Cetus inspirasi anak OKU! Meski tak boleh bertutur dan mendengar, Cef Leen buktikan keupayaan diri
HILANG keupayaan mendengar dan bertutur akibat demam panas semasa usia setahun tidak melemahkan semangat Nor Adzleen Abdul Karim untuk mencipta kejayaan tersendiri dalam dunia pastri serta bakeri.
Malah, Ketua Cef Pastri Restoran Gastrohub yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan itu tidak sedikit pun menjadikan kekurangan diri sebagai batu penghalang untuk mengejar cita-citanya.
Kepada SinarPlus, Nor Adzleen atau mesra disapa Cef Leen berkata, minat yang mendalam dalam bidang masakan seawal usia 11 tahun membuatkan dirinya nekad.
“Saya mula susun satu persatu laluan untuk menjadi seorang cef sejak di bangku sekolah rendah lagi dan selepas tamat belajar, saya memilih melanjutkan pelajaran ke Politeknik Ibrahim Sultan Johor Bahru selama dua tahun.
“Ini kerana pada ketika itu, bidang kulinari ada ditawarkan untuk golongan kurang upaya (OKU) di institusi berkenaan,” beritahunya menerusi aplikasi WhatsApp.
Tatkala ditanya tentang insiden hitam yang mengubah 360 darjah dunianya, cerita Cef Leen, pada awalnya doktor memaklumkan dirinya mungkin hanya boleh berjalan pada umur lapan tahun.
Bagaimanapun, dengan izin ALLAH, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ibrahim Yaacob, Kuala Lumpur itu dapat berjalan selepas usia mencecah dua tahun.
“Doktor pun tak sangka saya boleh berjalan secepat itu walaupun ditahan wad lebih kurang dua minggu disebabkan demam panas, cuma ketika itu doktor kata pendengaran dan percakapan saya tidak terjejas.
“Namun, masa nak masuk tadika, barulah doktor sahkan saya OKU. Alhamdulillah saya tidak sesekali menyalahkan takdir dan kemurungan sebab dikelilingi ahli keluarga yang cukup mengambil berat,” ceritanya.
#inanaim #pengantin #kahwin #sinarplus #lifestylesinarharian
Bahkan, yang membuatkan anak jati Kuala Lumpur itu terus cekal menempuh dugaan berat adalah kerana berkat sokongan tidak berbelah bahagi tiga insan penting yang hadir dalam bahtera hidupnya.
“Pertama, tidak terucap dengan kata-kata iaitu keluarga saya terutama mama dan arwah abah yang mendidik saya menjadi seorang yang bertanggungjawab serta mempunyai prinsip untuk meneruskan perjuangan yang tidak sama seperti anak normal lain.
“Kedua, suami saya yang banyak membantu sebagai tulang belakang untuk terus maju. Akhir sekali, sudah tentu anak-anak kerana mereka menjadi sumber kekuatan untuk saya gigih mencari rezeki,” kata suri hati kepada Mohd Shaiful Nizam Mohd Khamis, 40.
Bekas murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Kampung Baharu Kuala Lumpur itu juga tidak menafikan, dirinya pernah dibuli gara-gara tidak boleh mendengar dan bercakap sejak kecil.
“Malah, ia masih berlarutan sampailah sekarang. Apa yang saya buat? Saya akan buang sifat takut dan beranikan diri untuk mempertahankan diri daripada orang yang cuba mempergunakan saya.
“Bagi saya, mungkin mereka tidak faham situasi saya kerana tidak mendengar dan tidak boleh berkomunikasi dengan elok seperti mereka semua,” tulisnya dengan tegas.
Motivasi diri
Bercerita tentang pencapaian diri yang cukup membanggakan, ibu kepada dua cahaya mata itu sudah menempah nama di restoran ternama sejak empat tahun lalu.
"Masa mula-mula nak cari kerja memang susah. Jadi, lepas tamat pengajian, saya ikut jejak langkah arwah pak cik yang dikenali dengan nama Cef Talib dan bekerja di Hotel The Puteri Pacific Johor Bahru.
“Sebenarnya sukar nak sesuaikan diri masa kerja kerana saya berdepan masalah berkomunikasi dengan orang normal. Namun, alhamdulillah, asbab ilmu yang dipelajari di politeknik membentuk saya menjadi pelajar cemerlang dan cepat tangkap,” tulisnya.
Berbual secara maya nampaknya tidak menghalang kami untuk mengetahui kebolehan Cef Leen yang terkenal dengan signatur menu seperti Istanbul kunafa, Coklat Dubai, San Sebastian Cheesecake, Korean Cheese Bun dan Apple Strudel.
Boleh dikatakan wanita berusia 40 tahun itu menjadi ikon untuk pelajar OKU yang mahu mengikut jejak langkahnya dan berjaya dalam bidang kulinari.
Selain sibuk dengan tugas hakiki, anak kedua daripada empat beradik itu juga rajin berkongsikan video dan penstriman langsung tentang motivasi diri di media sosial serta resipi masakan setiap minggu.
Tidak kedekut berkongsi ilmu dan menitipkan kata-kata semangat, Cef Leen turut menasihatkan golongan senasib jangan sesekali membezakan kehidupan mereka dengan orang lain.
“Percayalah dengan kelebihan yang ada pada diri. Jangan jadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk maju ke hadapan. Bila diberikan kelebihan, kita bantu sesama kita.
“Kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa, berikanlah didikan sempurna dan tunjuk ajar yang cukup supaya mereka dapat berdikari bila dewasa kelak,” nasihatnya.
Sebelum menutup perbualan, wanita cekal itu juga menyimpan harapan besar untuk memiliki kilang pastri dan bakeri dengan jenama sendiri suatu hari nanti.
“Sebelum wabak Covid-19 melanda negara, saya mempunyai jenama dan menu sendiri, namun tidak dapat bertahan sewaktu perintah kawalan diperketatkan.
“Saya terpaksa menutup jualan dan bisnes shoplot sendiri. Insya-ALLAH, jika diizinkan-Nya, saya ingin membina semula perniagaan dan kilang untuk bantu golongan OKU seperti saya,” kongsinya dengan penuh harapan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang