'Saya belajar kerana adik...' 40 tahun bersama RTM, jurubahasa isyarat lejen, Tan Lee Bee jadi inspirasi ramai

BAGI anda yang sering menonton siaran berita di saluran RTM, pasti mata anda tidak terlepas memandang seorang penterjemah bahasa isyarat wanita yang setia di penjuru kaca televisyen, menyampaikan berita dengan gerak tangan yang penuh makna.
Nama Tan Lee Bee mungkin tidak asing lagi bagi mereka yang mengikuti perkembangan berita. Namun, baru-baru ini, video beliau tular di TikTok zestie.my, menarik perhatian ramai hingga menjadi bualan hangat warga maya.
Wanita ini bukan sekadar penterjemah biasa. Beliau telah mengabdikan dirinya selama lebih 40 tahun sebagai jurubahasa isyarat di RTM.

Dedikasi dan kecekapannya membuatkan ramai terinspirasi, malah netizen memuji sifat positif dan semangatnya dalam memartabatkan bahasa isyarat.
Dalam sebuah video pendek berdurasi hampir tiga minit, empunya diri berkongsi bagaimana kecintaannya terhadap bahasa isyarat bermula. Ia bukan sekadar pekerjaan, tetapi berakar daripada keperluan peribadi.
"Adik saya pekak, dan kami sekeluarga belajar bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengannya. Dari situ, minat saya mula berkembang.
"Saya enjoy bekerja sebagai penterjemah dan berasa bangga dapat membantu komuniti pekak," katanya sambil tersenyum.
Tambahnya, bidang kerjaya berkenaan bukanlah satu tugas yang mudah. Perlu ketelitian, kesabaran, dan sentiasa belajar untuk memastikan mesej yang disampaikan tepat dan difahami oleh komuniti pekak.
"Bahkan, kadangkala saya juga buat kesilapan. Tapi apa yang penting, kita sentiasa berusaha untuk jadi lebih baik," ujarnya.

Dari cita-cita jadi polis kepada jurubahasa ‘lejen’
Apa yang menarik, Lee Bee pada mulanya bercita-cita untuk menjadi seorang anggota polis. Namun, takdir membawanya ke jalan lain, dan kini beliau menjadi salah satu tulang belakang penting dalam penyampaian berita kepada komuniti pekak di Malaysia.
“Kalau anda nampak saya di TV, itu maknanya saya sedang bertugas untuk RTM. Kalau tidak nampak, saya mungkin berada di mahkamah kerana saya juga bertugas sebagai penterjemah di sana,” katanya dengan nada berseloroh.
Wanita ramah ini juga tidak lupa untuk berkongsi kepentingan peranan kerjaya tersebut di negara ini. Beliau mengakui bahawa bilangan jurubahasa profesional masih tidak mencukupi dan berharap lebih ramai yang berminat untuk menceburi bidang ini.
"Untuk mereka yang ingin menjadi penterjemah, anda perlu berkaliber dan ikhlas kerana tugas ini adalah untuk membantu komuniti OKU pendengaran," tambahnya.
Dedikasi beliau selama empat dekad ini bukan sahaja mengagumkan, malah memberi inspirasi kepada masyarakat tentang kepentingan empati dan pengorbanan.

Ramai netizen memuji sikapnya yang sentiasa ceria dan positif walaupun tugas yang digalas begitu besar.
Dalam dunia yang sering sibuk dengan urusan masing-masing, kisah seperti ini mengingatkan kita tentang pentingnya menyumbang kepada masyarakat, terutama golongan yang sering terpinggir.
Bagi Tan Lee Bee, bahasa isyarat bukan sekadar kerja, tetapi satu jalinan kasih sayang dan komunikasi yang mendekatkan hati.
Semoga lebih ramai anak muda terinspirasi dengan kisah wanita hebat ini dan terus menyokong usaha dalam memartabatkan bahasa isyarat di Malaysia.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang