Pendamai dua kuasa besar Asia, Tun Abdullah redakan kemelut China & Jepun hanya dengan sebatang pen!

No Image Caption
A
A
A

HANYA kerana sebatang pen, hubungan tegang antara China dan Jepun menjadi reda. Ini merupakan salah satu momen yang berlaku di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Detik unik dan penuh simbolik itu dikenang sebagai ‘diplomasi pinjam pen’, yang tercetus semasa Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) 2005, ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.

Menurut perkongsian penganalisis politik antarabangsa, Ayman Rashdan Wong di laman Facebook miliknya, ketika itu hubungan antara dua kuasa besar Asia Timur sangat tegang akibat isu sejarah Perang Dunia Kedua.

Jepun dikatakan tidak mengakui jenayah perangnya, yang mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan rakyat China sehingga tercetus demonstrasi besar-besaran. Produk Jepun diboikot dan dibakar di China.

Dalam suasana ‘panas’ itu, dua pemimpin utama, iaitu Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi, dan Perdana Menteri China, Wen Jiabao hadir ke Kuala Lumpur untuk sidang pertama EAS.

Namun, yang mengejutkan ramai adalah insiden kecil namun sangat bermakna, apabila Junichiro Koizumi terpaksa meminjam pen daripada Wen Jiabao kerana alat tulisnya tidak berfungsi ketika hendak menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur yang pertama.

No Image Caption

“Aku tak pasti sama ada ia disengajakan atau memang mengikut protokol, tapi Koizumi dan Wen telah ditempatkan duduk bersebelahan, sedangkan mereka tak mampu ‘see eye to eye’.

“Secara kebetulan (yang ini pun aku tak pasti sengaja atau tak), pen Koizumi yang diletakkan di atas meja tak ada dakwat, pada saat semua pemimpin EAS kena menandatangani dokumen yang dinamakan Deklarasi Kuala Lumpur.

“Maka Koizumi meminjam pen daripada Wen. Wen kelihatan sedikit kekok, nak hulurkan atau tak? Namun Tun Abdullah yang berada di sebelah Wen dikatakan memujuknya untuk meminjamkan pen tersebut kepada Koizumi. Akhirnya, Wen menghulurkan pen itu. Koizumi menerimanya,” tulis Ayman.

Peristiwa bersejarah itu menjadi simbol bagaimana Malaysia, melalui Allahyarham Tun Abdullah atau mesra disapa Pak Lah berjaya memainkan peranan penting sebagai pendamai.

“Itulah seni diplomasi Malaysia. Diplomasi yang halus tapi penuh makna. Tak perlu slogan yang gempak, imej yang ‘grand’, hanya bertindak sebagai ‘honest broker’ yang membina jambatan antara kuasa yang saling bertelagah.

“Dan Tun Abdullah adalah salah seorang tokoh terulung dalam seni itu yang semakin dilupakan hari ini,” tulisnya lagi.

No Image Caption

Terdahulu, Malaysia berduka atas pemergian Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang menghembuskan nafas terakhir pada petang Isnin di Institut Jantung Negara (IJN), pada usia 85 tahun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.30 malam semalam selepas dimasukkan ke IJN sejak awal pagi Ahad lalu.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara bermula jam 8.30 pagi, dengan penghormatan terakhir di Dewan Solat Utama Masjid Negara antara pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari, sebelum disembahyangkan selepas solat Zohor dan dikebumikan di Makam Pahlawan.

Sumber: Ayman Rashdan Wong

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang