Berjuang lawan kanser & jaga ibu, Dr Khairul Faidzi berjaya genggam PhD- 'Tulis tesis satu muka surat, walau sakit'

No Image Caption
A
A
A

BUKAN semua wira memakai jubah atau memegang pedang. Ada wira yang melangkah dengan tubuh longlai, tetapi hatinya teguh bagai besi. 

Begitulah perjalanan Dr Mohd Khairul Faidzi, yang menyelesaikan pengajian PhD ketika hidupnya berperang dengan kanser. 

Kisahnya bukan sekadar tentang akademik, tetapi tentang bagaimana manusia boleh bangkit semula walaupun diuji pada titik paling rapuh.

Ketika rakan lain sibuk menyiapkan tesis dalam keadaan sihat, beliau pula berulang-alik ke hospital sebagai pesakit kanser. 

Namun, langkahnya tidak pernah terhenti. Hari demi hari, beliau terus menulis, walau sekadar beberapa perenggan, demi memastikan impian tidak terpadam oleh kesakitan.

Ketabahan luar biasa itu menjadikan kisahnya bukan sekadar tentang segulung ijazah, tetapi tentang sebuah perjalanan penuh kekuatan. Graduan Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini menamatkan pengajian Doktor Falsafahnya sambil bertarung dengan kanser lymphoma tahap 2B. 

Perjuangannya membuktikan bahawa harapan sentiasa ada walaupun hidup diuji pada saat yang paling tidak dijangka.

Beliau disahkan menghidap kanser pada September 2023, ketika berada di fasa akhir penulisan tesis. Pada masa itu, dua anak perempuannya masih kecil dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga cukup besar untuk dipikul. 

Tatkala mengimbas kembali detik tersebut, tuan punya badan mengakui, semangatnya gugur seketika. Bukan itu sahaja, air matanya menitis laju di dalam kereta sebelum mengumpulkan kekuatan untuk berkongsi berita tersebut dengan isterinya.

Selepas diagnosis, rawatan bermula segera. Dr Mohd Khairul menjalani 12 kali kemoterapi di Hospital Ampang diikuti 20 sesi radioterapi di Hospital Kuala Lumpur. 

Ujarnya, kesakitan yang dialami bukan sedikit, hilang selera makan, muntah, rambut gugur, pening, cirit-birit dan tubuh menggigil antara kesan yang terpaksa ditanggung saban hari.

No Image Caption

Tulis tesis satu muka surat, walau sakit

Namun, dalam keadaan tubuh yang lemah, dirinya tetap berpegang pada disiplin peribadi. 

“Walaupun sakit, setiap hari mesti menulis sekurang-kurangnya satu muka surat.  Ada hari saya hanya mampu menyiapkan beberapa perenggan selepas kesakitan mereda.

"Alhamdulilah, langkah kecil itulah yang akhirnya membina 298 halaman tesis dan berjaya dihantar sepenuhnya pada Oktober 2024.

Di sebalik kesibukan rawatan dan penulisan, beliau tetap memikul tanggungjawab sebagai anak. 

Ada waktu tertentu, beliau perlu pulang ke kampung untuk menguruskan ibunya, Siti Meriam Akhsan, yang tidak mampu berjalan.

“Saya memandikan, menjaga dan memastikan ibu selesa dan satu lagi amanah yang dipikul dengan penuh reda,” katanya memandangkan ibunya tidak mampu berjalan. 

Biarpun seribu kepayahan terpaksa dilalui, namun lelaki berkenaan melahirkan rasa syukur kerana isteri tersayang menjadi tunjang kekuatan yang menguruskan rumah tangga dan anak-anak sepenuhnya. 

“Panel penyelia pula memberi ruang untuk saya pulih, manakala majikan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memudahkan urusan akademik sepanjang tempoh rawatan.

"Walaupun layak mengambil cuti sakit barah, saya memilih untuk kembali bertugas selepas setahun 10 bulan, sebaik kesihatan stabil," ungkapnya lagi

Dengan tubuh yang masih dalam fasa pemulihan, beliau tetap meneruskan tesis bertajuk Rintangan pelekangan panel apit berasaskan reka bentuk teras yang bersesuaian sehingga berjaya disiapkan sepenuhnya.

Kegigihannya akhirnya membawa beliau ke pentas konvokesyen UKM baru-baru ini. Saat menggenggam segulung ijazah, beliau tidak mampu menahan emosi. 

No Image Caption

Segulung ijazah

“Perjalanan ini pahit, tetapi akhirnya saya berdiri di sini dengan segulung ijazah. Saya sendiri tak sangka saya mampu habiskan tesis selepas semua rawatan itu.

"Buat para mahasiswa yang sedang bergelut dengan cabaran akademik mahupun tekanan hidup, pesan saya jangan mudah putus asa. 

“Hargailah insan di sekeliling, rujuklah kepada Maha Pencipta. Beribadatlah dan bekerja seumpama esok adalah hari terakhir kita. 

"Betulkan niat, pasangkan tekad, insya-Allah dunia akan mengejar kamu semula,” kongsinya lagi.

Kepada pesakit kanser pula, beliau menegaskan bahawa perjuangan tidak boleh berhenti. Banyak kumpulan sokongan tersedia bagi mereka yang memerlukan. 

“Berusahalah sehabis baik melawan penyakit, insya-ALLAH hasilnya akan tiba,” katanya penuh inspirasi.

Dalam pada itu, Dr Mohd Khairul menzahirkan penghargaan buat keluarga, penyelia serta semua yang menjadi tiang kekuatannya sepanjang perjalanan penuh ujian ini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang