Kolaborasi bersama penjara & universiti ke pentas dunia, Anuar Faizal cabar diri modenkan batik Malaysia

No Image Caption
A
A
A

BAGI penggemar fesyen tempatan, Batik Lestari 2025 bukan sekadar pameran busana; ia satu perayaan kreativiti dan kesinambungan warisan Malaysia. 

Pereka fesyen tersohor, Anuar Faizal, menjadi tumpuan apabila memperagakan 14 rekaan terbaharu hasil kolaborasi unik dengan Penjara Marang, Penjara Kajang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan Galeri Diraja Tunku Ja’afar. 

Hasilnya, motif ikonik Bunga Lado tampil segar di pentas fesyen, membuktikan batik bukan lagi eksklusif, tetapi boleh digayakan oleh semua lapisan masyarakat.

No Image Caption

“Kalau nak jujur, saya bukan pengusaha batik. Jadi, ketika pertama kali diberi cabaran ini, memang ada tekanan juga. 

"Apatah lagi bila bekerjasama dengan pengrajin batik yang sudah berpengalaman. Ada beberapa ‘do and don’t’ yang saya perlu patuhi,” kongsi Anuar.

Cabaran terbesar? Masa. Hanya 10 hari untuk menyiapkan 14 rekaan! Namun, keterbatasan itu membuka ruang kreatifnya untuk menggabungkan batik lukis, cop batik dan cetakan digital, menggambarkan evolusi seni batik ke arah moden.

“Saya mahu sampaikan mesej bahawa batik ini untuk semua. Ia boleh digayakan dalam pelbagai bentuk seperti sari moden, trench coat, baju kasual, hingga busana formal. 

"Asalkan kita faham karakter dan keindahan coraknya. Bila gayanya kena, batik tetap nampak cantik,” tambahnya.

MEMODENKAN BATIK

Anuar menekankan objektif utama koleksi itu adalah memodenkan batik tanpa mengorbankan tradisi. Usaha itu bukan mudah kerana risiko penerimaan umum agak tinggi.

No Image Caption

“Saya anggap ini risiko yang perlu diambil. Kalau tidak, siapa yang berani mencuba? 

"Sebelum hasilkan koleksi ini, saya banyak rujuk pakar batik lama dalam industri. Saya sangat menghormati pengusaha batik tradisional. 

"Jadi, pendekatan saya adalah selamat, tidak keluar daripada motif dan warna tradisional, hanya menyesuaikan supaya lebih mudah diterima generasi baharu,” jelasnya.

Bagi Anuar, batik bukan sekadar corak atau kain, tetapi simbol perpaduan budaya ASEAN.

“Batik ini sebenarnya satu titik pertemuan antara negara-negara ASEAN. Ia ‘common ground’ yang menyatukan kita melalui seni dan budaya. 

No Image Caption

"Sebab itu saya juga sering sertai acara fesyen antarabangsa  untuk memperkenalkan seni tempatan. Saya tak mahu hanya jadi jaguh kampung. 

"Saya mahu buktikan pereka Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya lagi.

Lebih membanggakan, koleksi Batik Lestari 2025 akan bergerak ke Manila untuk dipamerkan di pentas antarabangsa, membuka lembaran baharu bagi memperkenalkan batik Malaysia sebagai simbol elegan dan inovatif di mata dunia.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang