Nak jadi juruterbang bukan fikir tentang gaji sahaja, pengalaman 10 tahun wanita ini perlu diambil kira

TERBANG di awan biru adalah impian semua orang. Bukan jadi penumpang tetapi pemandu pesawat. Bila dah lepas ujian dan dapat lesen untuk menjadi juruterbang, itu adalah memori indah yang tak dapat dilupakan.
Namun, sebelum sampai ke tahap itu banyak cabaran yang perlu dilalui. Wanita cekal dan berimpian tinggi, Nursharmin Mohd Nazri atau lebih mesra dengan panggilan Min ini antara wanita terpilih di dalam bidang penerbangan ini.
“Secara jujurnya, saya menjadi juruterbang sebab dipaksa oleh ibu dan ayah. Cita-cita saya ingin menjadi arkitek seperti ibu dan ayah yang ada firma sendiri. Tetapi disebabkan saya adalah seorang yang mendahulukan kedua orang tua maka saya rela merealisasikan impian ibu.

“Sepanjang tahun saya belajar di Halim Mazmin Aerospace, saya rasa tertekan sebab bukan mudah untuk menceburi bidang yang dimonopoli oleh kaum adam pada ketika itu. Berkta doa ibu dan ayah, lama kelamaan saya semakin jatuh cinta dengan apa yang saya pelajari” kata anak jati Terengganu yang berusia 34 tahun itu.
Itu baru cabaran pertama. beliau tidak sangka sama sekali selepas tamat belajar terpaksa mengharungi dugaan menjadi penganggur untuk tempoh lima tahun. Katanya, pada ketika itu hanya ada dua syarikat penerbangan sahaja di Malaysia. Graduan dalam bidang ini pula terlalu ramai.
Alhamdulillah, rezekinya tiba pada tahun 2014 apabila syarikat Malindo Air dibuka (kini Batik Air). Itulah kali pertama wanita tersebut menjejak kaki mengendali pesawat yang selama ini dinanti-nantikan.

Sepuluh tahun pengalaman menjadi juruterbang bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap hari ada pengalaman baharu. Masyarakat mungkin melihat dari segi keseronokan sahaja, gaji besar, melancong ke sana ke sini, tetapi diri sendiri perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar.
“Menjadi juruterbang bukan hanya membawa pesawat. Tak sama langsung macam bawa kereta. Bila mulakan kerja bermaksud nyawa beratus orang di bawah tanggungan saya. Saya kena pastikan semuanya berjalan dengan lancar. Jika berlaku sebaliknya, saya perlu pantas fikirkan jalan penyelesaian untuk menyelamatkan nyawa semua orang.
“Sebagai wanita pula, waktu ‘period pain’ memang menguji kepakaran saya. Dalam keadaan bagaimana sekali pun, saya perlu fokus membawa ‘kenderaan’ yang besar ini untuk sampai ke destinasi dengan selamat” ujar anak sulung dari tiga beradik ini.

Disebabkan itu, Min berkata, setiap enam bulan dia bersama rakan juruterbang yang lain perlu melalui sesi ujian di ‘simulator’. Mereka juga ada latihan di lapangan seperti bagaimana mahu mengawal keadaan jika enjin pesawat terbakar. Dalam masa yang sama kapten tidak berupaya mengendalikan pesawat dalam cuaca buruk. Apakah yang perlu dilakukan untuk pastikan dapat mendarat dengan selamat?
Latihan kecemasan sentiasa dinaiktaraf bagi memastikan setiap juruterbang mempunyai kemahiran dan kepakaran tidak kira dalam apa jua keadaan.
Cabaran paling hebat yang perlu diharungi semestinya kata-kata orang yang merasakan wanita tidak layak untuk berada dalam bidang ini. Walaupun ada stigma negatif sebegini, ia langsung tidak mematahkan semangat saya untuk terus berjuang. Kata-kata ini menjadi motivasi hebat untuk Min menjadi contoh terbaik kepada mereka di luar sana bahawa wanita juga boleh berjaya dalam apa jua bidang yang majoritinya adalah lelaki.

Dalam kehidupan peribadi pula, sebagai seorang isteri, banyak juga Min perlu korbankan untuk berjaya dalam kerjaya berkenaan terutama pengorbanan masa. Kadang-kadang bila malam, suami dah tidur. Esok paginya sudah bangun untuk bekerja semula. Memang perlu bijak untuk membuat perancangan.
Dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Mohd Solihin Othman, 27, wanita berjiwa besar itu bersyukur mendapat pasangan yang amat memahami urusan kerjanya.

“Pesanan saya kepada sesiapa sahaja yang nak kejar cita-cita menjadi juruterbang, perjalanan untuk ke arah itu memang penuh berliku tetapi dengan niat yang baik, doa ibu dan ayah, keperibadian yang betul dan kerajinan yang tinggi pastinya kejayaan milik anda” ujarnya mengakhiri bicara.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang