Anak bawa rezeki! Nur Izzuddin rangkul juara Terbuka China 2024 bersama Goh Sze Fei, bawa pulang lebih RM600,000
GANDINGAN Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melakar sejarah dalam karier mereka selepas berjaya mengungguli Kejohanan Badminton Terbuka China 2024.
Lebih manis lagi kejayaan hebat itu diraih selepas menundukkan pasangan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada aksi yang berlangsung di Changzhou Olympic Sport Centre.
Ia merupakan kejuaraan sulung buat Sze Fei dan Nur Izzuddin dalam kejohanan berstatus Super 1000 dianjurkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF).
Dengan kemenangan tersebut, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin membawa pulang wang tunai bernilai AS$148,000 (RM622,361.68).
Kejayaan Izzuddin turut diraikan isteri, Mawar Mutiara Abdul Razak bersama si kecil yang juga anak sulung pasangan berkenaan. Lebih manis lagi, momen tersebut disambut pada hari ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama.
"Satu tahun terjalin dalam pelukan cinta, kini dikurniakan dengan rahmat kehidupan baru.
"Selamat ulang tahun pertama, sayangku," kongsi Mawar di Instagram.
Hantaran berkenaan telah dikongsikan Izzuddin pada Insta Story dengan coretan, 'Membawa rezeki.'
Perkongsian berkenaan menerima pelbagai reaksi warga maya yang rata-rata terkejut dengan perkongsian cahaya mata. Ujar mereka:
"Masya-ALLAH. Congrats Mawar and Izzuddin."
"Diam-diam membina keluarga. Rezeki anak ini Izzuddin dapat title S1000. Tahniah Din dan Mawar."
"S1000 title. Rezeki anak rupanya. Congratulations both of you!"
"Wahh congrats! Baby S1000."
Imbas kembali, pertarungan pasangan beregu negara itu menghadapi cabaran lawan yang mendapat sorakan padu penyokong tuan rumah.
Sze Fei-Nur Izzuddin pada peringkat awal berhadapan masalah yang menyaksikan mereka tunduk 13-21 pada set pertama.
Kekalahan itu jelas tidak merentap semangat mereka untuk tampil lebih meyakinkan pada set kedua berbekalkan serangan padu dan pertahanan mantap bagi memenangi set kedua dengan mata 21-12 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.
Momentum positif itu diteruskan gandingan ranking ke-12 dunia tersebut untuk memastikan gelaran Super 1000 sulung menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-17.
Pada 25 Ogos lalu, pasangan negara itu menjuarai saingan Super 750 selepas menjuarai Terbuka Jepun hasil kemenangan ke atas juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.
Kali terakhir Malaysia muncul juara dalam acara beregu lelaki Terbuka China ialah pada tahun 1989 dimana kejuaraan pada ketika menjadi milik gandingan adik beradik, Jalani dan Razif Sidek.
Terdahulu, Izzuddin dan Mawar berkahwin ketika karier lelaki itu berada di puncak dan berusia 25 tahun.
Pernah tular susulan berwajah tampan, Izzudin menjadi bualan ramai apabila hidungnya berdarah disebabkan terlalu gemuruh semasa majlis akad nikahnya pada 23 September 2023.
Sumber: Instagram
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang