Diabetes ragut 3 nyawa setiap minit di seluruh dunia, ini fakta yang wajib semua ambil tahu
SEJAK Dr Frederick Banting menemui insulin kira-kira 100 tahun yang lalu di Toronto, Kanada, bersama Charles H Best dan JJR Macleod, diabetes telah diisytiharkan sebagai pandemik.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, diabetes meragut tiga nyawa setiap minit di seluruh dunia.
Satu daripada lima orang dewasa menghidapi penyakit itu di Malaysia.
Namun, Indeks Diabetes Malaysia menunjukkan bahawa pemahaman mengenai diabetes dan komplikasi kesihatannya masih kurang memuaskan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Secara umumnya, terdapat dua jenis diabetes yang utama iaitu diabetes jenis 1 dan 2 yang berlaku apabila pankreas tidak menghasilkan insulin yang mencukupi.
Insulin merupakan hormon yang membawa gula dalam darah ke dalam sel untuk membekalkan tenaga.
Diabetes jenis 2 biasanya berlaku kepada mereka yang berumur dan dikaitkan dengan pelbagai faktor.
Antaranya genetik, hormon, persekitaran, gaya hidup dan masalah perubatan lain.
Diabetes jenis 1 pula kurang diketahui. Secara amnya berlaku di kalangan kanak-kanak dan orang muda.
Diabetes jenis 1 adalah penyakit autoimun yang mana seseorang menghasilkan antibodi yang tidak normal yang menyerang sel-sel dan tisu badan mereka.
Bagi pesakit, antibodi tersebut menyerang dan merosakkan sel-sel yang menghasilkan insulin pada pankreas. Ia juga dikenali sebagai sel beta.
Terdapat lebih daripada 9 juta orang yang mengalami diabetes jenis 1 di seluruh dunia, termasuk selebriti terkenal seperti Nick Jonas, Halle Berry dan Theresa May.
Apabila sel beta rosak sepenuhnya, seseorang akan mengalami glukosa tinggi (hiperglisemia) dan seterusnya keadaan yang mengancam nyawa yang dikenali sebagai diabetes ketoacidosis (DKA).
DKA memudaratkan?
DKA adalah keadaan kecemasan yang disebabkan oleh glukosa yang sangat tinggi dan pengumpulan asid keton dalam darah.
Menurut Pakar Perunding Endokrinologi, Hospital Pakar Regency, Dr Luqman Ibrahim (gambar kecil), apabila seseorang tidak mempunyai insulin yang mencukupi, mereka tidak dapat menggunakan glukosa sebagai sumber utama tenaga.
Sebagai tindak balas, badan mereka memecahkan tisu lemak dan melepaskan asid keton dalam jumlah yang berlebihan.
“Apabila terlalu banyak asid keton berada dalam darah, ia menyebabkan darah menjadi terlalu berasid dan seterusnya membawa kepada kegagalan pelbagai organ termasuk kegagalan jantung dan koma,” katanya.
Ujar Dr Luqman, terdapat beberapa gejala utama diabetes jenis 1 seperti:
i)Penurunan berat badan yang mendadak.
ii)Kerap kencing pada waktu malam.
iii)Kelesuan yang berlebihan.
Apabila seseorang dewasa atau kanak-kanak mengalami DKA, mereka juga akan mengalami gejala seperti sakit perut, muntah, kesukaran bernafas dan akhirnya koma jika tidak dirawat dengan segera.
BACA JUGA: Berat pernah cecah 124kg, dibuli sejak kecil dan derita diabetes. Dr Shalini dedah rahsia langsing
Diagnosis diabetes jenis 1
Apabila seseorang mengalami gejala diabetes jenis 1, tetapi tidak menerima diagnosis dan rawatan yang sesuai, mereka boleh mengalami DKA dalam masa dua hingga empat minggu, ujar Dr Luqman.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan gejala diabetes jenis 1 boleh menjadi serius dengan kadar yang cepat, kebanyakan kanak-kanak dan orang dewasa mendapat diagnosis hanya apabila mereka telah mengalami DKA.
Diagnosis diabetes jenis 1 boleh dilakukan dengan ujian yang menunjukkan paras glukosa tinggi tanpa ciri-ciri jenis diabetes yang lain. Contohnya, obesiti, usia yang lebih tua, dan kehamilan.
Pengesahan diagnosis diabetes jenis 1 juga boleh dibuat dengan menguji paras antibodi yang khusus untuk sel beta.
“Namun, keputusan ujian berkenaan hanya akan diterima selepas beberapa minggu. Bagaimanapun, apabila glukosa darah meningkat, rawatan untuk diabetes jenis 1 perlu dimulakan dengan segera tanpa menunggu keputusan ujian antibodi ini bagi mengelakkan DKA,” jelasnya.
Rawatan
Kata Dr Luqman, semua pesakit diabetes jenis 1 memerlukan rawatan insulin sepanjang hayat mereka.
“Jika tidak, mereka akan kembali mengalami DKA. Namun, rawatan insulin pada orang dengan diabetes jenis 1 agak rumit dan memerlukan proses pembelajaran yang berterusan.
“Kajian juga menunjukkan bahawa walaupun dirawat dengan insulin, pesakit diabetes jenis 1 masih boleh mengalami komplikasi jangka panjang seperti kegagalan buah pinggang, hilang penglihatan, hilang anggota badan termasuk penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung dan strok.
“Komplikasi ini boleh dicegah dengan menyasarkan HbA1c (purata paras gula dalam darah dalam tempoh dua hingga tiga bulan yang lalu) pada tahap yang lebih rendah dengan cara rawatan insulin intensif,” ujarnya.
Pesakit diabetes jenis 1 juga terdedah kepada paras glukosa darah rendah (hipoglisemia) akibat rawatan insulin.
Untuk mencapai sasaran HbA1c dan mengurangkan risiko hipoglisemia, rawatan insulin intensif memerlukan suntikan insulin beberapa kali setiap hari, pemantauan glukosa darah yang kerap, pengiraan karbohidrat dan pengiraan dos insulin yang sepadan dengan pengambilan karbohidrat.
“Bagi memperoleh kemahiran menguruskan diabetes jenis 1, pesakit perlu belajar dan berbincang secara berterusan dengan pasukan penjagaan diabetes mereka,” katanya.
Kemajuan teknologi
Teknologi-teknologi terkini telah dibangunkan untuk memudahkan pengurusan diabetes jenis 1. Ini termasuklah rawatan seperti:
-Sistem pemantauan glukosa berterusan (CGM) direka untuk mengesan tahap glukosa menggunakan sensor yang diletakkan pada kulit untuk mengesan tahap glukosa secara automatik sepanjang hari. Ia membolehkan pesakit mengetahui bacaan glukosa sepanjang masa melalui aplikasi atau peranti mudah alih tanpa perlu mencucuk jari mereka. Ia telah digunakan oleh orang dengan diabetes jenis 1 dengan hasil yang memberangsangkan.
-Pam insulin adalah peranti berkomputer kecil yang memberikan infusi insulin berterusan ke dalam kulit tanpa memerlukan banyak suntikan. Peranti ini boleh diprogramkan untuk menyampaikan kadar insulin yang bersesuaian pada masa yang berlainan dalam sehari dan untuk jumlah pengambilan karbohidrat yang berbeza, terutamanya apabila pesakit makan makanan yang lebih banyak dari biasa.
-Teknologi sistem gelung tertutup (pankreas tiruan) menggabungkan sistem CGM, pam insulin dan perisian pintar untuk mencipta sistem rawatan insulin automatik berdasarkan data glukosa secara berterusan. Sistem gelung tertutup ini sering juga dipanggil ‘pankreas tiruan’, walaupun mereka masih mempunyai beberapa kekurangan berbanding pankreas manusia yang sebenar.
Kesembuhan
Walaupun diabetes jenis 1 tidak mempunyai penawar, pemindahan sel islet yang mengandungi sel beta telah digunakan oleh pesakit diabetes jenis 1 untuk meringankan atau menyembuhkan penyakit mereka, namun, manfaat ini tidak berkekalan, kata Dr Luqman.
Bagaimanapun, apabila rawatan baharu termasuk sistem insulin yang automatik sepenuhnya dan sel beta yang berasal dari sel stem sedang dibangunkan, kita berharap rawatan-rawatan ini akan meningkatkan kualiti kesihatan pesakit diabetes jenis 1.
Secara ringkasnya, diabetes jenis 1 adalah keadaan yang kompleks dan ia memerlukan proses pembelajaran sepanjang hayat dengan pasukan penjagaan diabetes yang berpengalaman untuk hasil rawatan terbaik.
“Oleh itu, adalah penting bagi pesakit diabetes jenis 1 untuk memperoleh akses kepada pasukan penjagaan diabetes yang boleh menyediakan penjagaan pelbagai disiplin untuk menangani keperluan kompleks mereka,” katanya.
BACA JUGA: 3 mitos tentang diabetes yang menjadi punca kes makin tinggi. Ini yang perlu pesakit elak
BACA JUGA: Pesakit diabetes kena dapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa, elak risiko koma, sawan dan pengsan
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang