Pameran Karya Agung, inisiatif digitalisasi perkukuh dokumentasi warisan kraf oleh Kraftangan Malaysia

SESI Walkabout Pameran Karya Agung disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff dan diiringi oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali, pada Jumaat.
Penganjuran Pameran Karya Agung - Seni Kraf Warisan Negara yang julung kalinya diadakan di Borneo Cultures Museum itu memaparkan 56 koleksi kraf tekstil daripada kehalusan hasil kerja tangan lima orang Tokoh Kraf Negara dan 20 orang Adiguru Kraf yang bermula 30 Mei hingga 25 Julai 2025.

Pameran itu dilaksanakan untuk memartabatkan hasil kerja tangan Tokoh Kraf Negara dan Adiguru Kraf dan sekaligus memberi pengiktirafan kepada mereka yang banyak memberi inspirasi kepadapenggiat industri, pelajar dan penyelidik serta orang awam.
Pameran itu juga adalah salah satu usaha untuk mengiktiraf dan memartabat karya Tokoh Kraf Negara dan Adiguru Kraf yang menjadi tunjang kepada kelestarian industri kraf negara.
Selain di Kuching, Pameran Karya Agung turut dianjurkan serentak di Muzium Kraf, Kompleks Kraf Kuala Lumpur sehingga Rabu, 31 Disember 2025 dan di Muzium Negara sehingga Isnin, 30 Jun 2025, sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan capaian seni warisan kepada masyarakat di seluruh negara.
Kraftangan Malaysia turut melihat aspek pendokumentasian amat penting dalam memastikan maklumat mengenai seni, budaya dan warisan kraf tempatan terpelihara dan mudah untuk dibuat rujukan pada masa hadapan.
Bagi memperkasakan lagi usaha pendokumentasian ini, Kraftangan Malaysia menggerakkan inisiatif ini secara digital agar maklumat mengenai kraf dapat disimpan secara sistematik, memudahkan untuk pembelajaran selain dapat meningkatkan kecekapan dalam pencarian maklumat.
Antara usaha pendigitalan yang diketengahkan seperti setiap koleksi disertakan dengan kod QR yang membolehkan pengunjung mengakses maklumat terperinci, dokumentasi sejarah serta cerita di sebalik karya menerusi peranti pintar.
Beberapa koleksi kraf disokong dengan elemen Augmented Reality (AR), di mana pengunjung dapat menyaksikan proses pembuatan kraf secara maya atau melihat transformasi reka bentuk dalam bentuk animasi 3D yang menghidupkan karya secara digital.
Turut disediakan, Interactive Touch Panels yang ditempatkan di Muzium Kraf, Kompleks Kraf Kuala Lumpur yang membolehkan pengunjung meneroka maklumat menerusi pilihan video dokumentari, profil tokoh dan penerangan produk dengan hanya satu sentuhan.
Pendigitalan juga diperluaskan dengan menjadikan Muzium Kraf Kuala Lumpur boleh dilawati secara maya dari mana-mana lokasi melalui platform digital.

Usaha ini menjadikan maklumat kraf warisan lebih cepat dan mudah dicapai.
Menariknya, Tokoh Kraf Negara 2024, Bangie anak Embol diberikan penghargaan untuk melakukan Demonstrasi Kraf yang menampilkan pembuatan kraf Tenunan Pua sempena Sesi Walkabout di Borneo Cultures Museum.
Bangie khazanah berharga negara, diiktiraf di persada dunia
Bangie anak Embol merupakan lambang keunggulan seni tenunan pua yang bukan sahaja melambangkan warisan masyarakat Iban tetapi beliau menjadi khazanah berharga negara.
Ketekunan, kesungguhan dan keikhlasan Bangie dalam memartabatkan seni tenunan menjadikan beliau sebagai tokoh yang wajar dihormati dan diteladani oleh generasi masa kini dan akan datang.
Bangie yang lebih mesra dikenali sebagai Indai, merupakan tokoh kraf tersohor dalam bidang tenunan pua.
Beliau dilahirkan pada 8 Mei 1945 di Sungai Kain, Kapit, Sarawak dan beliau telah mencurahkan lebih 68 tahun hidupnya dalam seni tenunan tradisional masyarakat Iban.
Komitmen dan ketokohan Bangie dalam bidang ini menjadikan beliau sebagai salah seorang Tokoh Kraf Negara utama dalam usaha memelihara warisan budaya negara.
Tokoh Kraf Negara Tenunan Pua
Bangie merupakan individu terpilih untuk mewarisi serta mengetuai upacara tradisional pewarnaan benang yang dikenali sebagai Ngar.
Upacara itu melibatkan penggunaan bahan semula jadi serta amalan ritual yang diwarisi turun-temurun oleh masyarakat Iban.

Di bawah kepimpinan Bangie, proses pewarnaan dilakukan dengan cermat dan berlandaskan kepercayaan serta adat yang tinggi nilainya.
Kaedah pewarnaan yang digunakan menghasilkan benang dengan rona yang tepat, tahan luntur dan kekal lama.
Selain mengekalkan teknik tradisional, beliau turut menyerap inovasi moden dalam kaedah pewarnaan bagi meningkatkan kualiti dan ketahanan kain tenunan.
Bangie bukan sahaja mahir dalam teknik tenunan, tetapi juga dalam reka bentuk corak pua.
Corak tenunan sering digubah berasaskan mimpi dan ilham spiritual, sesuai dengan kepercayaan budaya Iban.
Gabungan motif flora, fauna dan figura digunakan untuk mencipta corak unik yang mempunyai nilai simbolik tersendiri.
Antara motif yang dihasilkan beliau termasuk Bungai Nuing, Buah Gelanggang Langit, Bunga Rang Jugah, Bunga Buah Sepuyong dan Bunga Bali Malikut.
Bangie yang menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara dan Anugerah Karyawan Seni Kraf melalui Anugerah Seni Negara pada 2024 turut menyumbang dalam pelbagai program pembangunan komuniti, pendokumentasian, latihan dan menjadi pakar rujuk dalam dan luar negara.
Beliau juga aktif mengajar dalam kelas-kelas tenunan anjuran pelbagai badan bukan kerajaan dan institusi budaya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang