Bila dah lebih 3 minggu batuk berkahak tak sembuh-sembuh, bawa si kecil terus jumpa doktor. Itu petanda bahaya!

MENDENGAR anak kecil terbatuk-batuk sehingga muntah pasti akan mengundang rasa bimbang dalam kalangan ibu bapa atau penjaga.

Namun, menurut National Health Service (NIH), United Kingdom, demam dan batuk lebih kurang lapan kali dalam setahun merupakan hal biasa.

Ujar NIH, sekiranya anak-anak kecil masih boleh menyusu, makan dan minum serta bernafas dengan normal, tiada apa yang perlu dikhuatirkan.

Bagaimana pula jika si comel mengalami batuk berkahak? Adakah ia lebih berbahaya?

BATUK BERKAHAK
SUMBER Kristina Paukshtite daripada PEXELS.

Bagi menjawab pertanyaan itu, kami menemui Pakar Perunding Pediatrik & Pediatrik Endokrinologi, Hospital Pakar Damansara 2, Dr Rashdan Zaki Mohamed.

Pertama, kata Dr Rashdan Zaki, batuk adalah proses fisiologi semula jadi badan yang normal dan bagus untuk mengeluarkan kahak serta lendiran, walau mendengar anak batuk akan menyebabkan ramai ibu bapa berasa susah hati.

Ujarnya, penjaga perlu memahami bahawa jika tidak batuk, kahak dan lendir akan terperangkap di dalam paru-paru.

Menjelaskan lebih lanjut, beritahu pakar itu, batuk berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman virus atau bakteria pada saluran pernafasan, tekak, tonsil dan paru-paru.

“Seseorang itu juga akan mengalami batuk disebabkan oleh asma, tersedak akibat benda asing memasuki salur pernafasan, ketumbuhan dan masalah jantung. Selain itu, ia juga boleh terjadi kesan daripada pengambilan ubat tertentu dan masalah psikologi,“ terangnya.

batuk berkahak
SUMBER Cottonbro Studio daripada PEXELS.

Kelazimannya, golongan kanak-kanak mengalami batuk disebabkan jangkitan kuman, mereka yang menghidap asma atau resdung, kata Dr Rashdan Zaki.

Antara virus yang kerap menyerang ialah Covid-19, influenza A dan B, respiratory syncytial virus (virus yang dapat menyebabkan infeksi paru-paru) dan adenovirus (sejenis virus yang boleh menjangkiti sistem pernafasan).

Ujar beliau lagi, batuk yang berpunca daripada bakteria pertussis boleh menjadikan kondisi (batuk) seseorang berpanjangan. Dikenali sebagai batuk kokol, bayi antara yang berisiko terkenanya kerana mereka belum lengkap menerima imunisasi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by sinarplus (@sinarplus)

“Bezanya batuk kokol menyebabkan batuk berlarutan hingga satu hingga dua minggu dan boleh mencapai dua hingga tiga bulan. Ia (batuk) menyerang sekali-sekala tetapi tempohnya lama hingga muka pesakit menjadi merah dan suara berubah kasar,” jelasnya sambil memberitahu, dalam situasi tertentu batuk jenis itu boleh menyebabkan pesakit mengalami gangguan pernafasan.

Rawatan hospital & alami

Meskipun NIH menyatakan bahawa batuk adalah fenomena biasa bagi kanak-kanak, namun jika ia berulang dan berlarutan, langkah susulan perlu diambil, tegas Dr Rashdan Zaki.

“Jika sudah lebih tiga minggu batuk, demam panas, sejuk menggigil, nafas laju dan berbunyi, kesukaran bernafas, segera jumpa doktor. Langkah sama perlu diambil jika bayi menunjukkan tanda tidak aktif, tidak lalu atau tidak mahu minum, letih, kekeringan dan dehidrasi,” sarannya.

Dalam pada itu, Children’s Medical Center Dallas, Amerika Syarikat mencadangkan beberapa rawatan batuk yang boleh dicuba di rumah terlebih dulu:

Banyakkan cecair: Meningkatkan pengambilan cecair boleh membantu melegakan sakit si kecil.

Rehat dalam keadaan tegak: Beri rehat secukupnya adalah salah satu formula membantu anak kembali sihat. Angkat kepala katil dan letakkan beberapa bantal. Teknik ini akan mereka berehat dengan mudah.

Iklan

Pancuran air suam: Mandi dengan pancuran air suam juga boleh membantu memudahkan pernafasan si comel. Pada masa sama, elak mereka terhidu asap rokok atau bahan kimia lain.

Pelembap udara: Alatan ini yang menyediakan udara panas dan berwap juga membantu melegakan batuk.

BATUK BERKAHAK
SUMBER Andrea Piacquadio daripada PEXELS.

Dari segi perubatan di hospital, Dr Rashdan Zaki kembali memberi komentarnya. Ujar beliau, penilaian klinikal melalui ujian X-ray akan mengenal pasti kuman yang menjangkiti paru-paru pesakit.

Seusai didiagnosis, rawatan khusus boleh diberikan. Seandainya ia berpunca daripada jangkitan bakteria, mereka akan dibekalkan dengan antibiotik.

Bagaimanapun, beritahu beliau, tidak semua pesakit akan diberi ubat. Ini kerana kebanyakan jangkitan kuman atau virus boleh sembuh dengan sendirinya.

Kepada satu soalan, ujar Dr Rashdan Zaki, kanak-kanak di bawah usia dua tahun tidak digalakkan mengambil ubat batuk. Pun demikian, ia bergantung kepada keperluan.

“Biasanya, pesakit cilik ini boleh sembuh secara semulajadi. Ada masa tertentu, rawatan seperti ubat untuk mencairkan kahak, nebulizer dan chest physiotherapy diberi bagi membantu mengeluarkan kahak atau lendir yang berkumpul di dalam paru-paru,” katanya.

Mengulas kaedah menangani batuk kokol pula, imunisasi enam serangkai akan diberikan semasa bayi berusia dua, tiga dan lima bulan. Dos penggalak pula dijadualkan diambil pada usia 18 bulan.

“Bayi akan diberikan kombinasi vaksin difteria, tetanus, pertussis, Haemophilus influenza type B, polio dan hepatitis B ” katanya.

Iklan
batuk berkahak
SUMBER Cottonbro Studio daripada PEXELS.

Baca juga: Anak demam, batuk berkahak, hingus tak hilang ikhtiar air rendaman kembang semangkuk, alternatif ubat

Baca juga: Batuk berkahak tak reda-reda, pakar otak saran minum teh campuran halia, bunga cengkih

Dalam pada itu, Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad menerusi entri di Facebooknya menasihatkan ibu bapa agar tidak membeli ubat-ubat di farmasi jika tiada petugas perubatan bertugas.

“Bukan itu sahaja, jika tidak diberi penerangan lengkap impak dan manfaat ubat yang diberikan, juga elakkan. Kebanyakan ubat yang boleh dibeli di kaunter untuk batuk dan selesema mungkin tidak memberi kesan yang baik pada bayi kita.

“Ini bermakna, ubat-ubat hanya boleh diberikan kepada bayi yang berumur satu tahun ke atas setelah mendapat nasihat lengkap daripada doktor yang memeriksa,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi!