KETIKA wabak COVID-19 semakin berterusan menghimpit kita, para petugas barisan hadapan nampaknya turut terkesan. Masakan tidak, mereka perlu bekerja keras untuk merawat dan menyelamatkan mangsa.

Petugas barisan hadapan bukan hanya doktor dan jururawat sebenarnya, malah merangkumi pengurus makmal hinggalah kepada tukang kemas.

Jangan sesekali fikir mereka-mereka ini individu yang tidak penting kerana kerjaya mereka lebih terdedah dengan virus.

Justeru, bagi menghargai jasa-jasa mereka, Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) melancarkan kempen A Hundred Unsung Heroes untuk menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas dedikasi dan keazaman mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli berkata, kempen tersebut antara lain mendokumentasikan perjalanan 100 petugas barisan hadapan yang berjiwa kental.

“Ia juga merupakan salah satu inisiatif yang dirangka oleh Malaysia Healthcare untuk mengetengahkan perjuangan Malaysia di persada global dalam usaha untuk menewaskan COVID-19 serta meningkatkan kepercayaan dan keyakinan terhadap infrastruktur kesihatan negara kita.

Mereka telah melangkaui tanggungjawab kerjaya mereka dengan mempamerkan keberanian yang luar biasa. Mereka tidak gentar dan berdedikasi. Kisah mereka harus dikongsikan kepada dunia. Kami berasa teruja untuk memperkenalkan A Hundred Unsung Heroes dan ingin mendengar lebih banyak lagi kisah-kisah keberanian para petugas barisan hadapan kita,” ujar Sherene.

Berikut individu-individu yang diangkat di bawah projek A Hundred Unsung Heroes. Jom baca kisah perjuangan 9 individu. Memang menyentuh perasaan! So inspirational!

Abdul Razak
Pengurus Makmal, Pantai Premier Pathology

Pada hari biasa, makmal molekul kami dapat memproses sebanyak 40-50 sampel pesakit yang diperoleh daripada pelbagai sumber. Bagaimanapun, ketika penularan wabak COVID-19 memuncak, saiz sampel kami telah meningkat daripada 50 sampel sehari kepada 5,000 sampel sehari. Kami terpaksa meningkatkan kapasiti kerja sebanyak seratus kali ganda dalam tempoh sehari.

Cabaran utama yang kami hadapi adalah untuk memastikan operasi terus berjalan dengan lancar sambil memastikan pasukan kerja kami dilindungi daripada virus. Ekoran situasi yang mendesak ini, kami telah meningkatkan kapasiti makmal. Lebih banyak peralatan dan tenaga kerja dibawa masuk hanya dalam tempoh tiga hari.

Bagi saya, memori yang paling bermakna ketika ini ialah semangat berpasukan yang dipamerkan oleh pasukan kerja kami. Jumlah individu yang bertanggungjawab untuk menguruskan operasi makmal telah ditingkatkan daripada lima individu kepada 20 individu yang tidak putus-putus mengerah keringat.

Pembantu makmal, pengurus makmal, hatta pihak pengurusan kanan juga turut turun padang untuk membantu memproses sampel. Melalui kerjasama dan dedikasi untuk berkhidmat demi pesakit dengan sedaya upaya, kami mampu mengeluarkan sebanyak 4,500 hasil ujian dalam tempoh sehari.

Sudah tentu, ramai individu yang mengalami keletihan, namun masih bingkas meneruskan usaha ini. Tanggungjawab yang perlu digalas selama lapan jam tanpa henti sambil menyarungkan PPE pastinya mencabar, selain perlu berhadapan dengan tekanan untuk mengeluarkan hasil ujian dengan segera. Namun, kami tidak berputus asa.

Rajeshri Kannan
Pengajar Klinikal, Pantai Hospital Kuala Lumpur

 

Setiap kali saya pulang ke rumah selepas bekerja, anak saya akan bertanya soalan demi soalan, ‘Ibu, mengapa ibu melakukan kerja ini?’, ‘Mengapa ibu tak boleh tinggal di rumah seperti kami?” Anak saya tidak dapat memahami mengapa ibunya berada di luar dan menggalas tanggungjawab yang sama sekali berbeza daripada tugas biasanya.

Saya bekerja sebagai pengajar klinikal, ditugaskan untuk melatih staf jururawat untuk menguruskan pesakit dan mendidik mereka tentang perkara-perkara asas berkenaan dengan pengurusan hospital.

Namun, setelah wabak COVID-19 mula menular, saya ditugaskan di pusat saringan COVID-19 setiap hari selama lima jam. Pada awalnya, saya berasa gementar kerana kesukaran tugas ini yang membataskan pergerakan serta keperluan memakai PPE. Setelah beberapa hari berlalu, saya dapat menyesuaikan diri dan berkongsi pengalaman yang ditimba kepada jururawat lain.

Akhirnya, saya dapat meyakinkan anak saya dan menjelaskan kepadanya mengapa tugas saya penting. Saya akan pulang ke rumah dan berbual dengannya mengenai pengalaman saya dan menjelaskan tentang SOP yang perlu dipatuhi sehingga anak saya yakin keselamatan saya terpelihara.

Hari ini, saya dapat berkata dengan penuh rasa bangga bahawa saya adalah salah seorang daripada jururawat yang diberi peluang yang hebat untuk berkhidmat demi ibu pertiwi ketika berhadapan dengan krisis. Saya berharap anak saya juga berbangga dengan saya!

 

Nabilal Zakaria
Jururaudiografi Diagnostik, Pantai Hospital Kuala Lumpur

 

Ketika saya sedang bekerja di jabatan radiologi, saya menerima panggilan telefon untuk menjalani ujian saringan COVID-19 dan kuarantin dalam kadar segera. Saya dimaklumkan bahawa rakan sekerja saya mempunyai kontak rapat dengan penghidap COVID-19. Kami telah bertugas bersama semalaman, lantas mendedahkan saya kepada risiko jangkitan. Selepas mengetahui kemungkinan saya dijangkiti virus ini tinggi, saya telah menelefon pengasuh anak saya.

Saya ada anak kecil yang berusia 14 bulan di rumah dan keselamatan anak saya merupakan satu-satunya perkara yang saya khuatiri. Oleh itu, saya telah meminta pengasuh anak saya untuk menjaganya ketika saya dikuarantin. Suami saya juga bertugas di barisan hadapan dan bekerja di jabatan kecemasan, dia terpaksa berada di tempat kerja dan tidak dapat menjaga anak kami sepanjang tempoh saya dikuarantin.

Sebagai petugas barisan hadapan, kami berdua memutuskan untuk tinggal berjauhan sehingga jumlah kes mula menyusut. Dalam sekitar lima bulan, saya dan suami hidup berjauhan demi keselamatan anak dan keluarga kami. Keputusan ini bukan mudah untuk dibuat, namun perlu dilakukan demi kebaikan semua.

Setelah tempoh kuarantin tamat, saya kembali bekerja, dan lebih berhati-hati kali ini. Begitulah kehidupan sebagai seorang kakitangan perkhidmatan kesihatan. Dorongan kami untuk berkhidmat dicetuskan oleh semangat kami untuk membantu insan lain. Dalam kerjaya ini, pesakit ialah keutamaan kami, meskipun kami diduga dengan pelbagai cabaran lain.

 

Dr Nurul Yaqeen
Pakar Perunding Respiratori, Sunway Medical Centre

Sebagai pakar respiratori, saya ditugaskan untuk membuat penilaian terhadap pesakit yang menunjukkan simptom gangguan respiratori seperti batuk kering, sesak nafas dan lain-lain. Sayangnya, simptom yang berkaitan dengan COVID-19 ini juga biasanya dikesan dalam masalah respiratori yang lain. Sebagai petugas khas COVID-19, di samping merangka SOP, komponen tugas saya yang paling kritikal ialah penuntasan diagnosis yang tepat dan spesifikasi rawatan yang betul.

Ia mengingatkan saya semula mengenai sebuah insiden melibatkan seorang pesakit dari Amerika Syarikat yang saya telah periksa. Dia telah mengunjungi banyak negara sebelum tiba di Malaysia. Sehari selepas individu ini tiba di Malaysia, pihak kerajaan telah mewartakan larangan merentas sempadan antarabangsa dan dia tidak dapat keluar dari Malaysia.

Tidak lama kemudian, dia mula mengalami batuk kering dan kesukaran untuk bernafas, lalu dikejarkan untuk menjalani ujian COVID-19. Walaupun dua ujian yang diambil menunjukkan hasil negatif, dia masih mengalami simptom tersebut dan memutuskan untuk membuat pemeriksaan.

Setelah saya memeriksanya, saya mendapati masalah tersebut sebenarnya berpunca daripada reaksi alergi, lalu saya telah menspesifikasikan ubat yang perlu diambil dan seminggu kemudian dia menyatakan kesihatannya bertambah baik. Saya masih ingat dia menyatakan kegembiraannya untuk berada di Malaysia ketika perintah berkurung berkuatkuasa. Dia berasa selamat di sini, walaupun jauh dari kampung halamannya. Dia juga sempat mengakui keenakan nasi goreng kampung yang dinikmatinya!

Sebagai pengamal perubatan, kesejahteraan pesakit adalah keutamaan tertinggi kami yang mengatasi segala perkara lain. Tanggungjawab kami adalah untuk berkhidmat. Jadi, kami hanya perlu menanam firasat ini dalam diri, dan bertugas dengan kepercayaan bahawa semuanya akan berjalan dengan sebaiknya.

 

Ravidas Supramaniam
Pengurus Perkemasan, Sunway Medical Centre

Iklan

Saya telah bekerja dalam industri kesihatan sejak hampir sedekad yang lalu dengan fokus dalam bidang perkemasan (housekeeping). Sebagai pengurus perkemasan, tugas utama saya adalah untuk menyelia seluruh servis perkemasan bagi hospital tersebut.

Setelah kami mendengar tentang penularan wabak COVID-19 buat pertama kali, tanggungjawab untuk memastikan hospital kami bersih dan selamat untuk didiami para pesakit dan pelawat menjadi keutamaan pasukan kerja kami. Sehubungan itu, kami telah membuat beberapa perubahan kepada sistem pembersihan sedia ada untuk mematuhi SOP yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan.

Penularan wabak ini juga menyaksikan seluruh pasukan kerja saya menggandakan usaha dari segi pensanitasian, ini melibatkan permukaan yang kerap disentuh, termasuklah kawasan tumpuan seperti ruang masuk, tempat duduk dan lain-lain.

Kami bekerja tanpa henti dan juga menubuhkan pasukan tindakan segera untuk menjamin keselamatan hospital ini. Kami juga telah memastikan pakaian seragam kami ditukar dua kali sehari dan setiap kakitangan dilengkapi dengan PPE yang betul.

Detik yang diharungi amat sukar, namun saya bersyukur kerana dibelakangi oleh keluarga yang memahami. Walaupun mereka bimbang tentang keselamatan saya, mereka masih memberi sokongan dan menghargai peranan saya sebagai petugas barisan hadapan. Isteri dan anak-anak saya tidak lekang memberi galakan kepada saya untuk menggalas tugas dengan sebaiknya demi negara.

Sister Tan Sock Ling
Pengurus Jururawat, Sunway Medical Centre

 

Wabak COVID-19 telah menjadi cabaran yang besar bagi kami. Situasi yang terbentang di hadapan kami masih bukan mudah untuk ditempuhi di hospital ini, namun kami sentiasa memberi penekanan untuk meyakinkan para pesakit bahawa mereka akan dijaga dan dilindungi.

Dari segi kerja, tentunya ia lebih berbeza sekarang berbanding sebelum kewujudan wabak ini. Memandangkan kini tumpuan lebih diberikan ke atas kawalan jangkitan, maka aspek kebersihan menjadi keutamaan tertinggi pada waktu ini.

Saya pernah menemui beberapa pesakit yang teragak-agak untuk mengambil ujian saringan kerana mereka kurang termaklum mengenai proses tersebut. Dalam situasi seperti ini, kami perlu berkomunikasi bahawa kesihatan mereka ialah keutamaan kami agar mereka boleh berlapang dada.

Menyentuh tentang kesihatan, keluarga saya selalu risau mengenai risiko yang saya hadapi untuk dijangkiti oleh virus ini. Saya berkomunikasi dengan mereka seperti seorang jururawat dan meyakinkan mereka bahawa saya sentiasa mematuhi SOP untuk memastikan diri saya dilindungi.

Lim Shih Chang
Pengurus Makmal, Pantai Premier Pathology, Cawangan Gleneagles Kuala Lumpur

Tugas saya ketika pandemik ini sebagai pengurus makmal adalah untuk menyelia ujian COVID-19. Saya perlu menyelaras dan memastikan para doktor dan jururawat mengambil sampel yang tepat sebelum kami boleh menjalankan ujian di makmal kami.

Kaedah triple packing amat penting bagi sampel COVID-19 yang diambil untuk tujuan keselamatan. Ketika wabak COVID-19 mula menular, perubahan yang paling ketara disaksikan ialah sampel normal kami seperti saringan am telah berkurangan, manakala jumlah ujian COVID-19 kami telah meningkat.

Disebabkan kenaikan jumlah ujian, kami terpaksa mendapatkan bantuan daripada semua cawangan kami di Lembah Klang yang turut melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif, para saintis dan ramai lagi. Kami bekerja secara bergilir-gilir selama 24 jam sehari.

Saya tidak banyak berkongsi berkenaan kerja kepada keluarga saya pada ketika ini. Kerja yang berlarutan sehingga lewat malam merupakan perkara biasa bagi para saintis.

Kami bekerja di luar waktu kelaziman dan kami juga perlu bertugas pada waktu malam. Keluarga saya sudah maklum dan sangat memahami situasi ini. Namun, setiap kali saya pulang ke rumah, saya akan segera mandi demi menjaga kebersihan serta keselamatan keluarga saya.

 

Noor Azreen
Jururawat Kawalan Jangkitan, Gleneagles Kuala Lumpur

Iklan

Sebagai ibu bapa, adalah sukar untuk hidup berjauhan dengan anak-anak, namun kami sedar bahawa kami diperlukan untuk memenangi perjuangan ini.”

Saya memulakan kerjaya sebagai jururawat staf, kemudian saya telah menyambung pengajian dan mendapatkan post-basic dalam kawalan jangkitan. Sebelum COVID-19, tugas saya adalah untuk membantu mengurangkan jangkitan di hospital. Namun setelah wabak ini melanda, semuanya telah berubah. Kami berhadapan dengan situasi baharu dan terpaksa menyesuaikan diri dengan cepat.

Saya dan pasukan kerja sentiasa melakukan yang terbaik buat pihak hospital dan memastikan semua individu selamat termasuk para pesakit dan rakan sekerja. Kami bertanggungjawab untuk memastikan setiap individu mematuhi garis panduan dan memakai PPE di dalam premis hospital. Ini merupakan waktu yang getir bagi kami semua, jadi kami perlu memberi galakan kepada satu sama lain untuk menjaga diri masing-masing.

Ketika wabak COVID-19 mula menular, kedua-dua anak saya masih kecil, bayi saya berusia 4 bulan. Suami saya, berkhidmat sebagai pegawai polis, juga merupakan petugas barisan hadapan dan kami berdua diperlukan di tempat kerja masing-masing.

Bagaimanapun, kami bersyukur kerana mendapat pertolongan daripada ibu saya dan juga pengasuh yang telah menjaga anak-anak kami. Sebagai ibu bapa, adalah sukar untuk hidup berjauhan dengan anak-anak, namun kami sedar bahawa kami diperlukan untuk memenangi perjuangan ini.

 

Puspalladah Suppiah
Pengurus Perkemasan, Gleneagles Kuala Lumpur

Saya berkecimpung dalam industri hospitaliti dan perkemasan sejak 23 tahun yang lalu. Dalam bidang pekerjaan ini, tanggungjawab utama kami adalah untuk memastikan seluruh premis hospital terjaga dan bersih – demi keselamatan dan kesejahteraan para pesakit.

Meskipun rutin sanitasi adalah sebahagian daripada prosedur hospital yang lazim, sewaktu COVID-19, usaha kami harus digandakan.

Kami perlu lakukan (sanitasi) pada permukaan yang sering disentuh seperti pemegang pintu, butang lif, mesin ATM dan banyak lagi setiap dua jam sambil menyarungkan PPE, ia merupakan tanggungjawab yang besar bagi staf yang ditugaskan.

Meskipun tugas saya boleh menjadi agak membebankan, keluarga saya tetap menjadi sumber kekuatan saya. Tidak seperti kerja-kerja lain di luar sana, tugas saya tidak boleh dilakukan menerusi kemudahan dalam talian. Kami perlu berada di sini secara fizikal demi keselamatan para pesakit, rakan sekerja dan individu di hospital ini.

Hari ini, saya berasa bangga kerana berpeluang menyaksikan Malaysia diberi pengiktirafan atas kecemerlangannya dalam menangani COVID-19, dan saya berbesar hati kerana dapat menyumbang sesuatu terhadap pencapaian ini.

SinarPlus ucapkan jutaan terima kasih kepada semua hero-hero di atas. Semoga Tuhan membalas jasa baik kalian. Sebagai menghargai pengorbanan tidak ternilai barisan frontliners, kita semua harus patuh kepada SOP yang sering diuar-uarkan. Kita masih belum menang. #kitajagakita

(Baca juga: Hebat, hospital-hospital di Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa)