Jangan ikut kawan nak mendaki, periksa tahap kesihatan diri sendiri - Pakar
BARU-BARU ini kita digemparkan dengan berita seorang lelaki meninggal dunia ketika mendaki Bukit Bendera, Pulau Pinang.
Mangsa yang berumur 50 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di laluan lereng bukit sebelum disahkan meninggal dunia.
Sebenarnya, kes itu bukanlah yang pertama dilaporkan. Tragedi yang serupa pernah berlaku membabitkan pendaki-pendaki baharu mahupun yang bertaraf senior.
Pada tahun 23 Ogos 2019, seorang lelaki yang berusia 54 tahun yang berasal dari Kampung Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu mengejutkan ramai orang apabila mengalami sesak nafas ketika mendaki Bukit Besar di Terengganu.
Keadaan itu menyebabkan beliau meninggal dunia di tempat kejadian.
Sebelum itu, pada 27 Januari 2019, seorang lelaki berumur 48 tahun menemui ajal juga disebabkan sesak nafas ketika mendaki Bukit Kledang di Ipoh, Perak.
Tragedi yang sama turut mengorbankan lelaki berusia 43 tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika mendaki Gunung Basor, Kuala Balah, Jeli, Kelantan.
Itu antara sebahagian kes mangsa mati mengejut yang dilaporkan menerusi media di negara ini. Apa yang membimbangkan, kebanyakan mereka masih muda dan berusia lingkungan bawah 50 tahun.
Apabila kemelut yang sama berlaku berulang kali, maka, ia perlu diambil serius dan jangan sesekali memandang remeh akan hal itu.
Mengulas lanjut mengenai isu terbabit, Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Samhan Awang berkata, apabila seseorang berada di tempat tinggi, komposisi tekanan udara menjadi semakin rendah apabila kedudukan dari atas laut semakin meningkat.
“Keadaan itu akan menyebabkan jumlah oksigen mengalami penurunan sehingga menyebabkan kesempitan pada dada dan berlakunya keadaan sesak nafas (dyspnea) apabila berada di tempat tinggi,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.
Ujar Dr Ahmad Samhan, punca utama mati mengejut dalam kalangan masyarakat pertengahan umur dan warga emas yang bersukan adalah disebabkan oleh serangan jantung akibat daripada penyumbatan salur darah koronari jantung.
Artikel berkaitan: Berapa banyak ubat gigi nak pakai, doktor ini dedah caranya
“Kita memaksa badan untuk bekerja keras dengan mendaki bukit dan ia sekali gus boleh mengakibatkan tekanan darah kita meningkat naik termasuk boleh menyebabkan masalah darah tinggi dan jantung.
“Ada sesetengah daripada kita akan mengikut kawan. Apabila kawan ajak untuk mendaki bukit, kita pun turut sama ikut tetapi kita tidak periksa kesihatan dan tidak tahu tahap keupayaan diri,” katanya lagi.
Kepada yang mahu mula mendaki, berikut saranan Dr Samhan yang perlu anda ikuti:
i) Mulakan dengan kadar sasaran jantung yang rendah (60 peratus).
ii) Apabila kecergasan meningkat, anda boleh melakukan aktiviti fizikal yang lebih berat untuk mencapai kadar sasaran jantung sehingga ke paras yang tinggi iaitu 85 peratus.
iii) Sebagai contoh, jika umur anda 45 tahun, kadar sasaran jantung anda ialah 105 hingga 149 degupan per minit.
v) Setiap lelaki berusia lebih 40 tahun dan wanita yang berusia lebih 45 tahun wajib melakukan pemeriksaan kesihatan.
iv) Wanita yang menopaus terdedah kepada risiko sakit jantung disebabkan hormon estrogen dan progesterone yang melindungi mereka sebelum ini sudah ‘berakhir’.
vi) Lelaki pada peringkat umur 40 tahun turut berisiko sakit jantung terutamanya mereka yang ada darah tinggi, kencing manis, kolesterol lemak yang tinggi dalam badan, mereka yang merokok dan faktor genetik.
Berikut antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan untuk orang ramai menghindarkan diri daripada masalah kesihatan:
1. Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
2. Pastikan mendapat rehat yang mencukupi sebelum melakukan aktiviti fizikal.
3. Minum air supaya badan sentiasa dalam keadan hidrasi.
4. Jika mempunyai sejarah kesihatan, tidak digalakkan untuk mendakit bukit.
5. Mendaki secara berteman atau berkumpulan supaya mudah mendapatkan bantuan ketika kecemasan.
6. Oleh itu, sebelum melakukan sebarang aktiviti fizikal yang ekstrem, periksa dahulu kesihatan diri dan jangan lupa semak tahap keupayaan diri masing-masing.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang