'Dirinya saja betul, orang lain semua salah.' Sikap individu yang ada OCPD buat ramai tak selesa?

A
A
A

Individu dengan OCPD pentingkan diri sendiri dan menyusahkan orang lain?

BIASANYA, apabila seseorang dilihat sebagai terlalu pembersih, susun atur barang di kediaman atau di pejabatnya tersusun rapi dan tiada habuk, kita akan menggelar individu itu sebagai OCD atau Obsessive Compulsive Disorder.

Hakikatnya, terma itu tidak tepat sama sekali. Golongan sebegitu sebenarnya berada dalam kategori Obsessive Compulsive Personality Disorder (OCPD). Malah, faktor dan cara rawatan turut berbeza.

OCPD merujuk kepada gangguan keperibadian yang menyebabkan individu memiliki pola pemikiran kesempurnaan yang berlebihan dan wujud keinginan untuk mengendalikan semua aspek serta hal dalam hidupnya.

Sementara itu, OCD adalah kekacauan mental yang menyebabkan penderitanya merasakan harus melakukan sesuatu tindakan secara berulang-ulang.

Bagi memberi pencerahan lanjut, SinarPlus mendapatkan Pakar Perunding Perubatan Psikitari, Hospital KPJ Klang, Dr Malini Elangovan.

Ujar Dr Malini, gangguan personaliti merupakan satu kecelaruan psikologi apabila seseorang mempunyai pola pemikiran dan perilaku yang berlainan dan sering menyimpang daripada norma masyarakat.

“Terdapat pelbagai jenis gangguan personaliti dan salah satunya adalah OCPD,“ jelasnya.

Berikut antara ciri-ciri menunjukkan seseorang berkemungkinan ada OCPD:

i) Terlalu mencari kesempurnaan: Individu seperti ini meletakkan satu jangkaan yang sangat tinggi terhadap sesuatu kerja yang dilakukan sehingga ia sering tersasar daripada objektif sebenar. Ia juga akan menyebabkan berlakunya kelewatan dalam melengkapkan tugasan yang diberikan.

ii) Terlalu tegar (rigid) dan tidak fleksibel: Antaranya terlampau berpegang kepada moral dan etika serta patuh kepada peraturan secara ekstrem.

iii) Terlalu fokus terhadap suatu perincian, senarai dan susunan: Adakalanya perilaku itu akan membuatkan mereka gagal mencapai matlamat utama terhadap sesuatu tugas yang dilakukan. Akhirnya, akan memberi impak negatif kepada produktiviti harian.

iv) Tumpuan dan fokus yang berlebihan kepada kerja: Ia turut meliputi aspek kehidupan seperti hubungan dengan kawan-kawan, pasangan atau ahli keluarga terjejas. Mereka dengan OCPD juga selalu tidak terlibat dengan aktiviti sosial kerana terlalu menumpukan perhatian terhadap kerja yang diberikan.

v) Hoarding: Kesukaran untuk membuang barangan yang telah rosak walaupun ia tiada nilai emosional.

vi) Sangat sukar membelanjakan wang sama ada untuk diri sendiri atau orang lain: Individu sebegini cenderung untuk berjimat dengan cara yang melampau kerana takutkan sesuatu perkara yang belum tentu berlaku. Misalnya, mereka sentiasa berwaspada dengan malapetaka yang mungkin dihadapi pada masa akan datang kerana berpendapat banyak wang perlu untuk dibelanjakan nanti.

vii) Kesukaran untuk mewakil atau membahagikan tugas dengan orang lain: Ini kerana individu OCPD menganggap mereka mempunyai cara tersendiri yang harus diikuti. Pada pendapat golongan itu juga, orang lain tidak dapat melakukan tugas berkenaan dengan sempurna seperti dirinya sendiri.

viii) Individu OCPD acap kali dilihat sebagai rigid dan keras kepala.

Ujar Dr Malini, senarai yang dikongsi beliau merupakan kriteria yang dapat dilihat dengan mata kasar apabila kita bersama individu yang keberangkalian menghidap gangguan personaliti itu.

“Namun begitu, pengesanan dan diagnosis secara terperinci oleh pakar perubatan atau psikologi harus diperoleh bagi memastikan seseorang itu benar-benar menghidap OCPD,“ ujarnya.

BACA JUGA: Khasiat betik untuk wanita, makan 14 minggu berturut-turut kulit jadi awet muda, daunnya redakan senggugut

BACA JUGA: Mampu gantikan gula putih, ini khasiat hebat gula kelapa wanita wajib tahu

KESAN PENDERAAN

Persoalannya, apa yang menyebabkan individu memiliki OCPD? Jelas Dr Malini, penyebab utamanya masih tidak diketahui sehingga pada saat ini.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa kenyataan dan kajian yang mengatakan keturunan atau genetik menyumbang kepada situasi itu. Pengaruh psikologi dan sosial juga turut memainkan peranan penting dalam masalah ini,“ jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Dr Barbara Van Noppen dari University of Southern California, Amerika Syarikat (AS) menerusi penulisannya bertajuk OCPD, kira-kira satu dalam 100 orang mempunyai OCPD.

Lelaki adalah dua kali lebih ramai berbanding wanita, beritahu beliau.

Journal of Personality AssessmentTrusted Source pula menyatakan, 2 hingga 7 peratus daripada populasi dunia mempunyai gangguan keperibadian. Mereka yang mengalami OCD yang teruk dikatakan lebih berkemungkinan untuk didiagnosis dengan OCPD.

Seperti kata Dr Malini, tiada satu punca khusus yang dikenal pasti mengapa seorang lelaki atau wanita mempunyai krisis kesihatan tersebut.

Bagaimanapun, ujar Dr Barbara, beberapa teori mencadangkan bahawa penghidap OCPD mungkin telah dibesarkan oleh ibu bapa yang terlalu mengawal atau melindungi anak mereka secara keterlaluan.

Dalam satu keadaan, mungkin juga anak-anak telah menerima hukuman berat daripada penjaga mereka.

Ciri-ciri OCPD mungkin telah berkembang dan kemudian telah menjadi ‘mekanisme‘ untuk kanak-kanak tadi untuk mengelak hukuman. Hal tersebut yang menyebabkan golongan itu berusaha untuk menjadi insan yang ‘sempurna‘ dan patuh, terang pakar antarabangsa itu.

Kenyataan Dr Barbara selari dengan fakta yang dikongsi oleh PsychCentral, AS yang menyatakan, selain genetik, individu yang mengalami trauma atau didera pada zaman kanak-kanak juga memberi kesan sehingga mereka membesar menjadi orang dewasa.

“Misalnya, apabila seseorang mengalami penderaan lisan (perbuatan seperti memarahi) daripada ibu atau bapa mereka, ia berpotensi meningkatkan peluang untuk seseorang mengalami gangguan personaliti termasuk OCPD.

“Ringkasnya, OCPD adalah satu keadaan kesihatan mental yang kompleks, mungkin disebabkan oleh campuran kompleks pengaruh persekitaran, gaya hidup dan fisiologi,“ ujar PsychCentral yang banyak menulis tentang kesihatan mental.

RELAKSASI & SOKONGAN 

Merujuk beberapa penulisan yang dihadam oleh SinarPlus, OCPD disimpulkan sebagai sesuatu yang sangat mencabar untuk diatasi.

Walaupun ia agak sulit, untuk mengurus gejala yang sedang ditanggung, seseorang disaran mendapatkan bantuan profesional atau pakar kesihatan mental.

Menurut PsychCentral, secara umum, OCPD boleh dirawat dengan kaedah psikoterapi atau kata mudahnya, terapi bercakap.

“Terapi tingkah laku kognitif (CBT) dan terapi psikodinamik adalah dua jenis psikoterapi yang biasanya disyorkan untuk individu atau kumpulan,“ kata mereka.

Pun begitu, bagi sesetengah kes, ubat-ubatan mungkin diperlukan. Disebabkan setiap orang memiliki sifat yang berbeza antara satu sama lain, maka pandangan daripada pakar untuk merancang bentuk rawatan amat dianjurkan.

Kebiasaannya, ubat dikenali sebagai serotonin re-uptake inhibitor atau selective serotonin reuptake inhibitor akan diberi bagi mengurangkan gejala kecemasan disebabkan perilaku obsesif dan kompulsif.

Mengulas lanjut mengenai CBT, International OCD Foudation berkata, matlamat utamanya adalah untuk membantu individu OCPD mengurangkan masalah kesempurnaan keterlaluan, belajar cara menghargai hubungan rapat, bersifat lebih santai termasuk berasa lebih seronok apabila dapat mengurangkan tekanan kerja dan produktiviti.

Selain itu, mempraktikkan teknik pernafasan dan relaksasi khusus mungkin berguna untuk mengurangkan deria kecemasan dan tekanan yang dialami.

Antara amalan relaksasi yang boleh diimplemenkan adalah seperti yoga, taici dan pilates.

Apa yang anda perlu lakukan jika rakan, pasangan atau orang tersayang merupakan salah seorang penghidap OCPD?

Salah satunya seperti yang disarankan oleh Healthline adalah memberi perhatian kepada obsesi dan tingkah laku kompulsif mereka.

“Bagaimanapun, memang agak sukar untuk mendekati seseorang yang mempunyai OCPD. Apa-apapun sokongan daripada orang sekeliling boleh membantu golongan itu,“ ujar Healthline.

Dorongan dan dukungan itu begitu signifikan kerana jika individu dengan OCPD dibiarkan berterusan berseorangan, golongan tersebut berkemungkinan berdepan dengan pelbagai komplikasi, kata National Library of Medicine, AS.

Antaranya seperti terpaksa mengharungi krisis kebimbangan melampau, kemurungan, kesukaran ketika membuat kerja bersama ahli organisasi termasuk mengalami masalah dalam perhubungan. -MAZLINA ABDUL MAJID dan SITI FARAH ELIANI SOLLEH

#kesresponden

Isteri minta cerai sebab tak tahan suami pentingkan jenama, terlalu pembersih

RAKAN penulis yang mahu dikenali sebagai Rahmad, 41, mengakui mempunyai Obsessive Compulsive Personality Disorder (OCPD). Tanpa perlu didiagnosis, ciri-ciri itu jelas ada pada dirinya.

Mengenali beliau sejak berada di bangku sekolah menengah, lelaki itu sangat mementingkan kesempurnaan.

Rahmad akan memastikan buku di dalam begnya disusun mengikut ketinggian, kesemua pen yang digunakan daripada jenama Faber Castell, meja dan kerusi mesti bebas daripada habuk.

Paling 'ekstrem', lelaki itu tidak akan makan di kantin sekolah kami kerana sering menganggap tahap kebersihan di premis berkenaan tidak mencapai standardnya.

Mengenai kediaman pula, tiada siapa pun yang berani datang bertandang waima untuk mengadakan diskusi secara berkumpulan, lantaran takut tanpa sengaja akan ‘mengotorkan‘ rumah beliau.

Hanya tergelak tatkala penulis mengimbau kenangan lama, Rahmad berkata, sifat itu masih wujud sampai saat ini.

Ya, masih ada. Namun, saya tak kisah dengan apa pun tanggapan orang. Dari segi kerja, saya sudah berjaya mendapat projek besar untuk syarikat. Saya akui, mungkin ada yang tak senang dengan sikap OCPD saya, namun ia telah banyak membuahkan kejayaan dalam kerjaya saya sebagai arkitek,“ katanya bersahaja.

Pun demikian, Rahmad berterus terang, dari segi hubungan, beliau gagal. Lelaki itu sebenarnya baru sahaja bercerai dengan isteri yang dikahwininya setahun lalu.

Alasannya tidak lain tidak bukan kerana obsesinya terhadap kesempurnaan.

“Di dalam mahkamah, isteri secara jelas memberitahu bahawa dia tak tahan dengan saya kerana terlalu pembersih. Antaranya, saya sejenis yang akan memastikan semua baju yang disusun di dalam almari adalah sama warna.

“Di dapur pula, saya mahu sentiasa teratur, saya tak suka sampah dibiarkan lebih dari dua jam dan tak akan makan lauk yang dipanaskan lebih dari sekali. Pisau, minyak wangi dan pinggan mangkuk pula mesti daripada jenama sama. Nampaknya, itu dianggap ‘salah‘ oleh dia. Jadi, tak mengapalah, kami pun tak dikurniakan anak,“ kongsinya.

Ditanya sama ada apa yang dilaluinya membuatkan dirinya tertekan, demikian jawapan Rahmad: “Lebih baik saya lepaskan dia (isteri) kalau itu membahagiakannya. Mula-mula stres juga, tetapi saya rasa dia yang mengalami depresi teruk.

“Kalau di tempat kerja, kesempurnaan itu penting kerana ketika melukis pelan, segalanya perlu teliti dan tak boleh tangkap muat sahaja.“ - MAZLINA ABDUL MAJID

BACA JUGA: Rajin bersenam, minum kopi tanpa gula, rahsia sihat dan awet muda Nadia Annuar

Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca