Fungsi sistem pencernaan terganggu. Pakar ini kongsi penyakit sering timbul ketika puasa
SETIAP kali tibanya bulan Ramadan, umat Islam yang berpuasa akan mengalami perubahan dalam waktu makan.
Walaupun ibadah itu merupakan amalan rohani yang banyak memberi manfaat kepada kesihatan.
Pun begitu, diet yang tidak baik boleh membawa kepada masalah pencernaan.
Banyak faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut.
Untuk membincangkan topik ini dengan lebih lanjut, SinarPlus telah menemubual Pensyarah Perubatan dan Pakar Perunding Pembedahan Am, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Razrim Rahim.Dr Razrim terlebih dahulu menjelaskan berkenaan fungsi perut dan usus manusia yang sihat.
“Fungsi utama perut dan usus adalah mencerna iaitu menyerap makanan dan minuman sebelum memprosesnya menjadi tenaga dan zat untuk kegunaan tubuh.
“Masalah boleh berlaku apabila fungsi sistem pencernaan terganggu,” katanya.
Beritahu Dr Razrim, gastrik adalah salah satu penyakit yang selalu berlaku semasa berpuasa.
Ia merupakan tanda gejala gastritis (radang perut), gastric ulcer atau batu karang dalam pundi hempedu (gallstones).
“Gejala utama penyakit gastritis adalah kesakitan pada bahagian abdomen.
“Individu yang menghidap gastritis juga akan menunjukkan gejala-gejala seperti loya, muntah, sembelit, perut kembung dan cirit-birit,” jelasnya.
Ia berbeza dengan penyakit refluks gastroesofagus (GERD) yang menyebabkan seseorang berasa sakit, panas atau tidak selesa pada bahagian tengah dada iaitu tempat terletaknya esofagus.
Pesakit GERD juga kadangkala akan rasa suatu cecair payau di dalam mulutnya kesan daripada asid perut yang naik melalui esofagus.
Ketidakhadaman
Sementara itu, Dr Razrim memberitahu, penyakit lain yang sering timbul semasa bulan puasa adalah gastroenteritis atau keracunan makanan.
Ujarnya, seseorang boleh mengalami cirit-birit kerana memakan makanan yang basi atau terdedah kepada kuman.
Semasa bulan puasa, situasi ketidakhadaman mudah menyerang kerana ramai yang membeli makanan daripada gerai-gerai yang mungkin tidak dikendalikan secara bersih.
“Hal ini menyebabkan kuman dalam makanan tersebut menyerang perut dan usus lalu mengakibatkan radang pada organ-organ tersebut.
“Situasi itu akan menyebabkan masalah pencernaan dan mengakibatkan cirit-birit,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kata beliau, perubahan corak pengambilan makanan yang bertukar semasa berpuasa juga berkemungkinan menjadi penyebab kepada permasalahan itu.
Ia diburukkan lagi jika seseorang mengambil jumlah makanan yang banyak apabila berbuka atau semasa bersahur.
Ketika ditanya sama ada ketidakselesaan yang berlaku selepas makan terlalu cepat adalah petanda awal kepada penyakit itu, Dr Razrim berkata, ia tidak semestinya.
“Perut adalah organ yang kenyal dan akan membesar kepada suatu saiz yang tertentu bersesuaian dengan tahap kekenyangan seseorang.
“Apabila seseorang itu makan terlalu banyak melebihi saiz biasa perutnya, mereka lazimnya akan mengalami ketidakselesaan.
“Pun begitu, ia tidak semestinya tanda awal sesuatu penyakit, cuma yang diperlukan adalah pengambilan jumlah makanan yang berpatutan dan sederhana,“ katanya.
Menyambung hujah, Dr Razrim berkata, masalah pencernaan boleh mempengaruhi situasi pesakit diabetis, buah pinggang dan jantung.
“Pencernaan mempengaruhi jumlah gula, garam, lemak dan air dalam tubuh sekali gus boleh memberi kesan kepada penghidapnya.
Baca juga: Hati-hati. Sakit perut, cirit-birit, darah dalam najis antara simptom radang usus
Bagaimana pula dengan tekanan, adakah ia menambah pengeluaran asid dalam perut dan memburukkan kesihatan seseorang? Ini penjelasan Dr Razrim.
“Kajian menunjukkan stres mempunyai kesan yang berlainan terhadap individu.
“Seseorang boleh mengalami pertambahan pengeluaran asid dalam perut dan ada juga yang mengalami sebaliknya.
“Walaupun pengeluaran asid tidak berkadar terus dengan kadar stres, namun gejala sakit perut hasil daripada gastritis atau gastric ulcer lebih kerap dalam kalangan pesakit yang mengalami stres,” tegasnya.
Berkongsi pengalaman merawat pesakit, kata Dr Razrim, kebanyakan pengidap gastritis masih boleh berpuasa.
“Apa yang perlu dilakukan adalah mengubah jadual pemakanan dan memastikan hidangan diambil bukan makanan yang boleh memicu gastritis.
“Sebagai contoh, elakkan makanan pedas atau terlalu berminyak,” katanya.
Dalam pada itu, ujar beliau, terdapat juga ramai pesakit gastritis yang gejala sakit perutnya berkurangan apabila berpuasa.
“Selain itu, ubat-ubatan yang dimakan semasa berbuka dan bersahur berupaya untuk mengurangkan atau menghilangkan kesakitan yang dihadapi.
“Sekiranya individu itu masih menunjukkan tanda bergejala walaupun telah memakan ubat, doktor mungkin akan menasihatkan supaya mereka tidak berpuasa,” katanya sambil menambah, bilangan pesakit sedemikian adalah amat kecil.
Pesakit yang masih berkeras berpuasa walaupun telah dilarang doktor, mereka berisiko mengalami gastric ulcer dan paling teruk kebocoran gastric ulcer.
“Namun, berdasarkan pengalaman saya, situasi itu jarang berlaku. Kebocoran gastric ulcer selalunya disebabkan pengambilan ubat tahan sakit (NSAIDS) yang terlalu banyak atau pengambilan ubat aspirin tanpa mengambil ubat gastritis dalam kalangan pesakit yang telah berusia,” katanya.
Baca juga: Perut kembung jadikan kita tak selesa. Ini kaedah urutan buang angin yang boleh dilakukan di rumah
Dalam pada itu, ujar Dr Razrim, ramai pesakit gastritis boleh sembuh dengan amalan pemakanan yang sihat.
“Bagi yang tetap bergejala, terdapat pelbagai ubat gastritis yang boleh diberikan.
“Gastritis yang disebabkan oleh kuman H. pylori pula boleh diubati dengan antibiotik,” ujarnya.
Berikut beberapa tip yang diberikan pakar itu untuk mereka yang berdepan masalah pencernaan semasa berpuasa. Antaranya:
- Pastikan makanan yang dimakan adalah bersih.
- Elakkan makan dengan jumlah yang banyak sekali gus. Seeloknya, makan kerap tetapi dalam jumlah yang kecil.
- Elakkan makanan yang tidak sihat seperti hidangan terlalu manis atau terlalu berminyak.
Mengulas lanjut, katanya, makanan dan minuman yang mengambil masa lama untuk dihadam serta mengandungi kandungan protein tinggi adalah paling sesuai untuk bersahur.
“Tiada masalah untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil seperti beberapa biji kurma sahaja.
“Apa yang penting adalah jumlah kalori yang cukup dalam masa 24 jam.
“Hidangan berbuka dan moreh yang diambil harus mencukupi untuk kelangsungan aktiviti harian,” katanya.
Probiotik
Antara makanan yang dicadangkan beliau termasuk nasi dan roti mil penuh (wholemeal), buah-buahan (termasuk kurma), telur, daging, ayam, ikan dan minuman yang mempunyai garam sodium di dalamnya.
Kopi juga harus dielakkan semasa sahur kerana minuman itu bersifat diuretik iaitu menggalakkan pembuangan air kecil sekali gus menyebabkan kekurangan air dalam badan.
Dr Razrim juga menyarankan agar setiap individu supaya tidak mengambil jumlah makanan yang terlalu banyak semasa berbuka.
Hal ini bagi mengelakkan perut ‘terkejut’ dan terpaksa membesar melebihi saiz yang biasa berbanding ketika tidak berpuasa.
Berkenaan pengambilan probiotik pula, katanya ia adalah baik untuk sistem pencernaan tidak kira semasa berpuasa atau tidak.
Mikroorganisma hidup itu dapat menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dalam usus.
Ujar beliau, banyak penyakit termasuk masalah pencernaan berpunca akibat daripada pengabaian aspek penting kesihatan tubuh.
“Justeru, amalkan cara hidup sihat secara holistik, makan makanan yang sihat, selalu beriadah dan bersenam.
“Tidak lupa juga kekalkan kesihatan mental dan spiritual masing-masing,” katanya.
#Koresponden
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang