KUIH karas antara sajian tradisional yang cukup popular dalam kalangan orang kita terutama di negeri Kedah.
Ada yang memanggilnya sebagai kuih jala. Di Sabah, Sarawak dan Brunei pula, ia dikenali dengan nama jala sahaja.

Seperti yang diperkatakan ramai, untuk membuat kuih berkenaan, pembikinnya haruslah memiliki kemahiran dan kesabaran yang amat tinggi.

Mengakui hakikat itu, Nur Izzahhazwani Che Mud memberitahu, beliau sendiri mengambil masa sekitar lima bulan sebelum betul-betul mahir menyediakan kulinari warisan yang popular ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 

Baca juga: Agar-agar pandan santan yang lazat mudah dan rasa berlemak sebut saja dah terliur

Baca juga: Puding pandan Thai cair di mulut enak disaji tika berbuka

 

Kata wanita itu, terdapat pelbagai teknik untuk membuat kuih berkenaan. Antaranya dengan menggunakan acuan roti jala. Sesetengah individu yang lebih kreatif akan mentransisikan tempurung kelapa dengan menebuk lubang kecil.

Nur Izzahhazwani Che Mud

Bagi Nur Izzahhazwani, beliau menggunakan acuan khas yang dibelinya untuk mendapat tekstur dan ‘jaringan’ kuih karas yang cantik.

“Saya mengaku, sepanjang tempoh mempelajarinya, banyak kuih yang rosak berbanding yang boleh dimakan. Saya pernah nak menyerah kalah sebab banyak cubaan saya asyik menemui kegagalan saja.

“Pun demikian, akhirnya saya berjaya juga menguasai teknik ‘menjala’ kuih karas dengan sempurna,” kata beliau yang mewarisi ilmu membuat kudapan berkenaan daripada ibu mertuanya.

Berkenaan dengan bahan-bahan adunan, hanya tiga bahan yang diperlukan iaitu tepung beras, gula dan air, termasuk minyak yang banyak untuk menggoreng.

“Dengan semua ramuan yang sangat mudah didapati di samping kos yang sangat minimum, kuih karas yang sedap boleh dibuat.

“Perkara asas yang perlu diambil kira adalah kepekatan adunan, pastikan ia tidak terlalu cair. Seperti yang saya katakan tadi, cara pembuatannya saja yang sedikit renyah, kena bersabar sedikit ya,” katanya.

Ujar beliau, disebabkan sifat kuih karas yang rapuh, makanan tersebut perlu disimpan di dalam bekas kedap udara untuk mengelaknya cepat masuk angin.

Kebolehan yang dimiliki anak jati Terengganu itu nampaknya tidak disia-siakan begitu sahaja.

Kaedah tradisional digunakan untuk menghasilkan kuih karas.

Kepada SinarPlus, Nur Izzahhazwani berkata, beliau kini sudah bergelar usahawan menjual kulinari berkenaan dengan label Kuih Karas TokMek.

Iklan

“Pejam celik sudah lima tahun saya berniaga. Alhamdulillah, kuih ini tidak hanya dijual di kawasan berhampiran kawasan rumah di Kijal, Kemamam, Terengganu, malah turut boleh didapati di Pasar Payang, Kuala Terengganu,” katanya.

Meskipun perjalanan penghantaran mengambil masa sekitar dua jam, beliau tetap berpuas hati kerana mampu menjual sekitar 800 bekas sebulan. Jumlah tersebut akan meningkat terutama pada musim perayaan.

“Saya pernah nak pasarkan kuih karas di luar kawasan Terengganu, namun gagal kerana kuih tersebut hancur. Jadi, kepada sesiapa yang menginginkannya, boleh membeli di Pasar Payang,” katanya.

Resepi Kuih Karas TokMek

Bahan-bahan

1 bungkus tepung beras
1 cawan gula
3 cawan air
2 kilo minyak masak untuk menggoreng (pek minyak)

Iklan

Cara penyediaan:

Masukkan tepung beras bersama gula dan gaul kedua-dua bahan sehingga sebati.
Masukkan air dan gaulkan semula adunan.
Panaskan minyak dalam kuali.
Masukkan adunan tadi ke dalam acuan kuih karas.
Tuangkan (adunan) ke dalam kuali menggunakan acuan kuih.
Apabila warna kekuningan atau keemasan, terus lakukan lipatan dalam kuali dengan senduk dan angkat dengan segera.
Toskan minyak dan biarkan sejuk.
Simpan kuih tersebut di dalam bekas kedap udara.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI