Hajat tunai solat Maghrib tidak kesampaian, lelaki maut dipatuk ular tedung. Mayat ditemui terbujur tepi kereta. 'Arwah memang rajin ke surau...'

NIAT seorang lelaki untuk menunaikan solat Maghrib berakhir dengan tragedi apabila dia dipercayai maut akibat dipatuk ular tedung selar dalam kejadian di Pekan, Pahang.
Arwah yang dikenali sebagai Zainal Azharuddin Zainal Abidin dikatakan dalam perjalanan menuju ke Surau Kampung Tanjung Chempaka, yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari kediamannya, pada Isnin.
Menurut adik mangsa, Zainal Amri, abangnya yang berusia 52 tahun itu keluar sekitar jam 7 petang dengan menaiki kereta, dan itulah kali terakhir ahli keluarga bertemu arwah.
Difahamkan, arwah sempat tiba di perkarangan surau dan turun dari kenderaan sebelum ternampak kelibat ular berbisa itu.
Dia kemudian dipercayai berpatah semula ke dalam kereta untuk mengambil sebatang buluh panjang.
Sebelum sempat menghalau, arwah telah dipatuk pada bahagian betis dan akhirnya rebah ke atas tanah.
“Arwah sempat keluar dari kereta dan dipercayai ternampak seekor ular lalu berpatah balik mengambil sebatang buluh dari dalam kenderaan.
"Namun, ketika berpaling arwah dipatuk pada betis dan rebah tidak jauh dari keretanya,” katanya.
Bisa yang dikatakan mampu membunuh sehingga 30 manusia itu memberikan kesan yang sangat pantas lalu melumpuhkan tubuh mangsa dengan serta-merta.
Lebih meruntun hati, buluh yang dipercayai digunakan untuk menghalau reptilia tersebut masih berada dalam genggaman arwah saat ditemui.
Malah, kaki arwah turut dihurung semut kerana ditemui keesokan harinya oleh ahli keluarga, yang hanya menyedari ketiadaannya ketika mahu mengejutkannya untuk solat Subuh.
Allahyarham yang masih bujang memang dikenali sebagai seorang yang amat rajin ke surau, terutama pada waktu malam.
Lokasi arwah ditemui juga dikatakan terletak di kebun kelapa dan kelapa sawit, yang sememangnya dikenali sebagai habitat bagi pelbagai spesies ular, termasuk ular berbisa yang berbahaya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang