Didik anak seronok berpuasa. Ini syarat-syarat latih si kecil puasa di musim panas

A
A
A

BERPUASA di bulan Ramadan adalah wajib bagi semua umat Islam yang mampu.

Walaupun kanak-kanak terutama yang belum baligh dikecualikan daripada berbuat demikian, namun segelintir ibu bapa mengambil kesempatan  bulan mulia itu untuk mengajar anak tentang Rukun Islam ketiga itu.

Sebenarnya pada usia berapa kanak-kanak dibolehkan untuk berpuasa?

Semasa cuaca panas yang melanda negara kini, apa syarat-syarat yang perlu diambil perhatian sebelum meminta anak menahan lapar dan dahaga?

Untuk mengulas topik ini dengan lebih lanjut, SinarPlus menemubual Pegawai Perubatan Klinik Chenang Jitra 24 Jam, Dr Mohamad Suaidi Mohamad Sazali.Ujar beliau, dari segi perubatan, sebenarnya tiada had umur untuk kanak-kanak mula berpuasa.

“Namun, ada pakar perubatan yang mengesyorkan umur 7 tahun sebagai usia yang sesuai.

“Anak-anak juga boleh dilatih untuk menunaikan ibadah itu secara berperingkat seawal usia 5 tahun,” katanya.

Jelas beliau, puasa tidak menjejaskan proses perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak selagi mereka mendapat nutrien yang sepatutnya untuk tubuh.

“Tumbesaran kanak-kanak dipengaruhi oleh nutrisi dan hormon pembesaran.

“Jadi, pengambilan makanan yang lengkap meliputi suku karbohidrat, suku protein dan separuh sayur-sayuran serta buahan amat penting untuk membantu mereka membesar dengan baik di samping dapat melaksanakan ibadah puasa,” tuturnya.

Mengulas lanjut, kata Dr Mohamad Suaidi, tiada syarat khas untuk anak kecil itu berpuasa.

Pun begitu, ibu bapa harus memberi dorongan dan kelonggaran sekiranya  mereka tidak mampu untuk melakukannya.

"Bukanlah menjadi satu  kewajipan untuk mereka menghabiskan puasa seharian dalam keadaan keletihan dan lemah.

“Oleh itu, jangan paksa anak-anak berpuasa sehingga memudaratkan kesihatan diri mereka,” ujarnya sambil memberitahu kanak-kanak yang belum baligh tidak wajib berpuasa.

Seeloknya, kata beliau, ibu bapa boleh melatih mereka secara berperingkat.

Si kecil boleh diminta untuk cuba menahan lapar dan dahaga separuh hari dahulu atau berpuasa secara selang sehari mengikut kemampuan diri masing-masing.

Tambah beliau, ibadah tersebut sepatutnya menjadi perkara yang menyeronokkan dan dilaksanakan secara berperingkat agar mereka dapat membina ketahanan diri.

Apabila puasa menyebabkan terlampau dahaga dan lapar sehingga tidak aktif, sebaiknya beri kelonggaran agar mereka berbuka.

Musim panas

Ditambah pula dengan musim panas yang sedang dialami Malaysia terutamanya di kawasan utara negara, ibadah tersebut menjadi lebih mencabar untuk diharungi terutama anak kecil.

Justeru, Dr Mohamad Suaidi memberikan beberapa saranan kepada ibu bapa. Antaranya:

Pastikan anak-anak mendapat nutrisi dan air yang mencukupi ketika bersahur dan berbuka untuk kekal aktif.

Elakkan kanak-kanak daripada berada di luar atau berjemur panas untuk tempoh masa yang lama.

Jika anak menunjukkan tanda-tanda dehidrasi yang teruk, sila bawa berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan segera.

Paling penting, ujar beliau, semasa bersahur, kanak-kanak ini perlu dipersiap dengan hidangan seimbang, lengkap dengan karbohidrat, protein, sayuran dan buah-buahan.

Antara contoh menu yang sesuai adalah bubur lambuk yang ditambah banyak sayuran, sandwic telur atau tuna dan juga buah-buahan segar.

"Makanan yang disediakan di rumah tentu sahaja lebih baik daripada yang dibeli di luar.

"Lewatkan juga sahur supaya mereka dapat bertahan lebih lama untuk berpuasa," tuturnya.

Ketika ditanya adakah makanan manis diperlukan untuk membantu si kecil bertenaga, ini komen Dr Mohamad Suaidi.

“Tentu sekali kanak-kanak akan teruja melihat makanan manis ketika berbuka puasa seperti donat bercoklat atau air manis yang dibancuh bersama susu pekat.

"Namun, hidangan jenis itu akan membuatkan badan menjadi lesu," katanya.

Pada masa sama, Dr Mohamad Suaidi menasihati ibu bapa supaya elakkan daripada memberi anak makan makanan berat sebelum tidur.

Hal ini kerana, segala kalori yang diambil akan disimpan terus ke dalam badan dan boleh mencetuskan risiko kegemukan serta masalah penghadaman.

Baca juga: Fungsi sistem pencernaan terganggu. Pakar ini kongsi penyakit sering timbul ketika puasa

Baca juga: Puasa mendidik disiplin diri. Pakar ini kongsi kaedah berpuasa dengan berkesan

Sebaliknya, bersahur dengan makanan yang seimbang dan lengkap supaya si kecil kuat untuk mengharungi hari siang mereka dalam keadaan berpuasa.

Mustahak juga untuk penjaga berikan kata-kata pujian dan dorongan.

“Tidak perlulah mengejek, memarahi atau membandingkan mereka dengan kanak-kanak yang lain.

“Lain individu lain kemampuan dan ketahanan diri mereka," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya ibu bapa mengajak anak-anak melakukan aktiviti bersama seperti penyediaan juadah berbuka.

“Kanak-kanak akan lebih teruja dan termotivasi untuk sama-sama menghayati puasa kerana mengharapkan keseronokan ketika berbuka.

“Justeru, ibadah itu akan menjadi lebih menyeronokkan di samping ibu bapa dapat menjadi contoh teladan yang baik untuk ikutan anak-anak,” ujarnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca