Darah kita boleh selamatkan 3 nyawa. Kikis persepsi takut gemuk, seram dengan jarum atau ditimpa penyakit berjangkit

A
A
A

Darah kita boleh selamatkan 3 nyawa. Kikis persepsi takut gemuk, seram dengan jarum atau ditimpa penyakit berjangkit

RAMAI yang bertanya, kenapa mereka perlu mendermakan darah mereka yang berharga? Jawapannya, sangat mudah. Perilaku mulia itu dapat membantu menyelamatkan nyawa manusia yang sangat memerlukan pada saat genting.

Betapa signifikannya amalan tersebut telah mendorong kami mengangkat topik berkenaan dalam rancangan Doktor & Anda (DNA) baru-baru ini.

Sebagai alternatif, penulis turut membawa perbincangan itu kepada sebuah penulisan yang diharap dapat membantu masyarakat untuk lebih memahami kepentingannya.

Kepada Pakar Perubatan Transfusi, Pusat Darah Negara (PDN), Dr Nor Azhani Azmi, beberapa soalan diajukan.

Terlebih dulu, kata Dr Nor Azhani, bekalan darah di PDN pada masa ini masih berada pada tahap selamat.

“Bagaimanapun, memandangkan penggunaannya yang berterusan, ia akan menjejaskan bekalan darah jika masyarakat tidak terus menyokong aktiviti pendermaan darah,“ katanya.

Persoalannya, berapa jumlah stok bekalan darah yang dianggap selamat untuk menampung keperluan pesakit?

Ujar beliau, secara purata antara 2,000 hingga 2,200 beg darah diperlukan sehari untuk kegunaan merawat kira-kira 1,000 pesakit di seluruh negara.

Sementara, Pusat Darah Negara menyasarkan kutipan darah sebanyak 500 hingga 600 beg darah setiap hari bagi kegunaan lebih 60 buah hospital swasta dan kerajaan di Lembah Klang.

Jika dicongak, dalam tempoh sebulan, PDN memerlukan sebanyak 15,000 hingga 17,000 beg darah.

Tiada bahan sintetik

Mengulas lanjut, Dr Nor Azhani berkata, terdapat dua jenis keperluan darah iaitu:

Keperluan darah yang dijangka: Ini adalah untuk merawat pesakit kanser, talasemia, bayi pramatang, kegagalan buah pinggang dan juga bagi mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal serta kompleks.

Keperluan darah luar jangka: Ini melibatkan situasi kecemasan seperti pendarahan selepas bersalin dan semasa pembedahan, mangsa kemalangan, transplan organ (daripada penderma kadaverik) dan sebagainya. Kadaverik bermaksud pendermaan selepas kematian.

Tambah beliau, pihaknya memerlukan kesemua jenis kumpulan darah A, B, AB dan O memandangkan terdapat keperluan yang sangat mustahak.

Berdasarkan rekod pendermaan darah, sebanyak 45 peratus rakyat Malaysia tergolong dalam kumpulan berdarah O. Sementara, darah A dan B masing-masing 25 peratus dan darah AB sebanyak 5 peratus.

Selain itu, Dr Nor Azhani berkata, darah merupakan produk teraputik yang amat penting untuk perawatan pesakit.

“Ia (darah) hanya boleh didapati daripada pendermaan sesama manusia sahaja. Sehingga kini, masih belum ada bahan sintetik yang boleh menggantikan produk darah sepenuhnya,“ jelas beliau.

Secara amnya, terdapat lebih daripada 30 sistem kumpulan darah. Bagaimanapun, kumpulan darah yang paling penting untuk pendermaan dan pemindahan darah ialah ABO dan Rh. Berikut penerangannya:

Kumpulan darah ABO terdiri daripada jenis A, B, AB dan O. Sementara, kumpulan darah Rh merangkumi Rh (D) positif dan Rh (D) negatif.

Bagi sistem kumpulan Rh, kebanyakan populasi kita mempunyai darah jenis Rh (D) positif, manakala jenis Rh (D) negatif merupakan darah rare iaitu darah yang jarang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia (secara puratanya hanya 2 hingga 3 peratus).

Human blood donate on white background illustration

Beliau juga menyatakan, antara jenis darah unik yang ditemui ialah Rh (Rh negatif), Duffy Fy (a-b-), Kidd Jk (a-b-) dan Bombay.

Justeru, jika terdapat pesakit yang memerlukan darah ganjil atau antibodi tertentu, koordinasi klinikal antara PDN dan pusat-pusat kutipan darah negeri akan dilakukan bagi memastikan unit darah diperlukan dapat dibekalkan tepat pada masanya.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, pernah berlaku satu kes yang menyaksikan bekalan darah unik perlu dibekalkan dari Jepun disebabkan ketiadaan jenis darah tersebut di Malaysia, kongsi Dr Nor Azhani.

Beberapa tahun dulu, terdapat seorang pesakit yang hendak menjalani pembedahan memerlukan kombinasi jenis darah PP1Pk negatif dan Fya negatif. Disebabkan ketiadaan bekalan darah jenis tersebut, PDN terpaksa memohon bekalan darah tersebut daripada Japanese Red Cross Blood Centre," kongsinya.

Dalam pada itu, jelas beliau, untuk proses pemindahan darah adalah sangat penting untuk memastikan pesakit mendapat darah yang bersesuaian berdasarkan kumpulan darah.

Bagaimanapun, dianggarkan 5 peratus daripada pesakit akan memerlukan jenis darah yang lebih spesifik. Ini kerana mereka mempunyai antibodi sel darah merah yang atipikal.

Sekiranya pesakit diberi darah yang tidak sesuai, ini boleh menyebabkan risiko berlakunya reaksi transfusi yang boleh membahayakan nyawa pesakit.

 

Tak gemuk, tak dijangkiti penyakit berjangkit

Secara amnya, masyarakat di Malaysia telah menunaikan tanggungjawab sosial untuk tampil menderma darah secara berkala. Namun, masih terdapat beberapa persepsi yang masih membelenggu untuk mereka tampil berbuat demikian.

Antara alasan popular yang sering didengari adalah takut dengan jarum dan bimbang diri berdepan dengan kegemukan.

Memahami dilema itu, Dr Nor Azhani berkata, semua itu adalah satu perkara biasa.

“Namun, jangan khuatir kerana ubat tahan sakit (local analgesia) akan diberikan di kawasan suntikan jarum bagi menghilangkan rasa sakit.

Tentang masalah kegemukan pula, tanggapan itu tidak benar. Berat badan tidak akan bertambah selepas menderma darah. Ini kerana apabila seseorang individu itu menderma darah, respons tindak balas badan memerlukan penggunaan tenaga bagi menghasilkan sel darah baharu,“ jelasnya.

Malahan, kajian saintifik mendapati, seorang penderma darah akan membakar lebih kurang 600 kalori bagi setiap satu beg darah yang didermakan.

Namun, itu tidak bermakna kaedah menderma darah sebagai langkah utama untuk menurunkan berat badan. Lebih baik, amalkan gaya hidup yang sihat dan pemakanan seimbang untuk tujuan itu.

Hal lain yang menimbulkan keresahan adalah kemungkinan dijangkiti penyakit berjangkit.

Menerangkan situasi itu, Dr Nor Azhani berkata, proses pendermaan darah yang dijalankan di bawah fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai prosedur operasi standard yang ketat dalam memastikan keselamatan ke atas penderma dan produk darah yang dihasilkan.

“Bagi setiap proses pendermaan darah, penggunaaan jarum dan set beg darah yang baharu akan digunakan. Prosedur ini juga menggunakan teknik aseptic bagi memastikan darah adalah bebas daripada kuman. Anggota kesihatan juga telah dilatih perlu patuh terhadap etika kerja secara profesional,“ katanya.

Sampel darah daripada setiap beg darah juga akan dihantar ke makmal untuk ujian jenis darah [ABO dan Rh (D)] serta saringan serologi dan Nucleic Acid Testing untuk memastikan darah bebas daripada HIV, hepatitis B, hepatitis C termasuk sifilis (penyakit kelamin yang disebabkan oleh bakteria).

Sekali lagi, masyarakat dan penderma di luar sana tidak perlu bimbang kerana pendermaan darah adalah prosedur yang selamat. Ini kerana prosedur ini berteraskan prinsip ‘satu pengguna satu jarum‘,“ terangnya.

Hasilkan sel-sel darah baharu, kekalkan kecergasan badan

Jika ada yang tertanya-tanya apa manfaat di sebalik menderma darah, Pakar Perubatan Transfusi, Pusat Darah Negara (PDN), Dr Nor Azhani Azmi menerangkan satu persatu.

Pertama, pendermaan darah boleh memelihara kesihatan dan merangsang badan kita untuk menghasilkan sel-sel darah baharu.

“Ia sekali gus mengekalkan kecergasan badan dan menjadikan penderma darah lebih produktif,“ katanya.

Tidakkah anda rasa bahagia apabila mengetahui darah yang kita sumbangkan berupaya menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga nyawa? Darah utuh yang didermakan itu boleh menghasilkan sel darah merah, platelet dan plasma.

Antara kemaslahatan lain yang boleh diperoleh adalah seperti berikut:

-Pendermaan darah secara tetap dan berkala dapat memelihara kesihatan kardiovaskular.

-Kajian saintifik mendapati, seorang penderma darah akan membakar lebih kurang 600 kalori bagi setiap satu beg darah yang didermakan.

-Membentuk sikap ikhlas dan suci hati dalam membantu dan menyelamatkan nyawa insan lain.

-Memupuk kesepaduan dan tanggungjawab sosial bersama ke arah pendermaan darah secara sukarela tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang individu.

Dalam pada itu, kepada yang berhasrat untuk menderma, anda mestilah sihat, berat badan 45 kilogram dan ke atas, makan terlebih dulu (empat jam sebelum), minum air secukupnya dan pakai pakaian yang selesa.

Selepas prosedur berakhir, penderma diminta berehat sebentar dan diwajibkan mengambil makanan yang disediakan sebelum meninggalkan kawasan pendermaan.

“Jangan angkat barang yang berat atau terlibat dalam aktiviti terlalu lasak dalam tempoh masa 24 jam untuk menghindari masalah bengkak atau lebam di kawasan tusukan jarum serta memastikan penderma darah mendapat rehat secukupnya.

"Jika rasa pening atau rasa pitam, hentikan segala apa yang dilakukan dan dinasihatkan untuk duduk atau berbaring sehingga pulih kembali. Dapatkan nasihat doktor serta mendapatkan rawatan selanjutnya jika masih mengalami gejala tersebut“ nasihatnya.

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTubeTiktok SinarPlus & Threads @sinarplus@threads.net. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Foto: PEXELS, FREEPIK & PIXABAY

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca