PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan, 1 bilion orang di seluruh dunia mendapat jangkitan selesema atau influenza pada setiap tahun.

Dalam tempoh masa sama, kira-kira 290,000 hingga 650,000 orang dilaporkan meninggal dunia.

Berbeza dengan Covid-19 yang berpunca daripada virus SARS-CoV-2, selesema adalah disebabkan influenza yang terdiri daripada influenza A dan B.

Di Malaysia, gelombang Influenza-Like-Ilness (ILI) sedang membadai dengan majoriti kes dikesan dalam kalangan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah.

Komplikasi akibat penyakit itu bukan sembarangan. Selain boleh menyebabkan kegagalan pelbagai organ, ia boleh mencetuskan keradangan jantung, otak atau otot.

Dalam kebanyakan kes, influenza boleh dicegah dengan suntikan vaksin.

Menurut Pengerusi, Malaysian Influenza Working Group, Prof Dr Zamberi Sekawi (gambar) pandemik telah mengajar kita bahawa vaksinasi boleh memberi banyak faedah.

“Walaupun SOP (prosedur operasi standard) Covid-19 perlu dikekalkan untuk mencegah flu, WHO masih menggalakkan vaksinasi flu tahunan,” katanya.

Berikut tujuh sebab mengapa seseorang digalakkan mendapatkan suntikan flu seperti yang dinyatakan oleh Dr Zamberi:

1. Mudah berjangkit
-Tidak seperti negara bermusim sederhana, influenza berlaku sepanjang tahun di Malaysia. Ini bermakna kita boleh dijangkiti flu pada bila-bila masa.
Influenza merebak daripada seorang kepada orang lain melalui titisan cecair dengan jarak kira-kira 1.8 meter. Penularan juga pantas berlaku di kawasan sesak seperti sekolah dan rumah jagaan.

2. Ujian flu tidak kerap dilakukan
-Gejala flu serupa dengan Covid-19, tetapi ia selalu dipandang ringan.
Jika seseorang memiliki faktor komorbid (penyakit penyerta) dan mengabaikan gejala, ia boleh memburukkan jangkitan flu dan penyakit sedia ada.

BACA JUGA: Demam panas tiba-tiba, simptom influenza, ini tindakan pantas perlu ibu ayah buat

BACA JUGA: Radang otak, keguguran, bahayanya influenza kepada ibu hamil

3. Kondisi parah sehingga membawa kepada kematian
-Walaupun kebanyakan orang yang mendapat flu pulih dalam beberapa hari hingga kurang dari dua minggu, beberapa kelompok individu berisiko tinggi dan mungkin mengalami komplikasi yang boleh mengancam nyawa.
-Mereka terdiri daripada kanak-kanak, wanita hamil dan dua minggu selepas bersalin, warga emas, seseorang yang mempunyai penyakit perubatan kronik seperti diabetes, penyakit jantung, strok, buah pinggang kronik, pernafasan kronik dan penyakit pulmonari obstruktif kronik.
-Selain itu, golongan yang mempunyai sistem imun yang lemah akibat penyakit atau rawatan seperti penghidap HIV atau kanser.
-Salah satu komplikasi serius flu ialah radang paru-paru.
Selesema juga boleh membawa kepada sepsis (peradangan ekstrem akibat infeksi).
-Kerosakan pada sel-sel dalam paru-paru juga boleh tercetus, di samping kekurangan pernafasan yang mengakibatkan sindrom gangguan pernafasan akut (ARDS).
-ARDS memerlukan pengudaraan invasif (sokongan pernafasan) yang dengan sendirinya membawa risiko kepada peningkatan kematian.

4. Lebih berisiko mengancam warga emas
-Perubahan dalam pertahanan imun dengan peningkatan usia menjadikan golongan tua lebih mudah terdedah kepada jangkitan.
-Berdasarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, Amerika Syarikat, 85 peratus kematian akibat flu berlaku kepada mereka yang berusia 65 tahun ke atas.
-Berdasarkan WHO, vaksinasi flu dan vaksinasi Covid-19 boleh diberikan pada masa yang sama.

Iklan

5. Flu boleh menyebabkan serangan jantung
-Kajian pada tahun 2018 mendapati, risiko serangan jantung adalah enam kali lebih tinggi dalam masa seminggu selepas disahkan mendapat jangkitan flu.
-Penemuan ini paling ketara bagi golongan dewasa yang lebih tua dan mereka yang mengalami serangan jantung buat kali pertama.
-Suntikan flu melindungi jantung dan mengurangkan risiko kardiovaskular (kelas penyakit yang melibatkan jantung atau saluran darah) sebanyak 36 peratus.
-Selain itu, terdapat pengurangan sebanyak 45 peratus risiko kardiovaskular pada pesakit yang mempunyai sejarah sindrom koronari akut.

6. Berbahaya kepada penghidap diabetes
-Mereka yang menghidap diabetes jenis 1 dan 2 serta hamil, flu boleh menjadi lebih daripada sekadar demam dan gejala pernafasan.
-Selesema boleh menyukarkan pesakit untuk mengawal paras gula dalam darah dan berdepan dengan komplikasi yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit berpanjangan, dimasukkan ke hospital termasuk nyawa boleh terancam, walaupun diabetes dikawal dengan baik.
-Suntikan flu tahunan mengurangkan risiko kegagalan jantung sebanyak 22 peratus, strok (30 peratus), serangan jantung (19 peratus) dan radang paru-paru (15 peratus) pada pesakit kencing manis.

7. Kehamilan dan anak dalam kandungan
-Semasa hamil, badan seseorang akan mengalami perubahan pada sistem imun, jantung dan paru-paru menjadikan mereka lebih terdedah kepada influenza yang lebih teruk.
-Anak dalam kandungan juga berisiko mendapat komplikasi. Antaranya seperti kecacatan tiub saraf, kelahiran pramatang dan juga kematian.
-Vaksinasi flu bukan sahaja melindungi ibu mengandung, tetapi juga anak dalam kandungan.
-Antibodi yang dihantar daripada ibu kepada bayi dalam kandungan akan berfungsi sebagai perlindungan untuk enam bulan pertama selepas kelahiran hingga bayi cukup umur untuk suntikan flu pertama untuk enam bulan dan seterusnya.

Iklan

Seperti kata Dr Zamberi, tiada sebab untuk panik, namun pihaknya menggesa rakyat Malaysia terutamanya golongan berisiko tinggi untuk mengutamakan pencegahan flu melalui vaksinasi dan mematuhi SOP Covid-19.

BACA JUGA: Selain Covid-19, kini penyakit influenza boleh ancam nyawa

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.