Daripada kursus kahwin ke tajaan perkahwinan, inisiatif Kak Ana cetus inspirasi

SIAPA sangka, daripada kakitangan sebuah bank, Ruhana Mohamed kini menjadi tulang belakang kepada penganjuran ekspo pengantin, selain aktif mengendalikan kursus kahwin di dua buah masjid ternama di ibu kota.
Perjalanannya dalam industri itu bukan bermula dengan strategi perniagaan yang hebat, tetapi atas dasar sokongan kepada suaminya yang terlebih dahulu terlibat dalam bidang ini sejak tahun 2003.
“Awalnya, suami saya yang mula dulu. Saya kerja makan gaji, tapi bila tengok dia bersemangat dan tak pernah putus asa, saya jadi terinspirasi. Lama-lama saya sendiri pun nak turut serta,” kongsi Ruhana.

Pasangan tersebut mengendalikan kursus kahwin di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail. Suaminya pula bertugas di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Walaupun bergerak di bawah syarikat berbeza, mereka kekal saling menyokong dan berkongsi pengalaman sepanjang perjalanan.
Ruhana mengakui cabaran terbesar mereka adalah ketika pandemik COVID-19 melanda.
“Sewa tetap jalan, tapi kelas tak boleh jalan. Semua kena dalam talian. Saya memang tak puas hati bila kena buat kursus secara maya. Kursus kahwin ni pengalaman sekali seumur hidup.
“Saya rasa, kalau boleh, biarlah peserta datang dan rasa sendiri suasana di masjid. Tenang, selesa dan lebih sesuai untuk belajar,” ungkapnya dalam satu temu bual eksklusif bersama SinarPlus baru-baru ini.
Pengalaman bertahun dalam menguruskan kursus kahwin akhirnya membawa kepada satu idea baharu, iaitu penganjuran ekspo pengantin.
Namun, bukan Ruhana yang mencadangkan perkara ini. Sebaliknya, idea tersebut datang daripada anak bongsunya, Mohamad Anwar Fauzi.
“Anak saya tengok peserta kursus sering tanya pasal vendor, katering, jurugambar dan sebagainya. Jadi dia cakap, ‘Mama, kenapa tak buat ekspo je untuk mudahkan mereka?’ Saya setuju dan terus sokong,” katanya lagi.

Tajaan majlis perkahwinan
Ekspo pengantin pertama anjuran mereka bakal berlangsung selama tiga hari pada 26 hingga 28 September 2025 di Shah Alam Convention Centre.
Kongsi Ruhana, penganjuran tersebut menjanjikan pengalaman berbeza buat semua pengunjung.
Ekspo itu dijangka memberi peluang kepada vendor-vendor perkahwinan mempromosikan perkhidmatan masing-masing.
Apa yang menarik, antara tarikan utama ialah peluang untuk memenangi tajaan penuh majlis perkahwinan sebagai hadiah utama.
“Kita nak buat lain daripada yang lain. Bukan sekadar pameran vendor, tapi juga peluang menang tajaan kahwin dari A hingga Z. Lengkap!” tutur wanita itu lagi.
Tambah Ruhana, ekspo berkenaan turut menjadi batu loncatan untuk mereka menjelajah ke negeri-negeri lain.
“Insya-ALLAH, selepas ini kita akan ke Pantai Timur, Utara, mungkin ke Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu. Kita nak bantu lebih ramai bakal pengantin dari pelbagai lokasi,” ujarnya dengan penuh semangat.
Walaupun baharu dalam bidang penganjuran ekspo, Ruhana tidak menolak penggunaan selebriti dan pempengaruh sebagai strategi pemasaran.
Ruhana juga berkongsi bahawa semua anak perempuannya sudah berkahwin, dan kini giliran anak bongsunya pula melangkah ke hadapan dalam dunia keusahawanan.
“Saya bangga tengok anak sendiri ambil langkah ini. Ini bukan sekadar bisnes, tapi satu usaha untuk bantu lebih ramai orang. Saya sokong penuh,” ujarnya.

Menutup perbualan, Ruhana tidak menolak kemungkinan akan wujud projek baharu selepas ini, termasuk idea menubuhkan ‘rumah pengantin’, satu pusat sehenti persiapan majlis perkahwinan.
“Kita sentiasa terbuka kepada idea baharu, terutama daripada golongan muda. Minda mereka lebih segar dan kreatif. Kami yang senior ni bantu dari segi pengalaman,” katanya sambil tersenyum.
Jelas, Ruhana bukan sekadar mahu menjana keuntungan. Sebaliknya, dia ingin memastikan setiap pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga mendapat pengalaman perkahwinan yang tersusun, tenang dan bermakna.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang