UMUM mengetahui bahawa kanser payudara merupakan kanser utama dalam kalangan wanita di Malaysia dan seluruh dunia.

Pengesanan awal amat penting dalam memastikan keberkesanan rawatan dan menyumbang kepada kelangsungan hidup yang lebih baik.

Profesor Dr Norhayati Mohd Zain

Menurut  Profesor di Jabatan Pengimejan Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan,  KPJ Healthcare University, Profesor Dr Norhayati Mohd Zain, wanita yang mempunyai sejarah ahli keluarga penghidap kanser berisiko untuk  mendapat penyakit tersebut.

Kata pakar berkenaan, hasil kajian terkini menegaskan terdapat hubungan antara payudara padat dan risiko kejadian kanser payudara.

Bagaimanapun, hanya segelintir mengetahui bahawa situasi itu merupakan antara faktor penyumbang kanser berkenaan.

Baca juga: Rawatan rekonstruktrif, implan silikon beri harapan baharu kepada pesakit kanser payudara. Pakar beri penjelasan

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

Kanser payudara lazimnya berpunca daripada elemen epitelial tisu payudara dan jumlahnya menentukan kepadatan organ tersebut.

“Payudara seseorang wanita terdiri dari tisu bergrandular, tisu penghubung dan tisu lemak.

“Kepadatan organ berkenaan didefinisikan sebagai jumlah relatif tisu-tisu ini dalam imej mamogram,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, payudara padat mempunyai jumlah relatif tisu bergrandular dan tisu penghubung yang tinggi berbanding tisu lemak.

Situasi itu berkemungkinan mempengaruhi seseorang wanita untuk mendapat kanser.

Baca juga: Pil gugur boleh sebabkan seseorang mandul dan dapat kanser ovari? Pakar berpengalaman ini ada jawapan

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

Mengulas lanjut,  Dr Norhayati berkata, kepadatan payudara tidak dapat dinyatakan menerusi pemeriksaan fizikal.

Ia hanya boleh ditentukan oleh doktor pakar menerusi imej mamogram.

Berikut dikongsikan kategori kepadatan payudara:

a) Fatty (tisu lemak).

b) Scattered fibrogladular (kebanyakan tisu lemak; sedikit tisu berglandular dan tisu penghubung).

c) Heterogeneously dense (kebanyakkan tisu berglandular dan tisu penghubung).

d) Extremely dense (keseluruhan tisu berglandular dan tisu penghubung) berdasarkan Breast Imaging Reporting and Data System (BI-RADS) dari American College of Radiology.

 

Kata beliau, kajian pada tahun 2019 mendapati majoriti (66.4 peratus) wanita Malaysia mempunyai payudara padat kategori B.

Wanita berbangsa Cina didapati mempunyai payudara yang lebih padat berbanding wanita Melayu dan India.

Baca juga: Kanser hati, barah yang boleh berulang. Kaum Adam dominasi carta, perokok paling berisiko

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

KESEDARAN  RISIKO KANSER

Dalam pada itu, sekumpulan penyelidik dari Jabatan Pengimejan Perubatan di KPJ Healthcare University turut menjalankan satu kajian terhadap 120 wanita di negara ini pada tahun 2022.

Mereka telah menjalani pemeriksaan mamogram di beberapa hospital swasta di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

“Hasil penyelidikan mendapati 65 peratus wanita tidak cagna apa itu payudara padat dan hubungannya sebagai salah satu risiko kanser payudara.

“Mereka beranggapan kepadatan payudara adalah berkaitan dengan saiz payudara dan keadaannya apabila disentuh,” katanya.

Jelas beliau lagi, kajian tersebut juga mendapati 75.8 peratus wanita tidak tahu jika mereka mempunyai payudara padat.

Keputusan laporan mengenai kepadatan payudara biasanya tidak dikongsi dengan wanita yang menjalani pemeriksaan mamogram di Malaysia.

Iklan

Hal tersebut menyebabkan ramai kaum Hawa tidak mengetahui jenis kepadatan payudara mereka selain tidak menyedari implikasinya terhadap kepentingan pemeriksaan awal kanser.

Golongan tersebut beranggapan bahawa mamogram sudah mencukupi untuk mengesan kanser payudara tanpa mengambil kira kepadatan payudara dan tidak mempertimbangkan kaedah pemeriksaan tambahan.

“Wanita dengan payudara padat seharusnya mempertimbangkan kaedah pemeriksaan tambahan seperti pemeriksaan ultrabunyi atau pengimejan resonans magnet (MRI) bagi meningkatkan ketepatan pengesanan kanser tersebut.

“Kekurangan kesedaran juga menyebabkan pengesanan dan rawatan kanser payudara yang lambat,” katanya.

Ujar Dr Norhayati, hasil positif dari kajian tersebut mendapati 95 peratus responden bersetuju bahawa mereka patut diberitahu tentang keadaan kepadatan payudara selepas menjalani mamografi.

Baca juga: Tak cukup tidur boleh menyebabkan barah payudara? 10 info penting wanita wajib tahu

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

Ia seterusnya mendorong kepada penjagaan kesihatan payudara dan pemeriksaan mamogram secara berkala pada masa depan.

Walaupun kepadatan payudara tidak boleh diubah, Dr Norhayati berkata terdapat beberapa cara menguruskannya.

Berikut antara langkah yang boleh diambil:

Iklan

1. Senaman berkala.

2. Pengambilan minyak zaitun.

3. Mengamalkan diet rendah lemak haiwan.

4. Menghadkan pengambilan alkohol.

Tambahnya, selain daripada meningkatkan kesedaran tentang tanda dan gejala kanser, lebih banyak program kesedaran harus dilakukan dalam menyampaikan informasi kepada masyarakat.

Peningkatan pengetahuan dan kesedaran tentang kepadatan payudara  diharapkan dapat menggalakkan pemeriksaan pengesanan awal kanser tersebut.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang