JUMLAH penghidap kanser diramal semakin meningkat pada setiap tahun.

Di negara ini, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2023 menunjukkan kanser adalah punca kematian keempat tertinggi.

Ia menyaksikan peningkatan kepada 12.6 peratus pada 2022 berbanding 10.5 peratus bagi tahun sebelumnya.

Malah, pakar turut meramalkan penghidap kanser di Malaysia bakal meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2040.

Statistik menunjukan, terdapat kira-kira 48,639 penghidap kanser baharu dan 29,530 kematian akibat kanser dilaporkan pada tahun 2020.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan Laporan Fakta Kesihatan Malaysia 2023, kanser juga adalah antara punca utama kematian di hospital swasta meliputi 26.44 peratus dan yang keempat di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu 9.29 peratus.

“Kematian yang tinggi ini juga dapat dikaitkan dengan pengesanan penyakit di tahap yang lewat iaitu tahap III dan IV yang tinggi melebihi 60 peratus daripada keseluruhan kanser yang dilaporkan, berdasarkan laporan oleh Registri Kanser Malaysia,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Baca juga: Kelemahan sistem imun tubuh punca keradangan sistem pencernaan usus. Risiko kanser kolon juga lebih tinggi

Beliau berkata, data Registri Kanser Malaysia menunjukkan bahawa sejumlah 168,822 kes baharu telah dilaporkan bagi tempoh lima tahun bermula 2017 hingga 2021.

Lebih membimbangkan, kanser hati adalah satu daripada lima kanser paling lazim di Malaysia. Yang lain adalah kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru dan kanser nasofarinks.

“Kanser hati primer, yang bermula dari dalam hati itu sendiri, malangnya, mempunyai satu daripada prognosis yang paling teruk kerana ia sering didiagnosis pada peringkat lewat apabila gejala telah muncul,”ujarnya.

Baca juga: Payudara padat penyumbang kanser, wanita perlu cakna dan lakukan pengesanan awal

Justeru, beliau menyeru semua pihak termasuk badan bukan kerajaan untuk bersama kerajaan dalam membantu aspek penjagaan kanser serta memberi sokongan kepada pesakit.

Berikut tujuh tip yang dipetik daripada penulisan Mayo Clinic dan boleh diamalkan bagi mengurangkan risiko penyakit tersebut:

1.Elakkan menggunakan tembakau dengan berhenti merokok
– Merokok boleh dikaitkan dengan pelbagai jenis kanser termasuk paru-paru, mulut, tekak, kotak suara, pankreas, pundi kencing, serviks dan buah pinggang.
– Berada dalam sekitar perokok pasif juga boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru.

2.Amalkan pemakanan sihat dengan memakan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran, kurangkan memakan makanan proses dan pengambilan alkohol
– Alkohol meningkatkan risiko kanser payudara, kolon, paru-paru, buah pinggang dan hati.
– Pengambilan makanan proses juga meningkatkan risiko terhadap beberapa jenis kanser.

Baca juga: Kanser hati, barah yang boleh berulang. Kaum Adam dominasi carta, perokok paling berisiko

Iklan

3.Kekalkan berat badan yang sihat dan aktif secara fizikal
– Fizikal yang sihat mengurangkan risiko kanser payudara, prostat, paru-paru, kolon dan buah pinggang.

4.Lindungi diri daripada matahari
– Cegah kanser kulit dengan mengelak sinaran matahari yang kuat, berada di bawah naungan, pakai pakaian menutupi kulit dan gunakan pelindung matahari dengan SPF sekurang-kurangnya 30.

Baca juga: Pil gugur boleh sebabkan seseorang mandul dan dapat kanser ovari? Pakar berpengalaman ini ada jawapan

5.Dapatkan vaksin Hepatitis B dan Human papillomavirus (HPV)
– Hepatitis B boleh meningkatkan risiko mendapat kanser hati.
– HPV merupakan virus kelamin yang boleh menyebabkan kanser serviks dan kanser alat kelamin lain.

 

Iklan

6.Elakkan tingkah laku berisiko dengan mengamalkan seks selamat dan tidak berkongsi jarum.
– Orang yang mempunyai HIV atau AIDS mempunyai risiko kanser dubur, hati dan paru-paru yang lebih tinggi.
– HPV paling kerap dikaitkan dengan kanser serviks tetapi ia juga mungkin meningkatkan risiko kanser dubur, zakar, tekak, vulva dan faraj.

7.Dapatkan rawatan perubatan secara berkala.
– Melakukan pemeriksaan diri secara berkala dan menjalani pemeriksaan untuk kanser seperti kanser kulit, kolon, serviks dan payudara.
– Pengesanan awal kanser boleh meningkatkan keberkesanan rawatan.

Sumber: BERNAMA, Sinar Harian dan Mayo Clinic.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!