SEMPENA HARI AIDS SEDUNIA

MALAYSIA kini telah mencapai banyak kejayaan dalam usaha membendung jangkitan Human Immunodeficiency Virus (HIV) atau Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS) melalui aktiviti pencegahan, rawatan dan kawalan yang berkesan.

Menurut statistik terkini, bilangan kes HIV telah menurun lebih 50 peratus pada tahun 2019 daripada 6,978 kes, manakala kadar jangkitan vertikal HIV daripada ibu ke anak berjaya dikekalkan di bawah 2 peratus.

Peratusan jangkitan HIV baharu melalui suntikan juga telah menurun daripada 74.2 peratus (5,176 kes) pada tahun 2002 kepada 4.6 peratus (164 kes) pada 2019.

Dalam usaha mencapai sasaran Program Bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai HIV/AIDS (UNAIDS) 90-90-90, Malaysia berjaya mempertingkatkan peratusan pemberian ubat antiretroviral (ARV) kepada mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV) daripada 28 peratus pada tahun 2015 kepada 57 peratus (2019).

Rentetan daripada statistik yang semakin menunjukkan graf positif itu, SinarPlus mengajak Pakar Gastroenterologi dan Perubatan, Hospital Pantai Sungai Petani, Dr Azril Hafis Yafee untuk berbincang lanjut.

Ujar Dr Azril, HIV adalah merujuk kepada virus yang menyerang sistem pertahanan tubuh badan dan melemahkan keupayaan seseorang melawan jangkitan secara optimum.

“Virus itu akan kekal sepanjang hayat di dalam tubuh pesakit yang dijangkiti. Namun demikian, pengambilan rawatan antiretroviral secara berterusan dan saringan kesihatan berkala boleh melambatkan komplikasi jangkitan ini memasuki fasa terakhir akibat HIV iaitu AIDS,” maklumnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Berdasarkan rekod, dua pertiga pesakit AIDS di Malaysia, malah seantero dunia adalah dalam kalangan kaum lelaki, kata Dr Azril.

DR Azril.

Masih tiada ubat

Secara umumnya, terdapat tiga cara mudah jangkitan penyakit AIDS di Malaysia iaitu:

  • Pemindahan heteroseksual (51 peratus).
  • Penggunaan dadah suntikan (22 peratus).
  • Pemindahan homoseksual atau biseksual (22 peratus).

Berikut informasi berkenaan penyakit AIDS di Malaysia Kes pertama dikesan pada tahun 1986.Kini, jumlah pesakit AIDS yang mengetahui status mereka adalah seramai 75,000 orang.

  • Kes baharu hingga Disember 2019 adalah seramai 3,200 orang .
  • Kematian akibat penyakit AIDS adalah sebanyak 43,843 kes.
  • Jumlah yang telah mendapat rawatan seramai 41,430 orang.
  • Kadar jangkitan HIV adalah 10 per 100,000 penduduk.

“HIV boleh merebak melalui hubungan seks bebas bersama individu yang telah dijangkiti (termasuk hubungan melalui faraj, dubur atau mulut), penagih berkongsi jarum dan alat suntikan, pemindahan darah dan organ yang tercemar dengan virus HIV dan ibu yang telah dijangkiti boleh merebakkan HIV kepada bayinya ketika dalam rahim, melahirkan atau sewaktu menyusu,” jelas Dr Azril.

Menjawab kepada satu soalan lain, terdapat empat golongan yang berisiko untuk menghidap penyakit tersebut iaitu pekerja seks, transgender, penagih dan hubungan seksual dengan lelaki.

Namun demikian, virus HIV adalah virus yang lemah, tidak bertahan di luar badan manusia.

Oleh itu, tidak seperti Covid-19, HIV tidak boleh dijangkiti melalui sentuhan seperti duduk bersebelahan, berjabat tangan, memeluk atau bekerja dengan pesakit AIDS.

“Selain itu, ia juga tidak akan menjangkiti apabila seseorang berkongsi kemudahan awam seperti telefon awam, kolam renang, tandas dan pengangkutan awam, perkakas atau makanan dengan seorang pesakit AIDS selain bersin, batuk, berpeluh atau kencing,” kata pakar tersebut.

Bagaimanapun, sehingga kini, masih tiada lagi ubat untuk merawati pesakit AIDS meskipun sudah berdekad-dekad penyakit itu ditemui.

Ujar Dr Azril, kebanyakan pesakit tidak memerlukan rawatan di peringkat awal penyakit. Rawatan hanya diberikan kepada pesakit-pesakit yang menunjukkan kriteria seperti berikut:

  • Menunjukkan tanda-tanda AIDS.
  • Bacaan CD4 kurang daripada 200 sel/mililiter.
  • Bacaan virus lebih dari pada 30, 000 copies/mililiter.
  • Pesakit yang mengikuti rawatan sepenuhnya.

“Pada masa ini, jangkitan HIV tidak dapat dibasmi sepenuhnya. Sejak tahun 2006 lagi, rawatan yang boleh diberikan kepada pesakit AIDS adalah rawatan antiretroviral therapy (HAART). Rawatan tersebut terdapat di klinik kesihatan terpilih dan kebanyakan hospital di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia,” terang beliau.

Iklan

Artikel berkaitan: Pesakit AIDS berisiko dilanda kemurungan, kecelaruan dan keresahan

Namun demikian, katanya, hanya 28 peratus sahaja yang mendapat rawatan, selebihnya masih kurang kesedaran mengenai simptom, tanda dan gejala AIDS.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa memberitahu, antara gejala jelas penyakit AIDS adalah batuk berpanjangan dan mempunyai komplikasi paru-paru yang teruk.

DR Nurul Yaqeen.

Menjawab perkaitan antara HIV dan paru-paru, Dr Nurul Yaqeen menjelaskan, paru-paru merupakan organ yang paling ‘gemar’ diserang oleh bakteria dan kuman terutamanya mereka yang mempunyai penyakit AIDS.

“Ia kerana paru-paru merupakan organ yang paling mudah diakses iaitu bermula daripada hidung, seterusnya tekak dan akhirnya sampai ke paru-paru.

“Ada yang tidak sedar bahawa simptom itu merupakan gejala kepada jangkitan virus HIV kerana mereka tidak mempunyai sebarang penyakit kronik dan hanya mempunyai masalah batuk berpanjangan dan sukar untuk bernafas sahaja,” katanya.

Iklan

Ujar Dr Nurul Yaqeen, jika doktor sudah mendapati terdapatnya simptom yang mencurigakan, ujian pengesanan HIV akan segera dilakukan.

“Mereka yang mempunyai simptom-simptom berkenaan biasanya dalam kalangan pesakit muda iaitu berumur 20 tahun. Lebih menyedihkan, kebanyakan pesakit AIDS meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru mereka,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan, berikut saranan yang diberikan oleh Dr Nurul Yaqeen:

  • Jauhi diri daripada mengadakan hubungan seks bebas.
  • Setia kepada pasangan.
  • Amalkan hubungan seks selamat seperti menggunakan kondom.
  • Jangkitan melalui ibu kepada anak dapat dikurangkan dengan mengambil antivirus sewaktu mengandung dan bersalin, elakkan pembedahan dan penyusuan.
  • Anggota dan pegawai kesihatan hendaklah sentiasa mematuhi peraturan supaya dapat mengelakkan kecederaan disebabkan jarum dan alatan tajam.
  • Individu berisiko tinggi hendaklah menjalankan ujian HIV.
  • Sentiasa mengamalkan cara hidup sihat berlandaskan agama dan nilai-nilai murni.

ANEKDOT

JIKA seseorang dikhabarkan menghidap AIDS, pasti emosi seperti tidak percaya, marah, terkejut dan sedih akan menyelubungi minda. Berikut tip yang disarankan oleh Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kulim, Kedah, Dr Nurul Nadia Ismail untuk mengawal perasaan bercampur-baur itu:

  • Bercakap atau mendapatkan nasihat dan penerangan lanjut terutama dari segi pelan rawatan atau perubatan bagi mengelakkan sebarang salah faham yang mungkin akan menimbulkan ketakutan, kegelisahan dan kesedihan yang berpanjangan.
  • Menerima rawatan awal kerana pendekatan itu boleh meningkatkan kualiti kehidupan dan mencegah kemerosotan kesihatan secara mendadak. Cara itu juga boleh menyuntik keyakinan untuk terus menjalani kehidupan sebaik yang mungkin.
  • Menyertai pertubuhan bukan kerajaan atau persatuan-persatuan AIDS di Malaysia agar boleh berkongsi cerita, perasaan dan pengalaman selain menimba ilmu yang pastinya mengurangkan risiko kepada keresahan dan kemurungan.
  • Menerima sokongan sosial yang berterusan daripada ahli keluarga juga faktor utama untuk hidup dengan lebih yakin.
  • Mengamalkan gaya hidup sihat yang berterusan seperti bersukan, menikmati makanan yang seimbang dan mempunyai hobi juga dapat memberikan kekuatan mental untuk terus menghadapi cabaran kehidupan.
  • Segera dapatkan khidmat nasihat yang awal daripada doktor atau pusat kesihatan mental masyarakat yang berdekatan (MENTARI) apabila sudah mula mempunyai simptom-simptom kesihatan mental seperti kesedihan yang berpanjangan, kerisauan atau mengalami gangguan tidur.