Berat pernah cecah 124kg, dibuli sejak kecil dan derita diabetes. Dr Shalini dedah rahsia langsing.

ZAMAN kanak-kanak beliau tidak seindah seperti rakan sesusianya. Pertambahan berat badan menyebabkan empunya diri dikategorikan sebagai kanak-kanak obesiti. Sementelah tabiat suka makan juga sukar betul untuk dikikis.

Lantaran itu, Dr Shalini Devi bukan sahaja diejek, malah dirinya dibuli dan dipinggirkan.

Baca ni ‘Ibu berjiwa kental, memang iron lady betul.’ Pilih kerjaya berisiko, ramai kagum dengan Maya ‘tawan’ puncak KLCC

Tidak tahan dengan situasi tersebut, Dr Shalini terus melafazkan tekad untuk menguruskan badannya.

Membuka kembali lembaran kisah silam yang cukup ‘tragis’, akui naib juara Mrs Malaysia World 2022 baru-baru ini, beliau mula mengalami peningkatan berat badan hingga 124 kilogram (kg) ketika usianya 11 tahun!

“Dahulu berat saya pernah mencecah 124kg disebabkan tabiat saya yang suka makan. Malah, gaya hidup saya yang tidak sihat ini juga mengundang implikasi buruk apabila saya disahkan menghidap kencing manis dan menderita selama hampir 22 tahun lamanya.

“Bukan itu sahaja, saya turut mengalami enam lagi masalah kesihatan lain yang menganggu rutin harian. Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk memperbaiki gaya hidup supaya lebih sihat,” ujar wanita berusia 35 tahun itu lagi ketika ditemu bual SinarPlus secara eksklusif baru-baru ini.

Ternyata langkah dan kesabaran anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu akhirnya membuahkan hasil.

Pengalaman perit lalu telah menjadi satu iktibar besar kepadanya dan kini, beliau tiada masalah untuk berkongsi tip yang diamalkan sehingga berjaya menurunkan berat badan.

Baca lagi ‘Cantiknya, rasa tercabar tengok gaya mak cik.’ Usia 62 tahun masih lincah bermain kasut roda, ramai teruja lihat aksi wanita ini

“Setelah pelbagai usaha dilakukan, akhirnya saya berjaya menurunkan berat saya hingga 48kg. Kejayaan menghilangkan hampir 70kg dan maintain berat begini hampir 11 tahun lamanya memang membuatkan ramai orang meminta saya berkongsi tip.

“Kaedah yang saya praktikkan adalah menjadi diri sendiri dan lebih bersemangat. Saya memang suka menjadi diri saya sendiri dan bukan untuk orang lain. Saya berusaha untuk berubah kerana tidak mahu lagi berdepan dengan masalah kesihatan.

“Tip kedua adalah dari segi pengambilan nasi. Siapa cakap nasi tak boleh makan? Bagi saya, paling penting, kena minum air yang banyak dan sentiasa berfikiran positif,” ujarnya.

Menurutnya, ketika awal proses menurunkan berat badan, beliau juga mencari trik mudah untuk cepat kurus.

Akhirnya, dirinya sedar tentang kepentingan nutrisi dan senaman yang betul.

Mudah kata, tiada jalan pintas untuk langsing, sebaliknya pengambilan kalori defisit dan bijak mengimbangkan pengambilan makanan dan melakukan aktiviti kecergasan.

“Saya suka makan coklat dan tidak pernah ketinggalan mengambilnya setiap hari. Pun begitu, selepas makan, saya akan bersenam.

“Biarpun berjaya kurangkan 70kg, tetapi badan saya tetap ‘firm’. Inilah hasil daripada penjagaan nutrisi selain melakukan senaman, tarian, zumba dan pilates untuk kecergasan badan,” ujarnya lagi.

Iklan

BODY SHAMING

Seperti orang lain, Dr Shalini turut berdepan dengan isu body shamming.

Bercerita lanjut mengenainya, beliau berkata, situasi tersebut terjadi kepada semua orang. Cuma bergantung cara seseorang itu menanganinya. Itu penting bagi mengelak kita jadi down dan lemah, tegasnya.

“Saya berdepan body shamming ketika di bangku sekolah lagi memandangkan saiz badan saya yang tinggi dan berbadan besar. Justeru, saya sering disuruh duduk di belakang, kononnya badan saya menyukarkan pandangan orang lain.

“Tidak sekadar itu, saya juga sering diejek gemuk sangat, rambut kerinting dan macam-macam lagi kata-kata dilemparkan,” katanya yang menolak tanggapan kononnya beliau berubah disebabkan body shamming.

Jelas empunya diri lagi, beliau berpenampilan menarik bukan kerana untuk dipandang oleh orang lain, tetapi mahu kelihatan cantik pada pandangan mata sendiri.

Iklan

“Ingat, usah berubah untuk kepuasan diri orang lain. Faktor utama saya nak berubah kerana saya tidak mahu makan ubat sepanjang hayat kerana kencing manis.

“Apabila saya berjaya mengurangkan berat badan, jaga makan dan lakukan senaman, ia sekali gus telah membantu saya mengurangkan dos ubat yang perlu diambil.

“Hari ini hampir 11 tahun saya tidak perlu lagi bergantung kepada ubat kencing manis kerana kadar gula sudah berjaya dikawal.

“Saya gembira untuk katakan bahawa saya menjalani gaya hidup lebih sihat kini,” kongsi Dr Shalini berkali-kali menyatakan bahawa gejala buli dan body shamming yang beliau lalui ketika zaman kanak-kanak menjadi motivasi buat dirinya untuk melangkah ke hadapan dan berfikiran lebih matang.

Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi