‘Bila tiada kerja, ALLAH menjaga saya’: Faye Kusairi kongsi tamat pengajian, dedah realiti hidup selebriti dan fokus berniaga serta keluarga
DIAM-diam, rupa-rupanya pelakon Faye Kusairi, sedang membawa satu lagi misi besar yang tidak ramai sedari.
Di sebalik kesibukannya sebagai pelakon, peniaga nasi ayam, isteri kepada pengarah Azmi Hatta dan ibu kepada tiga cahaya mata, Faye sebenarnya kembali bergelar pelajar.
Langkah yang tidak dihebahkan secara meluas itu kini membuahkan hasil apabila pemilik nama sebenar, Dayangku Faratiwan Adnil Awg Kusairi, baharu sahaja menamatkan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dalam bidang Seni Lakon Teater serta Diploma Kemahiran Malaysia untuk bidang Kejurulatihan Lakon.
Menurut Faye, dia bukannya belajar secara senyap-senyap seperti yang disangka. Hanya masa yang terhad menyebabkan dia kurang berkongsi dalam media sosial.
“Bukan saya belajar senyap-senyap. Saya ada berkongsi, cumanya memang kurang masa untuk media sosial.
"Dengan kerja berlakon, perniagaan nasi ayam, anak-anak, suami dan keluarga, saya sedang menggalas banyak perkara.
"Jadi, saya utamakan apa yang lebih kritikal supaya saya dapat kekal fokus dan terus berusaha.” Katanya.

Kongsinya lagi, pengajian tersebut diambil kerana peluang yang disediakan FINAS untuk anak seni bagi meningkatkan kerjaya dan membuka laluan ke bidang kejurulatihan lakonan serta menjadi penilai luar industri.
Ditanya sama ada keputusan kembali belajar lahir daripada rasa tidak dihargai dalam bidang seni, Faye menolak andaian tersebut. Baginya, keinginan menuntut ilmu tidak mengenal usia.
“Saya percaya belajar ini bukan pada usia, tetapi pada kemahuan dan kemampuan individu.
"Pengiktirafan ini diberi untuk mengesahkan kita kompeten dalam bidang kita dan diiktiraf dengan pengalaman kita," ujarnya.
Penghargaan peribadi
Tambah wanita itu lagi, usaha itu bukan tentang ego atau penghargaan peribadi.
“Ini jauh lebih besar daripada mahu diri dihargai atau tidak. Ini tentang cinta kita kepada industri, tentang apa yang boleh kita sumbangkan kepada generasi baharu," ungkapnya.
Walaupun begitu, tempoh Faye jarang muncul di kaca TV tetap mengundang spekulasi.
Secara jujur, dia mengakui ada ketikanya timbul rasa terpinggir. “Ya, kadang-kadang ada. Tetapi saya rasa itu normal. Setiap orang ada tempoh kegemilangan masing-masing.
"Lagipun saya percaya rezeki ALLAH ada di mana-mana dan bila-bila masa sahaja," ungkap Faye penuh makna.
Sementelah katanya, industri kreatif luas dan setiap fasa ada ruang untuk memberi nilai.
Dalam masa sama, perniagaan nasi ayam yang dijalankan di tepi jalan turut menarik perhatian. Ada yang memuji, ada yang mempersoal.
Pun demikian, tuan punya badan memilih untuk fokus pada perkara yang membawa kebaikan.
“Sejujurnya, saya lebih fokus kepada mereka yang mendoakan kejayaan, perniagaan dan kebaikan untuk diri saya.
"Tidak ada apa yang memalukan kalau saya sebagai pelakon tiada kerja. Perancangan ALLAH jauh lebih hebat.
"Setiap kali saya tiada kerja, itu bermaksud ALLAH sedang melindungi saya atau ada hikmah lebih besar yang mahu diberikan,"jelasnya lagi.
Berbicara tentang keadilan peluang dalam industri seni, Faye mengakui realiti bahawa pengaruh media sosial kini memainkan peranan besar.
Namun, bakat tetap menjadi batu asas paling penting.
“Saya faham, itu sebahagian daripada strategi pemasaran. Tetapi saya percaya peluang yang benar-benar berkualiti masih diberikan kepada pelakon yang berkemampuan, berdisiplin dan konsisten.
"Populariti boleh membuka pintu, tetapi tidak boleh menggantikan bakat dan kualiti kerja.
“Adil untuk yang bekerja keras dan ada bakat. Kurang adil kalau orang hanya dilihat dari ‘likes’ dan ‘views’. Sebab kualiti tak boleh dibeli dan tak boleh disorok," tegas wanita itu lagi.

Dengan semakin ramai selebriti memilih untuk berniaga demi kelangsungan hidup, Faye menjelaskan realitinya.
“Hidup sebagai selebriti sebenarnya lebih sukar daripada apa yang ramai bayangkan. Orang nampak glamor, tapi jarang nampak harga yang perlu dibayar.
"Pendapatan pelakon tidak datang setiap bulan… sebab itu ramai artis mula berniaga bukan sebab ikut trend, tetapi sebab mahu hidup stabil," dedah pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu lagi.
Bahkan, anak kelahiran Miri, Sarawak itu, menegaskan glamor hanyalah sementara.
“Glamor boleh makan tuan kalau kita tidak buat sesuatu untuk diri sendiri seperti berniaga, berkarya atau membina cabang lain. Populariti naik sekejap, tetapi bil datang setiap bulan," ujarnya.
Dalam pada itu, wanita berusia 38 tahun itu mengakui memilih untuk menyambung pengajian dan aktif dalam perniagaan merupakan langkah persediaan jangka panjang.
“Kos sara hidup semakin tinggi, bil perlu dibayar dan hidup mesti diteruskan. Jadi apabila ada peluang untuk berkembang, kenapa tidak?
"Malah kalau saya bukan dalam bidang seni pun, saya tetap akan ada banyak sumber pendapatan kerana saya suka meneroka dan menikmati pengalaman baharu," kongsinya lagi.
Dalam kesibukan itu, Faye tetap cuba menjaga keseimbangan rumah tangganya bersama Azmi Hatta.
“Sudah tentu ada masa terganggu, tetapi alhamdulillah… suami saya sangat menyokong dan memahami. Kami sentiasa kompromi.
"Saya tetap akan adakan masa untuk diluangkan bersama anak-anak, dan mereka memahami ruang serta masa kerja ibu bapa mereka," jelasnya.
Kekuatan keluarga
Salah satu momen yang membuka mata banyak pihak ialah ketika Azmi Hatta tidak dapat hadir ke konvokesyen Faye kerana terikat dengan produksi.
“Apa yang orang tak nampak adalah proses di sebalik kerja kami, termasuk jadual yang kadang-kadang tak masuk akal. Suami saya terikat dengan komitmen produksi dan itu realiti dunia seni.
"Bila tugas memanggil, kita jarang ada pilihan. Ramai melihat glamor tetapi tidak nampak pengorbanan masa yang berlaku setiap hari.
“Kekuatan keluarga bukan pada berapa banyak acara mereka hadir, tetapi bagaimana mereka tetap menyokong walaupun tidak dapat bersama secara fizikal," tegas Faye lagi.
Kini setelah menempuh pelbagai fasa dan menggenggam dua sijil profesional, Faye melihat dirinya dengan perspektif baharu.
“Sijil itu bukan penamat. Ia seperti cermin yang membuat saya nampak perjalanan saya… fasa naik, fasa jatuh, fasa orang nampak, fasa orang tak peduli," ujarnya.

Ditanya mengenai langkah untuk kembali aktif dalam bidang seni, Faye memilih jalan matang.
“Kalau projeknya ada nilai seni, saya akan kembali lebih agresif. Tetapi ada masa saya terfikir untuk perlahan-lahan berundur bukan kerana saya tidak cinta bidang ini, tetapi kerana cinta itu kadang-kadang tidak dibalas sama rata.”
"Namun saya berlapang dada. Bila tiada kerja, saya percaya ALLAH sedang menjaga saya," ungkapnya penuh makna.
Pada akhirnya, selepas lebih 11 tahun dalam industri, Faye kini bergerak dengan lebih tenang dan berprinsip.
“Saya memilih untuk bergerak dengan lebih matang, lebih menghargai diri sendiri dan lebih selektif.
"Dan siapa tahu, mungkin satu hari nanti saya dapat menabur bakti di negeri saya sendiri," ujar ibu kepada dua cahaya mata itu lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
