MASALAH paru-paru berair banyak dialami oleh kebanyakan warga emas di negara ini.

Antara personaliti yang mempunyai krisis kesihatan itu ialah penyanyi dangdut, Datuk M Daud Kilau, 85.

Pada tahun lalu, beliau dilaporkan pernah berada dalam situasi kritikal dan beberapa kali dirawat di pusat perubatan.

Menurut Healthline, susah untuk bernafas dan cepat penat merupakan antara gejala yang sering dialami pesakit.

Bagi mendapatkan penerangan lanjut, SinarPlus mewawancara Pakar Perunding Perubatan Respiratori, Unit Respiratori, Jabatan Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohamed Faisal Abd Hamid.

Dr Mohamed Faisal menjelaskan, terdapat dua kategori paru-paru berair yang perlu diketahui orang ramai iaitu air di dalam paru-paru itu sendiri (edema pulmonari) dan air di dalam selaput paru-paru (efusi pleura). Punca bagi kedua-dua masalah berkenaan juga berbeza.

jantung
SUMBER Towfiqu barbhuiya daripada PEXELS.

“Sekiranya seseorang menghidap edema pulmonari, terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada mereka ada penyakit lemah jantung, strok dan pneumonia (radang paru-paru),“ katanya.

Efusi pleura merujuk kondisi ketika terdapat cairan abnormal dalam rongga pleura. Pleura merupakan selaput tipis yang melapisi paru-paru dan dinding dada.

Dr Mohamed Faisal menambah, kebanyakan kes edema pulmonari adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah jantung.

Kenyataan berkenaan diperkukuhkan lagi dengan hasil kajian Cardiogenic Pulmonary Edema yang diterbitkan oleh National Library of Medicine, Amerika Syarikat.

Daripada 100,000 pesakit yang berdepan dengan isu kegagalan jantung dan keupayaan mengepam darah, sekitar 75,000 hingga 83,000 orang mengalami edema pulmonari, lapor penyelidikan itu. Berbanding wanita, golongan lelaki mendominasi carta.

Lemah jantung

Bagaimana kegagalan jantung boleh menyebabkan paru-paru seseorang berair?
Menerangkannya, pakar berkenaan berkata, jantung berfungsi untuk mengepam darah yang mengandungi oksigen ke seluruh badan.

 

Sekiranya seseorang mengalami lemah jantung, ia mengakibatkan proses sebaran darah terganggu.

Baca juga: Mandi laut bagus untuk paru-paru, kulit & emosi anak, doktor saran sebulan sekali

Baca juga: Tibi punca utama pendarahan paru-paru dalam kalangan pesakit di Malaysia. Ada faktor lain yang perlu diwaspadai

“Ketidakupayaan jantung untuk mengepam kesemua darah telah menyebabkan wujud jumlah darah yang tidak dapat disalurkan dan akan berlakunya proses aliran balik darah ke peparu.

“Jika keadaan itu berlaku, tekanan makin bertambah dan secara tidak langsung alveolus (kantung udara) dipenuhi dengan air,“ jelasnya.

Pun demikian, berbeza pula dengan keadaan edema pulmonari disebabkan pneumonia. Kantung udara tidak dilimpahi dengan air, sebaliknya ia dipenuhi dengan nanah.

JANTUNG
SUMBER freestocks.org daripada PEXELS.

Perbincangan kemudiannya diteruskan dengan mengenal pasti gejala paru-paru berair yang sememangnya akan mempengaruhi kualiti kehidupan penderitanya. Berikut antara inti pati seperti dinyatakan Dr Mohamed Faisal:

  1. Pesakit mudah berasa lemas.
  2. Mengalami kesukaran untuk bernafas.
  3. Mudah penat ketika berjalan.
  4. Mudah batuk atau batuk berdarah bagi mereka yang memiliki pneumonia.
  5. Sakit pada bahagian dada apabila menarik nafas.
  6. Kulit kelihatan pucat atau kebiruan.
  7. Berpeluh atau berasa seram sejuk.
  8. Bengkak pada kaki atau buku lali.

Dalam pada itu, Hello Doktor berkata, bagi sesetengah kes, berada di altitud yang tinggi juga boleh menyebabkan paru-paru berair.

“Biasanya seseorang akan berdepan dengan situasi sukar bernafas, batuk (kadangkala hadir bersama darah atau lendir) sakit kepala dan demam jika berjalan (di tempat yang tinggi),“ ujarnya.

Menyentuh golongan yang manakah yang lebih berisiko mendapat edema pulmonari, pakar berkenaan memberitahu, ia bergantung kepada penyebab masalah itu berlaku.

“Seandainya individu tersebut mendapat paru-paru berair disebabkan pneunomia, mereka biasanya berumur 65 tahun ke atas. Golongan dengan penyakit paru-paru kronik seperti asma berpunca daripada tabiat merokok, sementara yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah terdiri daripada pesakit HIV,“ katanya sambil menambah, penghidap buah pinggang juga memiliki potensi tinggi ‘terkena‘ paru-paru berair.

Bagaimanapun, berbeza pula ‘konsepnya‘ bagi kelompok yang mempunyai masalah paru-paru berair disebabkan oleh lemah jantung.

Rata-rata mereka, ujar Dr Mohamed Faisal, dibebani dengan kolesterol yang tinggi juga kumpulan pesakit kencing manis, darah tinggi atau memiliki sejarah ahli keluarga yang ada masalah jantung.

Dalam pada itu, mengenai mitos mandi malam yang sering dikaitkan dengan masalah paru-paru berair, Halo Doc memberi pencerahan.

Kata mereka, andaian berkenaan tidak benar sama sekali. Sekali lagi laman perubatan itu menerangkan, paru-paru berair tercetus akibat keradangan yang menyerang kantung udara di dalam paru-paru sehingga ia (kantung) dipenuhi dengan cecair atau nanah yang menyebabkan kesukaran bernafas.

Sebaliknya, mandi pada waktu malam untuk penghidap radang paru-paru boleh membantu mereka membersihkan saluran pernafasan supaya dapat tidur dengan lebih nyenyak.

Justeru, anda yang bekerja sehingga lewat waktu malam tidak lagi berasa bimbang untuk mandi apabila tiba di rumah.

Untuk menjawab satu pertanyaan yang sering dilontarkan masyarakat tentang adakah edema pulmonari juga disebabkan oleh aktiviti renang, SinarPlus merujuk Cleveland Clinic, AS.

Baca juga: Si kecil tidak sihat? Ibu boleh cuba 8 makanan ini kuat paru-paru anak

mandi
SUMBER Karolina Grabowska daripada PEXELS.

Ujar penulisan berkenaan, senario itu dipanggil Immersion Pulmonary Edema atau Swimming-Induced Pulmonary.

Ia berlaku apabila perenang atau penyelam mengalami kecederaan paru-paru akibat daripada kapilari peparu mereka pecah.

“Semasa menyelam, darah dihantar ke paru-paru daripada kaki dan perut. Darah yang berlebihan itu meningkatkan tekanan dalam saluran darah paru-paru. Pembuluh bocor dan cecair akan masuk ke dalam kantung udara,“ kata sumber berkenaan.

Rawatan berdasarkan punca

SinarPlus kemudian menemubual Pakar Gastroenterologi, Hepatologi dan Perunding Perubatan, Hospital Pakar Metro, Sungai Petani, Kedah, Dr Amir Hakim Basri.

Beritahu Dr Amir Hakim, kaedah terbaik untuk merawat edema pulmonari adalah dengan mengeluarkan air yang ada di dalam alveolus.

“Langkah pertama yang perlu dilakukan dengan memberi ubat-ubatan seperti lawas kencing agar pesakit dapat mengeluarkan lebihan air melalui proses perkumuhan (kencing).

“Jika mereka mengalami lemah jantung, kita beri ubat untuk menguatkan jantung mereka supaya dapat mengepam darah ke seluruh badan,“ jelasnya.

Iklan

Rawatan seterusnya adalah bergantung kepada keadaan alveolus pesakit. Jika kantung udara mengecut, doktor lazimnya akan membantu mengembangkan semula alveolus dengan memberi rawatan menerusi mesin pengalihan udara.

Dalam pada itu, laman perubatan Mayo Clinic berkongsi perawatan lain yang boleh diguna pakai.

Baca juga: Banyak punca kenapa penyakit paru-paru berdarah boleh terjadi. Ini rawatan yang disyorkan pakar

Pun demikian, ia bergantung kepada punca khusus dan petanda-petanda yang dialami oleh pesakit. Antaranya:

  1. Ubat jenis vasodilator: Ia digunakan untuk membuka dan melebarkan salur darah bagi mengurangkan kesesakan paru-paru.
  2. Calcium channel blocker: Pemberian ubat ini adalah untuk mengurangkan tekanan pada darah.
  3. Morfin: Ubat ini berfungsi untuk mengurangkan kebimbangan dan masalah kesukaran bernafas. Bagaimanapun, pemberian morfin sangat tidak digalakkan.

Seperkara, bagi mereka yang mahu mengelak daripada masalah berkenaan, Dr Amir Hakim menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Jika dilihat kepada risiko paru-paru berair, mereka yang ada masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis, buah pinggang dan jantung merupakan golongan yang mudah untuk menghidapnya.

“Jadi, langkah terbaik adalah mengurangkan faktor risiko tersebut adalah dengan makan makanan yang sihat, henti merokok dan lakukan senaman dengan kerap,“ ujarnya.

Sebelum menutup bicara, beliau menyeru orang ramai supaya melakukan pemeriksaan fizikal, lebih-lebih lagi sekiranya mempunyai sejarah keluarga yang miliki penyakit jantung.

“Segerakan juga pemeriksaan andai anda mengalami simptom paru-paru. Bahaya jika dibiarkan berlarutan,“ ujarnya.-SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA

 

Langsung tak boleh lakukan sebarang kerja akibat terlalu penat

PADA tahun 2012, Zaitun Mislam, 44, dikesan mempunyai fibroid. Penyakit itu sekali gus membuatkan kualiti kehidupannya jatuh ke titik terendah.

Iklan

Zaitun fikirkan hanya masalah tersebut sahaja yang membelenggu kesihatannya. Pun demikian, jangkaan itu meleset apabila beliau didiagnosis menghidap penyakit paru-paru berair. Bukan itu sahaja, jantungnya dikesan mengalami pembengkakan.

“Perit untuk ditelan, tetapi saya terpaksa terima takdir yang telah ditentukan. Dugaan dengan fibroid besar dirasakan sebab sudah tak tertanggung, tiba-tiba datang pula penyakit lain,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

AIR
SUMBER Ecuen Images daripada PEXELS.

Atas nasihat pakar, wanita itu diminta hanya minum sebanyak 800 mililiter air setiap hari.
Pun demikian, kadangkala nafsu menewaskan Zaitun. Beliau berkata, sikap culas untuk mematuhi arahan yang diberikan membuatkan kondisi kesihatannya selalu tidak menentu.

“Pernah suatu ketika, saya terminum melebihi sukatan yang ditetapkan. Keadaan itu telah menyebabkan saya rasa seolah-olah lemas di dalam laut. Begitulah gambarannya.

“Saya juga mengalami kesukaran untuk melelapkan mata. Nak tidur dan duduk pun susah. Kaki saya membengkak. Paling menakutkan, saya sama sekali tidak boleh melakukan sebarang aktiviti kerana cepat rasa penat,“ katanya.

Selepas mendapatkan rawatan, wanita itu diberikan ubat lawas kencing supaya air dapat dikumuhkan segera keluar daripada badan.

Tidak pasti sama ada ia satu kebetulan atau sebaliknya, sebaik menjalani pembedahan membuang ovari, rahim dan fibroid, masalah paru-paru berair dan jantung bengkak yang dideritainya terhenti.

Walaupun sudah kehilangan sebahagian organ wanitanya, tahap kesihatannya wanita tersebut semakin baik.

“Saya bersyukur kerana tidak lagi mengalami sesak nafas mahupun sukar untuk tidur lagi,“ akuinya.-SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!