SUDAH hampir satu tahun lebih kita ‘hidup’ bersama wabak pandemik Covid-19 yang telah menyerang dunia pada November tahun 2019.

Terbaharu, satu ramalan yang telah dilakukan menyatakan bahawa wabak berkenaan tidak akan hilang hingga enam tahun lamanya.

Menurut laman web health.detik.com, sudah banyak negara di dunia sedang giat membangun dan melakukan program vaksinasi Covid-19 termasuklah di Malaysia.

Namun demikian, nampaknya wabak virus korona akan terus menjadi pandemik dalam jangka masa yang sangat lama.


Buktinya, seorang pakar penyakit berjangkit di Universiti Nasional Australia, Dr Sanjaya Senanayake berkata, dengan hanya 70 negara yang melaksanakan vaksinasi Covid-19, kelompok imuniti (dalam masyarakat) di seluruh dunia akan sukar untuk dibentuk.

Lebih membimbangkan, kata Dr Sanjaya, dunia mungkin memerlukan lebih dari enam tahun untuk mengatasi pandemik itu.

“Bukan satu atau dua tahun, tetapi enam tahun,” tegasnya seperti yang dilaporkan Daily Star.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan bahawa situasi pandemik yang berlaku kini tidak akan dapat diselesaikan sehingga virus itu dapat dihapuskan sepenuhnya di setiap pelosok dunia.

Apatah lagi virus berkenaan terus mengalami mutasi yang boleh membahayakan manusia.

Pun demikian, Dr Sanjaya mengatakan bahawa Australia yang mana menjadi negara pengeluaran vaksin Corona AstraZeneca sebanyak 50 juta dos di Melbourne, tidak akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada pelaksanaan vaksinasi jika masih banyak negara lain yang belum melaksanakannya akibat kekurangan bekalan vaksin.

“Jika ada negara yang meneruskan vaksinasi sementara beberapa negara tidak dapat mengendalinya, maka mutasi yang lebih banyak (virus korona) muncul dan mungkin akan mempengaruhi keberkesanan vaksin tersebut,” jelas Dr Sanjaya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan, seramai 126,000 rakyat di Malaysia akan disuntik vaksin Covid-19 dalam tempoh sehari menerusi Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 bermula 26 Februari ini (sebaik bekalan vaksin Pfizer-BioNTech tiba).

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Adham Baba pula memaklumkan, bagi memastikan jangkaan tersebut dapat dicapai sebanyak 600 lokasi vaksinasi seluruh negara sudah ditetapkan dengan tujuh vaksinator (petugas menyuntik vaksin) akan disediakan di setiap lokaliti atau kawasan.

Iklan

Ia melibatkan fasa pertama pada 26 Februari, yang mana penerimanya merupakan petugas barisan hadapan iaitu anggota KKM, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan lain- lain yang ditetapkan kerajaan.

Bagi fasa kedua pula, Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 dijangka akan bermula pada Mac akan datang.

Penerima vaksin fasa kedua terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang berisiko menghidap penyakit kronik termasuk diabetes dan darah tinggi.

Iklan

Oleh itu, SinarPlus ingin mengingatkan orang ramai di luar sana agar kekal mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Artikel berkaitan: Covid-19: 7 gejala terbaharu babitkan gangguan saraf manusia berdasarkan kajian antarabangsa yang kita perlu tahu

Ayuh kita berganding bahu putuskan rantaian wabak Covid-19. Ingat, kita mesti menang! #kitajagakita