BAGI sesetengah orang, selepas berbelas jam menahan lapar dan dahaga atau selepas tamat sebulan berpuasa, mereka seperti mahu ‘membalas dendam‘. Maksudnya, mereka akan makan sepuas hati seperti tiada lagi hari esok.

Barangkali ada yang tersenyum membaca pernyataan tersebut. Namun, itulah hakikat yang berlaku saban tahun.

Seandainya situasi berkenaan pernah berlaku kepada diri anda, apa kata pada tahun ini, kita didik diri supaya lebih bersederhana. Jika tidak, banyak musibah yang bakal menanti.

Mengulas lanjut mengenai bahana terlebih makan, SinarPlus mewawancara Pakar Dietetik yang juga Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof (gambar).

Ujar Dr Barakatun Nisak, pengambilan makanan berlebihan secara mendadak pastinya akan menganggu fungsi pencernaan seseorang.

Hal tersebut dibuktikan dengan kajian yang dijalankan di Tunisia yang menyaksikan hampir 84 peratus pengambilan kalori tertumpu semasa berbuka puasa.

Makanan yang banyak memberi tekanan yang tinggi di dalam perut dan boleh menyebabkan asid (di dalam perut) dirembeskan secara berlebihan, boleh menyebabkan pedih ulu hati. Disebabkan waktu berbuka dekat dengan waktu tidur, proses penghadaman menjadi perlahan. Jadi, makanan berlebihan tadi masih ada dan akan menjadikan perut kita tak selesa,“ katanya.

Pakar itu menambah, pengambilan makanan tinggi lemak juga akan mendorong proses penghadaman menjadi lebih lambat. Mengapa? Ini kerana makanan jenis itu memerlukan lebih banyak asid untuk dicernakan.

Imuniti badan turun?

Dr Barakatun Nisak yang juga Ahli Penyelidik Bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial, UPM berkata, makan secara keterlaluan disamakan dengan tabiat yang mengikut nafsu.

“Apabila terlalu lapar, maka nafsu makan akan menjadi membuak-buak dan kita tidak dapat berfikir dengan tenang.

“Oleh yang demikian, saranan saya, makan dengan perlahan, mulakan dengan kurma dan segelas susu yang dapat memberi tenaga segera kepada tubuh, menstabilkan gula dan hormon berkaitan selera makan. Makanan ini (kurma dan susu) juga merupakan sunah Rasulullah,“ katanya.

Ketika Syawal, perkara yang sama juga sering berlaku, ujar Dr Barakatun Nisak.

“Ketidakselesaan perut boleh tercetus. Bagi yang menghidap diabetes misalnya, peningkatan gula darah akan terjadi jika menikmati hidangan yang biasanya manis dan padat dengan karbohidrat terproses,“ katanya.

Seperti yang diketahui umum, dunia masih dihambat dengan ancaman Covid-19 yang menuntut kita untuk selalu menjaga imuniti tubuh badan agar terhindar daripada virus mahupun penyakit.

Persoalannya, adakah dengan berpuasa ia boleh menurunkan imuniti seseorang? Memberi pencerahan, pakar itu memberitahu, berpuasa ketika Ramadan memberi banyak kelebihan kepada kesihatan dan sahsiah diri sekiranya dilaksanakan dengan penuh disiplin.

Kongsinya, kajian terkini menunjukkan, berpuasa turut memberi manfaat kepada sistem imun tubuh dengan menurunkan keradangan atau inflamasi tubuh secara keseluruhan.

“Berpuasa dalam sesuatu tempoh membolehkan badan memfokuskan tenaga (kepada sistem imun tubuh). Keadaan itu (berpuasa) dipercayai meletakkan tubuh dalam mod ‘penjimatan tenaga‘ disebabkan tiada makanan yang perlu diproses.

“Analogi mudahnya, fungsi tubuh akan lebih tertumpu kepada usaha untuk kitar semula sel-sel lama yang akan menggalakkan penghasilan imun sel baharu yang lebih sihat dan bertenaga serta menambahbaik imun sistem (tubuh),“ ujarnya.

Pun demikian, ujar pakar yang terkenal dalam bidang dietetik di negara ini berkata, jika berpuasa, tetapi berbuka dengan makanan tinggi gula, berlemak, tidak cukup serat dan antioksida, memang tidak akan membantu mencapai matlamat Ramadan yang sebenar.

Justeru, beliau mengemukakan enam tip pemakanan yang elok untuk dipraktikkan bermula dari sahur hingga beriftar:

-Ambil makanan padat nutrien seperti sayur, buah, makanan berasaskan produk bijirin penuh, kekacang (legum) susu, produk tenusu dan kacang. Kombinasi makanan seperti ini adalah kritikal ketika bersahur bagi memastikan seseorang kekal cergas dan bertenaga sepanjang hari.

-Kurangkan makanan padat tenaga seperti kaya gula dan lemak yang menyebabkan gula darah naik mendadak dan akan menyebabkan kita rasa letih dan mengantuk.

-Bukan tidak boleh menjamah kuih-muih, namun jangan jadikan ia sebagai kebiasaan. Buah-buahan adalah snek sihat terbaik untuk moreh semasa Ramadan.

-Pengambilan cecair terutama air putih yang mencukupi sangat penting. Dehidrasi menyebabkan kita mudah rasa penat dan pening kepala. —Kepada penghidap diabetes, kadar gula boleh meningkat. Elakkan minuman berkafein seperti kopi.

Hindari juga makanan masin secara berlebihan kerana ia boleh menyebabkan kita kerap kencing dan terhidrat.
-Praktikkan konsep Pinggan Ramadan yang disyorkan oleh International Diabetes Federation (terutama untuk pesakit diabetes).

-Bertarawih adalah merupakan salah satu aktiviti fizikal semasa terbaik.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI

 

Implikasi jangka pendek & panjang

Dalam pada itu, merujuk artikel Apa Yang Berlaku Kepada Badan Anda Apabila Makan Terlalu Banyak? yang disiarkan oleh Eating Well, terdapat kesan jangka panjang dan pendek sekiranya seseorang makan secara melampau.

Iklan

Berikut adalah implikasi jangka pendek yang bakal dialami:

-Refluks asid atau pedih ulu hati.

-Badan akan rasa lemau dan ketidakselesaan pada perut.

-Gula dalam darah menjadi tinggi.

Menurut Pakar Diet Berdaftar, Amerika Syarikat, Lauren Harris-Pincus, makan terlalu banyak boleh menyebabkan perut meregang apabila melepasi kapasiti normal.

Hal itu boleh menyebabkan tekanan dan ketidakselesaan kerana kandungan perut masuk ke dalam usus kecil.

Dalam durasi pendek, hidangan yang lebih besar boleh menyebabkan ketidakselesaan pencernaan dan mungkin terjadi refluks asid yang sangat tidak menyenangkan. Menyentuh tentang soal tidur pula, makan di luar tahap kepuasan juga boleh menyebabkan seseorang rasa mengantuk atau ‘rasa lembap’ kerana badan mengalihkan perhatiannya untuk mencerna makanan yang berlebihan,“ kata beliau yang sependapat dengan Dr Barakatun Nisak.

Untuk kesan jangka panjang pula, individu bakal berdepan dengan beberapa situasi iaitu:

-Pertambahan berat badan.

-Peningkatan risiko diabetes jenis 2.

-Rintangan insulin dan leptin (sejenis hormon yang dihasilkan oleh sel lemak yang memberitahu otak bahawa kita sudah kenyang).

-Peningkatan triglycerides (sejenis lemak di dalam darah yang digunakan oleh tubuh untuk menyimpan tenaga).

Iklan

Menurut Harris-Pincus, penyelidikan menunjukkan bahawa dengan makan melebihi kapasiti perut walaupun dalam jangka singkat, boleh menyebabkan rintangan insulin yang mana sel-sel menahan untuk mengambil glukosa yang cuba dibawa oleh insulin.

“Ini seterusnya akan mengekalkan paras gula di dalam darah tinggi. Lama- kelamaan, boleh tercetus obesiti dan diabetes jenis 2,“ katanya.

Beritahu pakar tersebut lagi, penyelidikan pada tahun 2017 mendapati, jika seseorang makan secara berlebihan dalam tempoh sehari sahaja, ia boleh menyebabkan kawalan gula dalam darah dan kepekaan insulin terjejas pada orang dewasa muda yang sihat.

BACA JUGA: Pakar dedah perkara perlu dan tidak boleh dilakukan sepanjang Ramadan untuk mendapatkan kulit sihat

BACA JUGA: Kejar keistimewaan bulan Ramadan dengan melakukan ibadah sunnah, berikut cara-cara mengerjakan solat sunat witir

 

Berkenaan dengan leptin, lebih banyak lemak badan seseorang, lebih banyak leptin yang mereka miliki.

Bagaimanapun, jelas Harris-Pincus, dalam rintangan leptin, otak tidak menerima isyarat daripadanya untuk berhenti makan.

“Oleh yang demikian, selera makan kekal tinggi yang boleh membawa kepada penambahan lemak termasuk meningkatkan tahap triglycerides terutama jika menjamah makanan manis,“ terangnya.

Seperti kata Dr Barakatun Nisak, Ramadan mahupun Aidilfitri adalah masa terbaik untuk kita mengambil langkah untuk berubah bukan sahaja dari segi spiritual, tetapi dalam konteks kesihatan.

Berpuasa juga mengajar kita erti berdisiplin, bersyukur dan bersederhana dalam banyak perkara terutama pemakanan. Jika dilaksanakan dengan betul dan bersungguh-sungguh, manfaat kesihatan akan dicapai,“ katanya.