‘Hati saya betul-betul tersentuh’ – Hanya minta diapers & susu, Abang Grab viral buat Anzalna sebak

No Image Caption
A
A
A

KISAH yang mengundang pelbagai reaksi itu rupa-rupanya hanyalah secebis daripada realiti kehidupan yang dilalui oleh seorang lelaki dikenali sebagai abang Grab.

Minggu lalu, pelakon dan usahawan jelita, Anzalna Nasir berkesempatan menziarahi seorang penghantar makanan yang tular di media sosial gara-gara insiden menukar lampin bayinya di atas motosikal.

Berkongsi di media sosial, pemilik nama sebenar, Nur Anzalna Md Nasir menerusi hantaran tersebut memberitahu, lawatan itu membuka matanya tentang betapa besarnya erti kesabaran dan pengorbanan seorang suami serta bapa.

No Image Caption

“Bila tanya apa keperluan mereka buat masa sekarang, abang tu cuma minta diapers jenama Drypers dan susu Dutch Lady untuk anak-anak.

"Itu sahaja. Hati saya betul-betul tersentuh,” luahnya.

Menurut Anzalna, abang Grab berkenaan tinggal bersama isteri dan anak-anak yang masih kecil, termasuk bayi berusia dua bulan.

Lebih meruntun jiwa, isterinya merupakan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan penjagaan rapi.

“Dia dan isteri sangat peramah. Mereka malu nak ajak saya masuk ke dalam rumah sebab katanya keadaan rumah tak begitu terurus.

"Tapi sejujurnya, saya langsung tak kisah. Bila tengok keadaan mereka, siapa kita nak menilai, kan?” kata Anzalna lagi.

MERINGANKAN BEBAN

Sejak kisahnya tular, tidak banyak bantuan yang diterima keluarga ini.

Justeru, finalis Dewi Remaja 2009/2010 itu berharap perkongsiannya dapat membuka hati lebih ramai pihak untuk tampil menghulurkan bantuan.

No Image Caption

“Mereka betul-betul perlukan sokongan kita. Bantuan sekecil mana pun, jika diberi dengan ikhlas, mampu meringankan beban mereka,

“Kepada sesiapa yang ingin membantu keluarga Abang Grab, bantuan anda amatlah dihargai.

"Terima kasih kepada semua yang sudi membantu. Hanya Allah SWT yang dapat membalas segala jasa baik anda,” titip isteri kesayangan Hanif Zaki itu sebelum menutup perkongsiannya.

No Image Caption

Kisah ini menjadi peringatan bahawa di sebalik senyuman dan usaha mencari rezeki, ramai yang bergelut dengan ujian hidup yang kita sendiri tidak dapat bayangkan.

Semoga lebih ramai tangan-tangan prihatin sudi menyambung usaha murni ini demi meringankan beban keluarga tersebut.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang