Batuk kokol merebak di Rompin, ketahui penyakit ini dan cara mencegahnya dengan baik
ORANG ramai semalam dikejutkan apabila jangkitan pertussis atau batuk kokol dilaporkan berlaku di Rompin, Pahang.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi berkata, kes berkenaan melibatkan satu keluarga iaitu seorang ibu serta dua anaknya.
Ujar Dr Nor Azimi, semua pesakit telah diberi rawatan dan berada dalam keadaan stabil.
Bagi menerangkan apa itu pertussis, kami merujuk MyHealth.
Secara asasnya, penyakit itu merupakan jangkitan bakteria akut bordetella pertussis pada saluran pernafasan.
Virus yang merebak melalui udara daripada pernafasan orang yang dijangkiti itu lazimnya mempunyai tempoh pengeraman antara sembilan hingga 10 hari dengan julat antara enam hingga 20 hari.
“Pertussis boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia. Pun begitu, bayi merupakan golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti,” kata MyHealth.
AMBIL MASA TUNJUK GEJALA
Dalam pada itu, Mayo Clinic menyatakan seseorang yang dijangkiti batuk kokol mengambil masa kira-kira tujuh hingga 10 hari untuk menunjukkan gejala muncul.
Kadangkala tempohnya menjadi lebih lama dan hanya menunjukkan simptom ringan menyerupai selesema biasa.
"Pesakit juga akan mengalami gejala yang bertambah teruk selepas satu atau dua minggu," Mayo Clinic.
Baca juga: Petua guna limau asam boi rawat batuk degil, lagi lama peram lagi elok
Antara petanda-petanda pertussis atau batuk kokok adalah:
1. Hidung berair.
2. Hidung tersumbat.
3. Mata merah dan berair.
4. Demam.
5. Batuk.
Lendir pekat yang terkumpul di dalam saluran pernafasan akan menyebabkan batuk yang tidak terkawal.
Serangan batuk yang teruk dan berpanjangan boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah-masalah gejala seperti berikut:
1. Muntah
2. Muka bertukar merah atau biru.
3. Keletihan yang melampau.
4. Batuk dengan bunyi ‘whoop’.
Kata Mayo Clinic lagi, kebanyakan pesakit mungkin tidak menunjukkan gejala whoop.
“Batuk yang berterusan adalah tanda bahawa seorang remaja atau dewasa mengalami batuk kokol.
“Bayi mungkin tidak batuk sama sekali namun mereka mungkin mengalami kesukaran untuk bernafas atau mungkin bernafas buat sementara waktu,” katanya.
AMBIL VAKSIN
Sementara itu, Cleveland Clinic berkata, rawatan batuk kokol harus dimulakan secepat mungkin selepas diagnosis.
Pesakit akan diberikan antibiotik untuk membantu mencegah penyebaran penyakit.
Pun begitu, antibiotik tidak boleh menghalang atau merawat batuk.
Katanya, batuk kokol boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa seperti radang paru-paru atau masalah pernafasan.
Tambah laman perubatan tersebut, pengambilan vaksin batuk kokol adalah cara terbaik untuk mengelak daripada terkena penyakit tersebut.
“Semua kanak-kanak disarankan untuk mendapatkan vaksin difteria-tetanus-pertussis (DTaP).
“Vaksin gabungan untuk virus difteria dan tetanus itu selamat dan berkesan,” kata Cleveland Clinic.
WANITA HAMIL
Dalam pada itu, menurut Doctor on Call, kanak-kanak di Malaysia harus menerima vaksin enam serangkai untuk mencegah penyakit berjangkit.
Ia terdiri dari gabungan vaksin Difteria, Tetanus, Pertussis, Polio, Hepatitis B & Haemophilus Influenza Type B.
Jadual Program Imunisasi Kebangsaan yang disyorkan adalah berikut:
Dos pertama: 2 bulan
Dos kedua: 3 bulan
Dos ketiga: 5 bulan
Dos keempat: 18 bulan
Selain itu, ibu hamil juga dicadangkan untuk mendapatkan suntikan vaksin pertussis.
“Memandangkan kebanyakan kes pertussis melibatkan bayi di bawah umur 3 bulan yang belum menerima vaksin, pusat kawalan dan pencegahan penyakit mencadangkan vaksin diberikan kepada wanita untuk setiap kehamilan,” katanya.
Pencegahan tersebut membantu kerana bayi yang baru dilahirkan tidak mempunyai antibodi untuk melindungi mereka daripada batuk kokol.
Wanita hamil yang menerima vaksin boleh menghasilkan dan menyalurkan antibodi tersebut kepada bayi melalui uri dalam kandungan.
Kaedah tersebut dapat melindungi ibu hamil dan juga bayi dalam kandungan.
UBAH GAYA HIDUP
Sementara itu, Hello Doktor berkata, pencegahan melalui gaya hidup juga dapat membantu menangani pertussis.
Antaranya langkah yang boleh diambil untuk menangani batuk kokol adalah seperti berikut:
1.Minum air secukupnya.
2.Makan makanan dalam kuantiti yang sedikit dapat membantu mengelakkan muntah selepas batuk.
3.Bersihkan udara untuk menghapuskan bahan penggalak kepada batuk seperti tembakau dan asap daripada tempat pembakaran.
4.Tutup mulut ketika batuk dan cuci tangan selalu untuk menghalang jangkitan daripada merebak.
Meskipun, batuk kokol masih belum berjangkit dengan meluas, namun SinarPlus ingin ingatkan supaya kita mengambil langkah terbaik untuk mencegahnya.
Sama-sama kita amalkan etika mencuci tangan dengan sabun dan menutup mulut ketika batuk atau bersin.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang