun lepas.

Hal itu sedikit sebanyak merisaukan hati ahli keluarga pesakit. Pun demikian, berkat doa daripada banyak pihak, akhirnya pembedahan itu berjaya. Daripada banyak nasihat yang dititipkan oleh doktor, salah satu perkara yang perlu dijauhinya adalah mengelak daripada minum teh tarik.

Rupa-rupanya, teh tarik merupakan minuman kegemaran bapa saudara rakan penulis sejak zaman remajanya hingga ke usia emasnya. Bayangkan dalam sehari, beliau boleh meneguk enam hingga tujuh gelas teh tarik panas. Dengar cerita, warga emas itu seperti tidak serik. Difahamkan keadaannya kurang cergas kerana ketagihan terhadap teh tarik masih ada.

Apa yang tidak kena dengan teh tarik hingga doktor melarang lelaki itu untuk mengulangi tabiat itu? Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Dietetik, Hospital Islam Az-Zahrah, Siti Hajar Mustaffa.

SITI Hajar Mustaffa.

Siti Hajar menjelaskan, teh tarik mengandungi susu pekat manis dan kajian telah membuktikan bahawa penggunaan bahan penyedap antara penyumbang utama kepada penggunaan gula tambahan berlebihan pada setiap hari.

“Data daripada Kajian Pemakanan Dewasa Malaysia pada tahun 2003 menunjukkan masyarakat Malaysia mengambil 30 gram (tiga sudu) susu pekat manis setiap hari bersamaan dengan 16 gram gula.

“Mengikut perkiraan, segelas kecil teh tarik (180 mililiter) yang biasanya menggunakan empat sudu susu pekat manis akan membekalkan sebanyak 140 kilo kalori tenaga, protein dan lemak. Ia menyamai kandungan gula di dalam minuman berkarbonat!,” ujarnya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Berdasarkan kajian Dr J.Weissburger dari Institut Pencegahan Kanser, New York, Amerika Syarikat menyatakan, teh mengandungi antioksidan lapan hingga 10 kali lebih tinggi daripada buah dan sayur.

Kandungan polifenol dalam teh mampu mencegah asid deoksiribonukleik (DNA) akibat daripada merokok dan bahan kimia lain. Bagaimanapun, kajian itu menunjukkan, apabila teh dicampur dengan susu atau krimer, maka kesan antioksidan akan berkurangan.

Sifat teh

Mengulas lanjut, Siti Hajar memberitahu, terdapat tiga jenis teh berdasarkan kaedah penghasilan fermentasi iaitu teh hijau, hitam dan oolong.

“Ketiga-tiga teh dapat dibezakan dengan warna air rebusan yang terhasil selepas proses rendaman air panas. Semakin banyak teh diproses, semakin berkurangan kandungan polifenolnya,” kata Siti Hajar.

Secara asasnya kata beliau, sifat teh sangat baik. Selain memiliki polifenol, ia juga terkandung flavanoid seperti theaflavin, epicatechin, epigallocatechin dan epigallocatechin-3-gallate yang memberikannya unsur khasiat yang bagus kepada kesihatan.

Ujarnya lagi, teh juga tidak mengandungi sebarang zat mineral, vitamin, protein, karbohidrat, garam, kolestreol atau lemak. Kandungan kalorinya juga amat rendah iaitu hanya dua kalori untuk setiap 237 gram. Teh mengandungi kafein namun ia sangat rendah berbanding kopi.

Kajian epidemiologi pula menunjukkan perkaitan yang positif di antara pengambilan teh, terhadap risiko penyakit diebetes, penyakit jantung dan pelbagai jenis kanser, katanya.

Namun demikian, minuman teh telah ‘dimanipulasi’ dengan penambahan gula.

“Apabila teh ditambah dengan gula berlebihan (susu), ia boleh mengakibatkan pengambilan tenaga yang berlebihan sekali gus menyebabkan masalah kegemukan.

“Pada tahun 2018, kadar obesiti di Malaysia paling tinggi di Asia. Bila dah obes, tentu sekali akan mengundang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung termasuk karies gigi,” katanya sambil menambah, minuman atau makanan yang manis akan menjadi racun jika diambil secara berlebihan dan tidak terkawal.

Kenyataan Siti Hajar dibuktikan dengan kajian yang dijalankan oleh Universiti Harvard pada tahun 2018 yang menyatakan bahawa individu yang gemar mengambil minuman bergula sangat berisiko untuk menghidap diabetes jenis 2. Pengambilannya sebanyak 23 sudu sehari, akan meningkatkan risiko 16 peratus penyakit berkenaan.

Bahaya krimer manis

SinarPlus kemudian menghubungi Pakar Perubatan Dalaman, Endokrinologi dan Diabetes, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Lim Kim Piow.

DR Lim Kim Piow.

Sebelum pergi jauh, beliau menerangkan terlebih dulu tentang perbezaan antara susu dalam tin yang dijual di pasaran.

“Terdapat enam jenis susu tin iaitu susu sejat penuh krim (krimer manis), susu pekat manis penuh krim, susu isian sejat, susu isian manis, krimer sejat dan krimer manis.

“Biasanya, di kedai-kedai kebanyakannya pengusaha menggunakan susu pekat manis penuh krim. Susu jenis itu telah disejatkan airnya menjadi lebih pekat dan ditambah gula. Kebiasaanya ramuan utamanya bukan susu tapi gula. Jadi, terjawablah mengapa negara kita ramai yang obes atau kencing manis,” katanya.

Ujar Dr Kim Piow, individu sama ada dalam kategori berat badan berlebihan atau obesiti masih perlu menggunakan kaedah gaya hidup sihat sebagai rawatan untuk mendapatkan berat badan yang ideal.

HATI-HATI kerana banyak komplikasi lain akibat minum teh antaranya penyakit kencing manis.

Dalam pada itu, pakar itu juga berkata, orang ramai perlu berhati-hati dengan kandungan gula tersembunyi atau gula tambahan (yang diekstrak daripada sumber gula semula jadi seperti tebu).

“Justeru saya nasihatkan, berhati-hati dengan label yang dipaparkan kerana banyak nama gula tersembunyi digunakan antaranya galaktosa, krimer manis, laktosa, maltosa, fruktosa dan sukrosa,” katanya.

Picu masalah batu karang

Nampaknya terlalu banyak penyakit yang dipicu daripada segelas teh tarik. Implikasi buruknya bukan calang-calang.

Pakar Gastroenterologi dan Perubatan, Hospital Pantai Sungai Petani, Dr Azril Haris Yafee Amar mengiakan fakta berkenaan.

DR Azril Haris Yafee.

Katanya, kafein yang terdapat dalam teh berupaya meningkatkan tahap kehilangan air dalam badan melalui air kencing. Kesannya, akan menyebabkan seseorang terdehidrasi dan akhirnya membentuk batu karang.

Iklan

Kenyataam Dr Azril Haris itu selari dengan dapatan kajian Sekolah Perubatan, Loyola University Chicago, Amerika Syarikat yang mendapati kekerapan seseorang mengambil minuman teh ais secara berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit batu karang.

Artikel berkaitan: Teh tarik jadi kegemaran budak darjah 1

Dalam pada itu, Dr Azril Haris memberitahu, teh turut mengandungi tanin dan polifenol yang boleh mengganggu penyerapan zat besi.

“Jika kita sering minum teh selepas makan, ia boleh mengurangkan zat besi dalam tubuh. Semakin pekat teh tersebut makan lebih besar potensi untuk ia mengurangkan penyerapan zat besi dalam usus,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, teh hitam yang mengandungi kandungan polifenol yang tinggi, tidak baik diambil selepas makan.

TEH menjadi sumber utama dalam pembikinan aneka minuman teh seperti teh tarik, teh ais dan teh panas.

“Bukan semua orang akan mengalami masalah kekurangan zat besi disebabkan minum teh selepas makan, namun risiko itu tetap ada terutama bagi individu yang memang mempunyai sejarah masalah kekurangan zat besi dalam badan. Wanita sedang dalam haid, golongan vegetarian juga disarankan untuk tidak mengamalkan tabiat minum teh selepas makan,” ujarnya yang menasihatkan agar orang ramai tidak minum lebih lima cawah teh sehari.

Beliau menambah, waktu paling terbaik untuk menikmati secawan teh adalah sejam selepas makan.

“Jika ingin minum teh selepas makan, adalah lebih baik memilih teh hijau atau teh halia kerana kedua jenis teh ini dapat membantu melancarkan sistem pencernaan dan tidak mudah menyerap zat besi seperti teh lain,” katanya.

Suhu panas

Apabila menikmati segelas teh tarik, ramai yang gemar meneguk minuman itu ketika panas. Namun, tahukah pembaca SinarPlus, perbuatan itu sangat berbahaya.

Iklan

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi, Hospital Pantai Ampang, Dr Chieng Jin Yu berkata, minum minuman yang sangat panas bukan teh panas sahaja boleh meningkatkan risiko kanser esofagus.

DR Chieng Jin Yu.

Menurut satu kajian yang melibatan perbandingan di antara teh yang diminum secara terus ketika panas dengan teh yang diminum empat minit selepas teh dituang, keputusannya mendapati teh yang diminum terus ketika panas berisiko mendapat kanser lapan kali ganda.

MINUM teh panas boleh menyebabkan berlakunya masalah kanser esofagus dan mengganggu sistem penghadaman.

Seperti di Asia, kanser perut atau esofagus lebih kerap dijumpai di China, Jepun dan Korea. Ini dipercayai berkaitan rapat dengan tradisi meminum teh panas di rantau tersebut, kata Dr Jin Yu.

Menerangkan lebih lanjut, pakar itu menjelaskan, minum teh pada suhu bawah 65 darjah celsius dipercayai tidak akan menjadi punca kepada kanser, namun teh yang melebihi daripada suhu itu boleh membakar kerongkong dan kemudian akan merebak yang kemudiannya mencetuskan kanser.

Beritahu pakar itu lagi, beberapa kajian menyebut, kanser perut dan payudara adalah lebih tinggi dalam kalangan mereka yang kerap meminum teh.

“Itu mungkin disebabkan oleh kandungan kafein di dalam teh yang boleh merangsang penghasilan jus gastrik dan akan meningkatkan penghasilan estrogen dan progesteron,” kata Dr Jin Yu.

Berdasarkan jurnal dalam Annals of Internal Medicine yang bertajuk Kajian Kohort: Pengambilan Teh Panas dan Interaksi dengan Penggunaan Alkohol dan Tembakau Berisiko untuk Kanser Esofagus yang melibatkan 1,731 pesakit di China mendapati risiko kanser esofagus adalah lebih tinggi dengan meminum teh yang amat panas diikuti dengan perbuatan merokok dan meneguk alkohol.

“Justeru, tunggulah teh itu sejuk terlebih dulu, minum kurang daripada tiga gelas sehari dan elak minum ketika perut kosong. Kena ingat, teh juga mangandungi kafein yang boleh menyebabkan ketagihan sehingga menyebabkan seseorang itu akan merasai kegelisahan atau susah tidur jikalau minum teh banyak. Apabila kapasiti (minum teh) tinggi, ia juga boleh mencetus masalah penghadaman seperti asid refluks (GERD) atau ulser peptik,” katanya.

ANEKDOT

CARA pengambilan minuman yang menyihatkan tubuh badan

  1. Minumlah air kosong berbanding minuman manis seperti air berkarbonat atau air sirap dan kordial.
  2. Hadkan pengambilan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat manis kepada satu sudu teh sahaja untuk setiap cawan minuman.
  3. Minta untuk kurangkan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat manis semasa memesan minuman.
  4. Periksa kandungan gula dalam label minuman (minuman tin dan botol).
  5. Kurangkan kekerapan mengambil minuman yang bergula seperti air berkarbonat, kordial, cendol dan ais batu campur.
  6. Elak mengambil minuman yang bergula di antara hidangan utama dan sebelum waktu tidur.

Sumber: Pakar Dietetik, Hospital Islam Az-Zahrah, Siti Hajar Mustaffa